Jumaat, 10 Jun 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Insiden Glenmarie: Keluarga mangsa tolak inkues, gesa anggota polis didakwa

Posted: 10 Jun 2011 03:04 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Pemimpin PKR dan aktivis peguam yang mewakili keluarga mangsa hari ini menolak langkah polis Selangor yang mahu mengesyorkan agar diadakan inkues berhubung kematian tiga remaja di Glenmarie dekat Shah Alam Disember lalu, yang mereka dakwa mati akibat 'tembakan membunuh' pasukan keselamatan itu.

Sebaliknya mereka mahu anggota polis yang terlibat dihadapkan di mahkamah.

"Merujuk kepada pengumuman Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah (pagi ini) bahawa polis telah memutuskan untuk memanggil satu inkues berhubung kejadian menembak mati Mohd Shamil Hafiz, Hairul Nizam Tuah dan Mohd Hanafi Omar, bagi pihak keluarga mangsa, kami menolak keputusan memanggil pembunuhan ini," kata dua naib presiden PKR N Surendran dan Nurul Izzah Anwar serta seorang lagi peguam dari Lawyers for Liberty, Fadia Nadwa Fikri dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Surendran juga merapakan anggota Lawyers for Liberty.

Kata mereka, inkues tidak perlu diadakan kerana ada bukti yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa ketiga-tiga mangsa ditembak mati oleh polis.

"Semalam, kami mendedahkan laporan bedah siasat yang secara total bertentangan dengan versi polis," katanya lagi.

Kata mereka, laporan bedah siasat itu ditandatangani oleh pakar patologi forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan penemuan tersebut sudah cukup dari segi perundangan untuk membawa tuduhan pembunuhan ke atas anggota polis yang terlibat dalam insiden Disember lalu itu.

"Kami melihat permintaan untuk diadakan satu inkues oleh polis sebagai satu lagi taktik melengahkan (kes) bagi mereda kemarahan orang ramai ekoran pendedahan laporan bedah siasat semalam.

"Kami juga terkejut dan hairan dengan dakwaan polis bahawa siasatan masih belum lengkap lagi," kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam kenyataan bersama mereka.

Kata mereka, memandangkan tujuh bulan sudah berlalu sejak kejadian menembak itu, maka jelas ia satu lagi alasan dan usaha untuk melengahkan tindakan ke atas anggota polis terbabit.

"Kami mengulangi permintaan keluarga mangsa bahawa kesemua anggota polis yang terlibat dalam kes tembakan dicaj di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata mereka lagi.

Tegas beliau, Peguam Negara seharusnya memastikan tindakan itu diambil tanpa sebarang kelewatan lagi.

Terdahulu laporan media menyebut polis Selangor akan mengesyorkan agar diadakan satu inkues apabila mengemukakan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Pada pandangan kami, kami telah berlaku adil dalam mengendalikan kes ini meskipun sesetengah pihak mengatakan sebaliknya.

"Jadi, kami akan serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan," kata Tun Hisan.

Bagaimanapun Tun Hisan menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka 'dibunuh' oleh polis.

"Biar saya jelaskan perkara ini, polis tidak pernah tembak untuk membunuh (sesiapa)," katanya lagi.

Semalam, Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty mendedahkan dua daripada tiga remaja yang ditembak mati polis di Glenmarie, Shah Alam tahun lalu disebabkan tembakan dari arah dekat.

Surendran berkata, berdasarkan laporan bedah yang diterima beliau dua hari lepas membuktikan kedua-dua remaja itu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah ditembak ketika berada dalam keadaan melutut.

Bagaimanapun laporan bedah siasatan seorang lagi mangsa Muhamad Hanafi Omar,22, masih belum diterima.

Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu.

Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Kejadian ini berlaku di Glenmarie dan Timbalan Ketua Polis Selangor (Datuk A Thaiveegan) mengatakan ketiga-tiga remaja ini adalah penjenayah dengan parang dan ditembak ketika cuba menyerang polis.

"Namun berdasarkan kepada keterangan saintifik dan laporan bedah siasat versi yang dikatakan polis itu adalah palsu dan saya ada bukti mengatakan ketiga-tiga remaja ini telah dibunuh oleh pihak polis dengan sengaja.

"Polis kata mereka ditembak kerana cuba menyerang polis dengan parang tapi kalau benar mereka menyerang polis tapi kenapa luka tembakan Mohd Shamil dan Mohd Khairul Nizam berada di dahi dan sisi dahi... kalau mereka menyerang sudah tentu luka tembakan itu dari depan bukan dari tepi kecuali kalau peluru itu boleh melencong," kata Surendran.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Filem Kongsi dan KL Gangster jatuh imej Melayu, dakwa Pekida

Posted: 10 Jun 2011 02:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Di sebalik kutipan pecah panggung, sebuah pertubuhan Melayu mendakwa filem "Kongsi" arahan Farid Kamil Zahari mencemarkan imej orang Melayu dengan memaparkan adegan yang mencerminkan seolah-olah kaum terbesar itu terlibat dalam aktiviti gengsterisme.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Wilayah Persekutuan juga menyifatkan filem KL Gangster yang mula ditayangkan pada 9 Jun lalu turut mempunyai unsur-unsur merendahkan martabat orang Melayu selain boleh mempengaruhi golongan muda.

"Filem Kongsi dan KL Gangster ini seolah-olah mencemar imej orang Melayu dengan memaparkan orang Melayu ini adalah gengster, malah banyak adegan-adegan yang dipaparkan secara tidak langsung merendahkan martabat kita.

"Banyak adegan-adegan dalam kedua-dua filem ini mencemarkan imej orang Melayu dan boleh mempengaruhi remaja, malah bahasa-bahasa yang digunakan dalam filem ini tidak boleh diterima sebab menggunakan bahasa kesat," kata Ketua Ahli Majlis Pekida Wilayah Persekutuan Norashikin Abdul Ghani kepada The Malaysian Insider.

Tegas Norashikin, beliau pelik bagaimana filem yang mengandungi unsur ganas dan gengsterisme ini tidak ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Bagaimana filem yang mencemarkan imej orang Melayu, ganas dan gengsterism boleh tidak ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem? Saya telah menonton kedua-dua filem ini dan banyak adegan yang tidak sepatutnya ditayangkan selain bahasa-bahasa yang digunakan.

"Kenapa Lembaga Penapisan Filem tidak tapis filem-filem ini? Orang Melayu bukan gengster tapi dalam filem ini menunjukkan sebaliknya," katanya.

Jelas beliau, pertemuan diadakan dengan pengurusan LPF petang ini bagi membincangkan perkara itu.

"Kami mahu Lembaga Penapisan Filem mengambil tindakan segera, mana-mana bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan dipotong.

"Selain itu, kami juga mahu Lembaga Penapisan Filem memberi penjelasan berhubung pelepasan kedua-dua filem itu tanpa ditapis," katanya.

Selain itu, tegas Norashikin, filem "Kongsi" yang berjaya mengutip sebanyak RM8 juta selepas tiga minggu ditayangkan sejak 12 Mei lalu turut menggunakan kata kunci Pekida.

Jelas beliau, kata kunci Pekida tidak sepatutnya digunakan dalam filem memandangkan ia adalah rahsia.

"Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.

"Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalukan dan menjatuhkan martabat orang Melayu sendiri," katanya.

Tambah beliau, pengarah kedua-dua filem ini iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif apabila mengaitkan orang Melayu dengan kumpulan gengster.

"Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.

"Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved