Rabu, 1 Jun 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Nur Jazlan: Jual tanah tak rugi Bumi, tapi kukuh kewangan UDA

Posted: 01 Jun 2011 02:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Jun – UDA Holdings Bhd memutuskan untuk menjual tanah di Jalan Sultan Ismail di sini, 1.15 hektar, kepada Mutiara Goodyear Bhd pada harga RM215.5 juta selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama bagi mengukuhkan semula kedudukan aliran tunai kewangan GLC itu yang kini hanya RM90 juta.

Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keputusan itu yang diputuskan oleh Lembaga Pengarah juga membolehkan UDA Holdings menggunakan wang yang diperoleh hasil daripada penjualan berkenaan untuk mencari bank tanah syarikat yang baru bagi membangunkan bandar baru terutama sekali dalam kawasan Lembah Klang.

Sehubungan itu Nur Jazlan juga berkata, beliau mewakili Lembaga Pengarah UDA Holdings menafikan kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Exco Pemuda Umno Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, yang disiarkan semalam bahawa penjualan tanah berkenaan merugikan golongan Bumiputera.

Bagaimanapun katanya, penjualan tanah di Jalan Sultan Ismail itu tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan sebagai kementerian yang bertanggungjawab penuh kepada UDA Holdings.

Kata beliau, UDA Holdings tidak lagi mempunyai bank tanah yang luas bagi membangunkan bandar baru, yang sedia ada hanya Bandar Tun Hussein Onn di Cheras dan tinggal 24 hektar lagi tanah yang belum mempunyai sebarang perancangan untuk dibangunkan manakala bakinya lebih 60 hektar sudah dan akan dibangunkan.

"Atas pertimbangan itu, UDA Holidngs Bhd perlu menjual tanah berkenaan terus kepada Mutiara Goodyear yang menawarkan harga terbaik lebih RM1,400 kaki persegi berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM800 kaki persegi," katanya.

Selain itu kata beliau, UDA Holdings juga sudah menjalankan kajian terhadap Mutiara Goodyear dan mendapati statusnya adalah sebagai sebuah syarikat Bumiputera.

Pada masa sama, tambah beliau, ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings juga mempertimbangkan supaya tanah berkenaan dibangunkan secara usaha sama dengan syarikat lain tetapi selepas kajian mendalam dilakukan didapati kerjasama itu akan mendedahkan syarikat kepada risiko tinggi terutama sekali daripada segi aliran bebas tunai.

"Ia berikutan pelbagai projek pembinaan yang akan dan sedang dibangunkan syarikat sekali gus memerlukan UDA Holdings mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai.

"Ahli Lembaga Pengarah UDA Holidngs juga berpendapat melalui penjualan tanah berkenaan, syarikat akan dapat membayar baki premium tanah tapak bekas Penjara Pudu berjumlah RM104 juta yang masih tertangguh, memandangkan KPTG menetapkan tarikh akhir untuk menjelaskannya adalah September ini, selain membiayai projek lain yang tergendala akibat kedudukan kewangan yang meruncing," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, penjualan tanah berkenaan adalah untuk manfaat masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya terutama sekali UDA Holdings dalam memastikan syarikat terus berdaya saing hasil kedudukan kewangan yang kukuh.

"Selain itu, antara tahun 2004 dan 2005, UDA Holdings yang ketika itu, berada di bawah MRCB turut menjual tanah di Bangsar kepada UOA untuk mengukuhkan aliran kewangan tunai keika itu," katanya lagi.

Oleh itu, kata beliau, ia membuktikan bahawa dari semasa ke semasa, UDA Holdings terpaksa menjual tanah miliknya untuk mengukuhkan aliran tunai syarikat bagi membiayai pelbagai keperluan berikutan tidak mendapat suntikan dana kewangan daripada kerajaan.

"Malah, kerajaan juga kini melaksanakan dasar penjualan tanah kepada syarikat swasta yang menawarkan harga tinggi bagi mendapatkan pulangan lebih baik selain membantu perkembangan kawasan bandar," katanya.

Sehubungan itu, kata Nur Jazlan, beliau bersedia untuk bertemu dengan Reezal Merican dan Tengku Azman bagi mendapatkan gambaran serta penjelasan sebenar berhubung penjualan tanah berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Selangor perkenal Skim Pemilikan Kediaman Persendirian

Posted: 01 Jun 2011 02:06 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) sejak 2008 hari ini meluluskan Skim Pemilikan Kediaman Persendirian bagi memudahkan rakyat negeri itu memiliki kediaman dengan bayaran premium fleksibel.

Akhir tahun lalu kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku yang bertujuan memudahkan golongan muda pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah mendapat sambutan positif daripada pelbagai persatuan pengguna.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, skim yang berkuat kuasa mulai hari ini adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.

"Kajian telah dibuat setelah kerajaan negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium," kata beliau.

Katanya, melalui skim itu, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membayar bayaran RM1,000.

"Mereka yang memilih cara ini, hanya perlu menjelaskan keseluruhan premium, mengikut harga semasa, jika hartanah itu dipindahmilik, dijual," katanya.

Menteri Besar menambah, skim itu juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam bulan dari tarikh tempoh notis dikeluarkan untuk diberikan diskaun 30 peratus secara automatik.

Khalid juga berkata, skim itu boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baharu, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah.

"Bagaimanapun pindah milik melalui mahkamah, turun milik dan perwarisan adalah dibenarkan," katanya lagi.

Khalid juga berkata, skim tersebut hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersial.

Katanya, inisiatif itu adalah satu reformasi oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah.

"Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian," katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan negeri berharap ia dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang makin meningkat, terutamanya dengan peningkatan harga minyak dan elektrik.

Katanya, skim itu akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved