Khamis, 9 Jun 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Ismail Sabri: Saya tak halang, tapi mogok pengusaha lori tak adil

Posted: 09 Jun 2011 02:16 AM PDT

PETALING JAYA, 9 Jun – Tindakan sesetengah pihak yang mahu melancarkan mogok ekoran pemansuhan diesel super subsidi untuk lori komersial oleh kerajaan 1 Jun lalu boleh dianggap sebagai tidak adil kepada kerajaan kerana sebelum pemansuhan itu para pengusaha lori sudah lama menikmati keuntungan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun super subsidi ditarik balik, sebenarnya kerajaan masih menanggung subsidi melalui diesel biasa dengan nilai subsidi kira-kira RM1.

Menurut beliau, dahulu para pengusaha lori komersial membayar RM1.48 sen seliter melalui diesel super subsidi tetapi kini mereka perlu membayar RM1.80 seliter di mana kerajaan memberikan subsidi pada sebahagian harganya.

"Mereka perlu sedar bahawa, walaupun kerajaan menarik balik super subsidi kepada mereka, kerajaan masih memberikan subsidi RM1 setiap liter, bukan bermakna kerajaan tarik sepenuhnya.

"Jika ditarik semua, mereka akan membayar RM2.80 sen seperti yang dibayar pihak industri ketika ini," kata beliau dipetik Bernama Online.

"Jadi, ancaman kepada kerajaan untuk boikot dan mogok adalah `very uncalled for' ... tak munasabah langsung. Selama lima tahun sudah mereka menikmati hasil daripada faedah yang diberikan kerajaan kepada mereka, tiba-tiba dalam waktu ini mereka nak mogok, ini satu tindakan yang tidak baik, eloklah difikirkan semula," katanya.

Ismail Sabri juga berkata beliau tidak berupaya menghalang pihak tertentu untuk melakukan mogok.

Menurut beliau, perkara itu jika hendak dilakukan biarlah mengikut undang-undang kerana di Malaysia, walaupun bebas bersuara negara ada undang-undang.

"Negara ini negara yang bebas untuk mereka melakukan apa sahaja, jadi terserahlah. Kalau nak demonstrasi lebih daripada lima orang mereka kena dapatkan permit polis, negara kita bebas tapi ada undang-undang, saya tak boleh nak sekat kepada sesiapa apa mereka nak buat, terserahlah," katanya.

Kerajaan telah memansuhkan diesel super subsidi yang dinikmati lori komersial kerana beranggapan hanya kenderaan individu dan kenderaan berkepentingan orang ramai sahaja yang wajar menikmati kemudahan tersebut.

Super subsidi bagaimanapun dikekalkan kepada kenderaan yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti bas sekolah, teksi dan individu yang membeli enjin bot sangkut dan sebagainya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Konflik Kuin cetus kerana MB tak faham AUKU, kata SMM

Posted: 09 Jun 2011 02:06 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyifatkan kegagalan kerajaan negeri Kedah menyelesaikan konflik Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana kegagalan PAS menasihatkan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu lima penuntut yang dikenakan tindakan tatatertib.

Menurut Pengerusi SMM Ahmad Syukri Ab Razab, sepatutnya PAS perlu menjelaskan kepada Azizan mengenai Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang perlu dimansuhkan selain turut diperjuangkan parti Islam itu.

Kesemua penuntut itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima penuntut kolej itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

"Mahasiswa juga beranggapan bahawa konflik yang berlaku adalah disebabkan kegagalan pemimpin tertinggi PAS dalam memberi penjelasan mengenai AUKU terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh pemimpin PAS.

"PAS sepatutnya seawal mungkin perlu memperjelaskan prinsip parti mengenai AUKU kepada kerajaan negeri Kedah di bawah PAS yang memiliki IPTS agar krisis seperti di Kuin tidak berlaku," kata Ahmad Syukri dalam satu kenyataan.

Oleh itu tegas beliau, PAS perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan konflik ini agar ia tidak menggugat kedudukan parti Islam itu di Kedah.

"Oleh itu, PAS perlu bertanggungjawab dalam menjernihkan semula prinsip yang telah tercemar ekoran penindasan terhadap aktivis mahasiswa Kuin.

"Mahasiswa boleh menerima konflik Kuin ini sebagai satu kesilapan yang tidak sengajakan, namun mahasiswa tidak boleh menerima sekiranya kesilapan ini cuba disenyapkan dan ditutup tanpa penyelesaian yang telues.

"Mahasiswa merasakan PAS perlu mempamerkan ketegasan dalam isu Kuin ini bagi mengelakkan pesimis masyarakat khususnya golongan muda terhadap kekuatan prinsip dan pendirian PAS," katanya.

Justeru tegas Ahmad Syukri, pihaknya menggesa agar kerajaan negeri Kedah dan pentadbiran Kuin agar menjelaskan kedudukan sebenar kelima-lima penuntut itu selepas mereka mengemukakan surat rayuan.

"Setelah hampir dua minggu rayuan dikemukakan, lima orang penuntut Kuin yang dikenakan tatatertib belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak pentadbiran Kuin

"Hal ini adalah amat tidak beretika kerana pihak pentadbiran hanya mengambil masa satu hari untuk menjatuhkan hukuman tetapi telah mengambil masa yang lama untuk meneliti rayuan. Perkara ini seolah-olah memperlihatkan sifat acuh tak acuh pentadbiran KUIN terhadap tuntutan mahasiswa yang mahu hukuman digugurkan," katanya.

Sebelum ini SMM juga telah menyerahkan memorandum kepada Pakatan Rakyat dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk menyelesaikan konflik itu.

Tambah Ahmad Syukri, pihaknya sekali lagi akan menyerahkan memorandum kepada PAS untuk menuntut parti itu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin yang membelakangkan prinsip.

"Dalam memorandum tersebut juga mahasiswa memberi tempoh sehingga hari Isnin depan untuk pihak Kuin menyelesaikan konflik yang berlaku dan memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi.

"Jika isu ini tidak diselesaikan segera, mahasiswa nekad untuk melancarkan desakan yang lebih besar di peringkat nasional," katanya.

Sebelum ini Azizan berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak boleh campur tangan berhubung tindakan Kuin yang mengenakan tindakan tatatertib ke atas penuntutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved