Khamis, 16 Jun 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Karikatur: Perkasa kata Utusan tak hina Islam, menteri dakwa hanya persepsi

Posted: 16 Jun 2011 03:20 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali menegaskan karikatur disiarkan dalam Utusan Malaysia, akhbar milik Umno semalam hanya menyindir pihak-pihak yang tidak memahami keperluan rakaman video dalam kes zina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata bantahan berhubung kakikatur itu hanyalah persepsi individu yang tidak memahami undang-undang Islam.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Syed Hassan berkata beliau percaya karikatur bertajuk "Kekeliruan Kes Rogol" yang disiarkan semalam bukan mahu menghina agama Islam, seperti yang didakwa beberapa pihak.

"Kartun itu hanya untuk menyindir pihak lain yang kononnya mahu rakaman video seks terutamanya dalam kes (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ini memerlukan empat orang saksi, mereka juga telah meminta supaya diadakan qazaf, empat orang saksi.

"Kartun ini bukan untuk menghina Islam, tapi untuk menyindir pihak lain, lagipun apa yang dilakarkan itu menggambarkan apa yang berlaku sekarang," kata beliau merujuk kepada bantahan Pakatan Rakyat agar rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar tidak dijadikan sebagai bahan bukti.

Malah, Pakatan Rakyat juga mahu "Datuk T" yang dianggotai bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dikenakan hukuman qazaf kerana menuduh Anwar, Ketua Umum PKR tanpa empat orang saksi.

Bagi membuktikan kesahihan dakwaan itu, Shazryl  telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan rakaman video seks itu adalah benar dan Anwar adalah pelakunya.

Semalam, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan mengecam penyiaran karikatur itu sambil menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa.

Akhbar Utusan Malaysia semalam menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Jelas Syed Hassan, sepatutnya PUM melihat lakaran itu secara terbuka dan bukan terus menyalahkan Utusan Malaysia.

Tegas beliau, PUM juga perlu menyokong agar rakaman video seks dijadikan bahan bukti dan meminta agar Anwar dihukum kerana melakukan zina.

"Jadi sepatutnya Persatuan Ulama Malaysia ini minta agar pihak yang melakukan seperti yang digambarkan dalam lakaran itu untuk menerima hakikat.

"Bukan mengecam kartun itu, kita tahu apa yang digambarkan itu berlaku dalam keadaan sekarang dan kita perlu lihat dalam konteks lebih luas, bukan terus menyalahkan Utusan Malaysia.

"Kita bukan mempertahankan Utusan Malaysia tapi Perkasa melihat kartun itu bukan berniat menghina Islam tapi sekadar sindiran kepada pihak lain, ia gambaran sebenar apa yang berlaku sekarang," katanya.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai "Denmark Malaysia" kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam.

Sementara itu, Jamil Khir berkata bantahan terhadap kakikatur itu adalah persepsi untuk individu yang tidak memahami undang-undang Islam.

Justeru beliau meminta agar pihak yang mengecam karikatur itu merujuk kepada peguam syarie.

"Itu (bantahan) persepsi sahaja, persepsi umum tentang orang yang tidak tahu undang-undang dengan orang yang tahu undang-undang.

"Ia sekadar persepsi, kalau anda mahukan kepastian boleh semak dengan peguam syariah, saya bukan pakar dalam hal ini. Tapi dalam undang-undang ada macam-macam cara untuk dijadikan bukti."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengarah Ditamas: Khir Toyo minta saya berbohong kepada SPRM

Posted: 16 Jun 2011 01:54 AM PDT

SHAH ALAM, 16 Jun – Saksi utama kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo hari ini mendakwa bekas menteri Besar itu telah menggesa beliau agar berbohong kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak melibatkannya.

Dalam keterangannya, Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni berkata Dr Khir (gambar) ada meminta agar tidak melibatkan beliau ketika memberikan keterangan kepada SPRM dua tahun lalu.

"Banyak kali, saya dijanjikan bahawa kes ini akan diselesaikan dan beliau (Dr Khir) dan saya tidak akan didakwa," kata Shamsuddin di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

"Apabila saya pergi ke SPRM, saya percaya saya cuma (jadi) seorang saksi... apabila SPRM datang dengan kertas tuduhan di mahkamah, Datuk Seri Khir Toyo memberitahu saya 'jangan risau Shamsuddin. Kita boleh selesaikan ini'," kata beliau.

Shamsuddin dalam suara tersekat-sekat memberitahu, dia tidak mahu mengaibkan sesiapa sebelum Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki mencelah dan memberitahu bahawa "ini bukan forum untuk memberi ucapan."

"Saya dituduh dan saya tidak tahu mengapa saya didakwa," kata ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Apabila Shamsuddin yang berpakaian hitam berkata, dia digesa oleh Dr Khir agar tidak mengaitkan beliau, bekas menteri besar itu menggeleng kepala sebagai tanda tidak bersetuju dengan keterangannya.

Semalam, Shamsuddin yang berkata dia telah diminta memaklumkan SPRM pada 2009 bahawa dia menjual rumah agamnya dan dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini untuk menampung kerugian dialami, hari ini berkata itu tidak benar.

Ahli perniagaan itu berkata dia memaklumkan SPRM bahawa dia telah melantik seorang artis landskap Nasir Ismail untuk mengubah suai rumahnya, tetapi semalam menekankan bahawa individu itu sebenarnya dilantik oleh Dr Khir.

Kata Shamsuddin, dia tidak memberitahu SPRM bahawa dia menjual hartanahnya kepada seorang, yang menerajui negeri paling kaya selama lapan tahun, di bawah harga pasaran.

Peguam Dr Khir, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, "adakah anda bersetuju bahawa anda telah memberi satu kenyataan palsu (kepada SPRM pada 2009) yang merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM?"

"Kenyataan ini adalah kerana tekanan daripada Datuk Seri Khir Toyo," jawab Shamsuddin, sambil menambah SPRM tidak memaksanya memberikan kenyataan palsu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved