Isnin, 11 Julai 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Sarbaini nafi terima rasuah, kata pegawai SPRM

Posted: 11 Jul 2011 02:27 AM PDT

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menafikan menerima rasuah daripada seorang ejen pengangkutan ketika disoal siasat pada 2 April lalu, kata seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam inkues kematian pegawai Kastam itu hari ini.

Bagaimanapun seorang saksi, Ketua Unit Penyiasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin dalam keterangan sebelum ini berkata Sarbaini (gambar) mengakui menerima rasuah dua hari selepas itu.

Fauzi juga berkata, Sarbaini telah datang ke pejabat SPRM, Jalan Cochrane pada 6 April untuk menarik balik pengakuan itu.

Sarbaini ditemui mati beberapa jam kemudian di gelanggang badminton tingkat satu pejabat SPRM dipercayai terjatuh dari tingkap bilik pantri di tingkat tiga.

Penolong Penguasa SPRM Kuala Lumpur Mohd Rosly Mohd Saupi memberitahu mahkamah koroner bahawa Sarbaini menafikan menerima rasuah pada 2 April daripada seorang pegawai dari Top Mark Freight & Shipping Sdn Bhd.

"Dia berkata sepanjang bekerja dengan Firdaus, dia (Firdaus) tidak pernah memberi rasuah semasa menjalankan tugas sebagai pegawai Kastam," katanya.

Rosly, yang mengambil keterangan pertama Sarbaini pada 2 April tidak menyebut nama penuh Firdaus.

Pegawai SPRM berumur 28 tahun itu juga berkata, Sarbaini tidak boleh menjelaskan mengenai deposit RM22, 970 dan wang keluar RM21,994 dari akaun banknya pada 20 Februari 2010.

"Dia kata tidak pasti dan kata akan tanya kepada bank. Dia memberikan kerjasama, tiada masalah," kata Rosly.

Sebelum ini, Fauzi dalam keterangannya berkata, Sarbaini mengakui kepada SPRM pada 4 April lalu telah menerima rasuah antara RM50 dan RM100 sebulan daripada pegawai Schenker Logistist (Malaysia) Sdn Bhd Wan Zainal Wan Abidin, serta RM30 dan RM200 sebulan dari pegawai Top Mark yang dikenali sebagai Ah Seng.

Wan Zainal dalam keterangan Jumaat lalu bagaimanapun menafikan memberi rasuah kepada Sarbaini.

Ejen pengangkutan itu menambah, Sarbaini memberitahunya bahawa dia dimaklumkan SPRM telah menerima rasuah.

Ketika ditanya mengapa dia lakukan, Wan Zainal menarik balik keterangan itu dan memberitahu tidak ingat perkara itu.

Wan Zainal juga berkata, Sarbaini mungkin dipaksa mengaku berbuat demikian ekoran penangkapan beberapa pegawai Kastam yang terlibat dalam rasuah bernilai berbilion ringgit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bersih 2.0: Pemuda PAS buat laporan di Suhakam esok

Posted: 11 Jul 2011 02:18 AM PDT

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Dewan Pemuda PAS pusat akan membuat satu laporan rasmi di Suhakam esok berhubung tindakan keras pihak berkuasa semasa menangani peserta Himpunan Bersih 2.0 kelmarin.

Ketuanya Nasrudin Hasan berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung kekerasan yang digunakan pihak berkuasa semasa perhimpunan itu.

"Isunya sekarang adalah mengenai keganasan pihak polis atau pihak keselamatan yang bertindakn ganas ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

"Dan, kita mempunyai banyak bukti sama ada melalui gambar atau rakaman video yang secara jelas memaparkan tindakan ganas polis ke atas peserta yang ketika itu dalam keadaan tidak bersenjata dan tidak mencetuskan provokasi tetapi mereka ditindas dengan begitu kasar dan kejam oleh polis," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, ekoran tindakan ganas pihak keselamatan itu ramai peserta perhimpunan mengalami kecedaraan fizikal akibat diserang.

"Ada yang cedera, ada juga yang terpaksa menerima jahitan dan ada yang ditangkap oleh polis tanpa sebarang rasa belas kasihan.

"Janganlah kerana mereka (polis) mempunyai meriam air, belantan dan gas pemedih mata mereka boleh bertindak dengan sesuka hati ke atas rakyat," katanya.

Menurut Nasrudin, tindakan pihak keselamatan itu bertentangan dengan amalan demokrasi negara yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

"Dalam amalan demokrasi negara rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan kita tidak faham mengapa polis bertindak ke atas peserta.

"Ini merupakan satu pencabulan dalam sistem demokrasi negara dan kami sekarang masih mengumpul bukti keganasan polis... kita setakat ini telah mengumpul banyak bukti," katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya berharap agar laporan yang akan dibuat kepada Suhakam esok akan dinilai dan tindakan selanjut harus diambil.

"Kita minta Suhakam siasat perkara ini dan bawa kepada pihak berkuasa dan kita juga mahu insiden keganasan ini disiasat segera dan anggota yang terlibat juga perlu disiasat," katanya.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved