Isnin, 18 Julai 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Insiden Hospital Tung Shin: Kami sedia nanti polis, kata doktor

Posted: 18 Jul 2011 01:42 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Salah seorang daripada 11 doktor Hospital Tung Shin sedia memberi kerjasama dengan polis yang memutuskan untuk mengadakan pasukan khas menyiasat dakwaan mereka bahawa pekarangan hospital itu menjadi sasaran gas pemedih mata dan air berasid, 9 Julai lalu.

Dr Ng Kwee Boon, yang bertugas sebagai perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan berkata, beliau sedia memberi kerjasama jika polis mahu membuat siasatan mengenai perkara tersebut.

"Kalau mereka hendak buat siasatan, kami sedia beri kerjasama. Tetapi buat masa ini, mereka masih lagi tidak ada jumpa saya. Saya sendiri akan menyediakan afidavit berkanun untuk tujuan siasatan," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada 9 Julai lalu, dipercayai polis melepaskan gas pemedih mata  ke dalam kawasan Hospital Tung Shin untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya akan menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat dakwaan 11 doktor Hospital Tung Shin di ibu negara.

Satu pasukan khas akan menyiasat dakwaan doktor-doktor manakala satu lagi pasukan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh kejadian itu.

"Kami (polis) akan menyiasat dahulu perkara yang berlaku termasuk mengambil keterangan daripada doktor, saksi dan petugas-petugas (polis) yang terlibat pada masa itu," katanya.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan Lembaga Hospital Tung Shin sendiri memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai lalu, Dr Ng berkata, beliau sendiri tidak tahu mengapa mereka berkata sedemikian.

"Saya tidak tahu kenapa mereka cakap macam itu. Mereka tidak tahu apa-apa kerana tidak berada di situ," ujarnya lanjut.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina ketika perhimpunan 9 Julai.

"Kami, doktor-dotkor yang menurunkan tandatangan di bawah, tidak mahu menyertai polemik perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi mahu menjelaskan kebenaran tentang keadaan tidak selesa yang wujud (hari itu)," kata mereka.

Selain Ng, 10 doktor lain menandatangani kenyataan itu ialah Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

"Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali," kata mereka dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, Dr Musa  enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

"Saya tidak mahu komen," katanya lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bersih 2.0: Pemuda didakwa pegang pisau mahu saman Berita Minggu

Posted: 18 Jul 2011 01:32 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 dari Unit Amal PAS mahu menyaman Berita Minggu milik Kumpulan New Straits Times kerana mendakwa dia memegang pisau semasa perhimpunan di ibu negara, 9 Julai lalu.

Abdul Razak Endut, 32, dari Temerloh berkata edisi 10 Julai yang menyiarkan gambarnya dengan tajuk "seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram" manakala tajuk kecilnya pula berbunyi "perusuh guna senjata, batu, lawan polis" adalah tidak benar.

Sebaliknya Abdul Razak yang mesra dengan panggilan "Ajak" berkata dia hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti mana yang didakwa.

Selain Berita Minggu, gambar sama turut dimuatkan oleh akhbar New Sunday Times dengan tajuk "Peaceful (Aman)?" pada muka depan.

"Saya mahu saman Berita Minggu kerana telah menjatuhkan imej saya, disebabkan gambar itu ramai yang bertanyakan hal sama kepada saya.

"Setakat ini saya tidak tahu berapa jumlah yang akan disaman, saya akan berbincang dulu dengan peguam saya," kata Abdul Razak kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Abdul Razak yang bekerja sendiri tampil membuat pendedahan berhubung gambar yang disiarkan Berita Minggu.

Dia berkata selain tidak memegang pisau, dia juga menafikan membaling batu ke arah pihak keselamatan.

Pada perhimpunan Bersih 2.0, Abdul Razak diarah agar menjaga Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli dan peserta perhimpunan berhampiran Menara Maybank.

"Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat," kata Abdul Razak mendedahkan perkara sebenar dengan berpakaian sama seperti yang disiarkan dalam Berita Minggu.

Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan turut disiarkan media antarabangsa sekali gus menolak dakwaan beliau memegang pisau.

"Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara)," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Abdul Razak, Ahmad Nizam Hamid berkata pihaknya akan memfaikan saman itu dalam masa terdekat.

"Sebelum ini saya telah nasihatkan dia (Abdul Razak) untuk saman NST dan Berita Minggu kerana siarkan gambar palsu... ini satu kes yang bagus kerana melanggar etika.

"Tindakan ini perlu diambil kerana ia sangat tidak beretika mereka ubah gambar asal, ia adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Pakatan Rakyat  dan Pemuda Umno ditahan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved