Isnin, 25 Julai 2011

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Samseng di jalanraya

Posted: 24 Jul 2011 05:36 PM PDT

25 JULAI — Ribuan lampu isyarat dipasang di merata tempat di seluruh negara. 

Begitu juga halnya dengan papan tanda jalan raya yang mengingatkan pemandu-pemandu kereta, lori, dan pembonceng motosikal untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya. 

Sementara kehadiran polis trafik, dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menangkap pesalah-pesalah trafik terus mewarnai senario pemandangan di ibu negara saban hari, sesuatu yang dilihat sinonim dengan kehidupan penduduk di bandar besar.  

Dahulunya, melintasi sebatang jalan raya yang sibuk tidak menjadi masalah kepada pengguna. Lagipun, jumlah kenderaan yang ada ketika itu pun agak sedikit kerana bukan semua rakyat mempunyai kemampuan untuk memliki kenderaan masing-masing.

Menakjubkan juga, sikap pengguna dahulunya tidaklah seganas berbanding pengguna sekarang. Takuk minda pengguna jalan raya pada masa itu cukup "simple" dan mereka diajar untuk patuh kepada undang-undang. 

Namun demikian, apa yang berlaku 20 atau 30 tahun lalu sudah berakhir dan tidak kelihatan akan kembali. Nampaknya, kebanyakan rakyat Malaysia sudah tidak takut dengan undang-undang yang dikuatkuasakan. Sebaliknya, mereka menguatkuasakan undang-undang mereka sendiri. Dalam erti kata lain, undang-undang rimba semakin bermaharajalela.

Biarpun lampu isyarat menunjukkan warna merah, dipandunya laju seolah-olah tiada hari esok. Keselamatan pejalan kaki yang ada di hadapan mereka langsung tidak dipedulikan. Sebaliknya, nafsu untuk sampai ke tempat yang ingin dituju dipuaskan ke tahap yang semaksimum mungkin.  

Semestinya, pengguna jalan raya termasuk penulis sendiri merasa tidak selamat untuk melintas jalan raya. Apakah ada jaminan bahawa pengguna jalan raya mereka tidak akan dilanggar ketika melintas? Dan apakah ada jaminan bahawa si pesalah akan turun membantu jika pengguna jalan raya dilanda malapetaka?     

Mungkin ada benarnya juga pandangan umum yang mendakwa rakyat Malaysia memang peramah orangnya di hadapan tetamu asing tetapi apabila berada di atas jalan raya, perwatakannya berubah dengan sekelip mata-360 darjah. Mereka bagaikan dirasuk, dipengaruhi dengan kemarahan dan hilang pertimbangan.   

Saban hari, ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, kesalahan demi kesalahan terus berlaku di hadapan mata penulis. Daripada memandu melebihi had laju, memotong kenderaan lain di atas garisan berkembar dan tidak menghentikan kenderaan ketika lampu isyarat menunjukkan merah. Yang cukup mendukacitakan, si pesalah banyak ketikanya bukan sahaja tidak tahu malu dengan perbuatan bahaya mereka sebaliknya terus bermegah-megah. Sudahlah melanggar peraturan jalan raya sesuatu yang buruk, tetapi bagi mereka yang menyedari kesilapan tersebut tetapi tidak mahu insaf, itu sebenarnya lebih buruk dan terkutuk!

Apakah yang mereka akan capai melalui perbuatan bodoh sebegini?

Kerajaan dan pihak penguatkuasa tidak harus menghantar mesej salah kepada pesalah trafik dengan memberikan diskaun saman. Dengan memberikan diskaun, mereka sebenarnya sedang menggalakkan si pesalah trafik untuk terus melakukan kesalahan.   

Sikap toleran penguatkuasa untuk memberi diskaun saman baru-baru ini tidak kena pada tempatnya. Penguatkuasaan undang-undang tidak wajar mengenal erti siapa dan berapa tinggi darjat seseorang. Yang melakukan kesalahan tetap perlu dihukum dengan setimpal bagi menghantar mesej jelas bahawa kesalahan sedemikian tidak boleh dipandang ringan.

Kerajaan tidak perlu gentar dengan ugutan ataupun keluhan pengguna jalan raya yang mahukan tolak ansur dalam penguatkuasaan undang-undang. Selagi ketegasan itu tidak diterjemahkan ke dalam tindakan yang konkrit lagi tegas, maka selagi itulah kelompongan itu akan dimanipulasi.     

Tidak mengapa jikalau pendekatan yang digunakan tidak popular. Biar dilabel sebagai zalim atau tidak prihatin sekalipun, prinsip menegakkan undang-undang tidak boleh digadaikan. Menggadaikan prinsip ini hanya bererti memberikan 'lampu hijau' untuk segelintir hidup dalam dunia mereka, dengan undang-undang mereka tersendiri.     

Jika diajukan soalan berikut: Adakah sukar untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan? Jawapannya sudah cukup jelas — TIDAK. Ianya banyak bergantung kepada tahap disiplin dan kesanggupan diri seseorang untuk mematuhinya.  Jika mereka ini sanggup bangun awal untuk sampai ke tempat kerja mengikut masa yang sepatutnya, sudah tentu tidak ada sebab mengapa sikap berkenaan tidak boleh diterapkan ketika mereka di atas jalan raya.

Kini, tinggal sembilan tahun sahaja lagi sebelum Malaysia dikatakan akan mencapai status negara maju. Pada 2020 nanti, akan digambarkan Malaysia sebagai sebuah negara maju bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan rohaniah dan jasmaniah. Kedua-dua elemen inilah yang akan melengkapkan agenda pembangunan negara.

Berpandukan kepada realiti semasa, masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam konteks takuk minda rakyat. Selagi takuk minda rakyat masih tidak berubah, selagi itulah hasrat negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 akan hanya tinggal impian semata-mata.

Kalaupun berjaya menjadi negara maju, yang majunya mungkin hanya dari pembangunan fizikal tetapi tidak dalam pembangunan rohaniah dan jasmaniah. Inilah cabaran terbesar yang perlu ditangani jika Malaysia mahu dianggap sebuah negara maju dalam konteks yang sebenar-benarnya.  Perjalanan panjang yang penuh ranjau ini harus dimulakan dari sekarang! 

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Meneroka Beijing dari ‘kosong’

Posted: 24 Jul 2011 05:20 PM PDT

25 Julai — Apabila saya ditawarkan peluang oleh syarikat penerbitan OneNusantara Sdn Bhd untuk ke Beijing, China, selama 10 hari untuk mengumpul bahan bagi menghasilakan buku travelog dan/atau panduan pelancongan, saya menerima tawaran itu dengan gembira.

Saya belum pernah ke India dan China walaupun saya amat kagum dengan kehebatan tamadun dan kebudayaan tradisional di kedua-dua negara Asia itu.

Walaupun saya sudah tahu bahawa saya akan ke Beijing pada 12 Julai lalu, saya sengaja tidak melakukan apa-apa pengumpulan bahan atau kajian menerusi buku mahu pun internet.

Saya membuat keputusan itu secara penuh sedar kerana saya mahu pergi ke Beijing dengan fikiran 'kosong' iaitu tanpa sebarang lambakan maklumat mengenai sejarah, budaya, cuaca, kehidupan, teknologi, kerajaan, pengangkutan awam dan sebagainya.

Dengan itu, selama 10 hari di Beijing, saya mendapat pelbagai maklumat dan pengalaman baru kerana saya mengunjungi kota metropolitan itu tanpa sebarang "harapan" dan "andaian".

See Hua (kiri) sentiasa bersedia menjawab pertanyaan mengenai tempat-tempat yang dilawati.

Saya, Izan Ali, Nurul Fadzillah dan Jasmine Koh amat bertuah kerana kami ditemani oleh Tan See Hua, calon PhD dari Institut Teknologi Beijing (BIT) sebagai "pemandu pelancong" yang kemudian bertukar menjadi sahabat karib.

Pemuda berumur 29 tahun itu yang berasal dari Tangkak, Johor, ternyata mempunyai maklumat amat mendalam mengenai sejarah, budaya, sosial, makanan, pengangkutan dan segala hal berkaitan Beijing.

Saya mula mengenali Beijing menerusi pengalaman berada di kota metropolitan itu sendiri serta mendengar pelbagai penerangan yang diberikan oleh See Hua.

Pengalaman seperti ini amat menarik kerana saya berpeluang mengenali, memahami dan menghayati pelbagai perkara berkaitan Beijing secara sedikit demi sedikit; bukan dilambakkan sekali gus di depan mata.

Saya, Izan, Fadzillah dan Jasmine pada mulanya dijadual menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong selama empat hari sahaja sebelum menyertai rombongan pelancong dari Malaysia pada 16-21 Julai.

Bagaimanapun, akibat terlalu kecewa dengan "pelancongan Islam" yang sebenarnya hanyalah "pelancongan beli-belah", kami berempat memutuskan untuk meneroka Beijing secara sendirian serta dengan bantuan See Hua pada tiga hari terakhir kami di sana.

Pengalaman seharian saya di Beijing ada disiarkan di The Malaysian Insider dan menjadi catatan yang menceritakan bagaimana saya mengenali dan memesrai Beijing secara berperingkat-peringkat selama 10 hari kami di sana.

Sistem kereta api bawah tanah yang dikenali sebagai Beijing Subway — atau subway — mula beroperasi pada 1971. Rangkaian itu semakin  berkembang sejak 2002 dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kelas antarabangsa kepada pengguna.

Kepada mana-mana pelancong yang datang ke Beijing, gunakan sahaja rangkaian subway, bas dan teksi tanpa bergantung pada bas pelancongan yang sebenarnya membantutkan usaha mengenali budaya dan cara hidup sebenar penduduk di kota ini.

Menurut See Hua, menjelang tahun 2020, sekitar 30 rangkaian subway yang melibatkan 450 stesen hentian dan landasan 1,050 kilometer dijangka beroperasi di Beijing.

Kunjungan saya ke Beijing hanya selama 10 hari dan tentulah tidak mencukupi untuk menulis buku serba lengkap mengenai kota itu yang mempunyai sejarah amat panjang.

Sebaliknya, buku yang bakal dihasilkan lebih berupa panduan kepada pelancong beragama Islam dari Malaysia mengenai pelbagai perkara berkaitan Beijing yang wajar dan perlu mereka ketahui supaya kunjungan mereka menjadi lebih terancang dan bermakna.

Maka tentulah saya, Izan dan Fadzillah dengan bantuan Jasmine dan See Hua akan menulis buku itu berdasarkan pengalaman sebenar kami "meneroka" Beijing selama 10 hari. Bukan bagi tujuan "pelancongan beli-belah" tetapi "pelancongan budaya".

Misalnya, jika diperhatikan, ada tiga bentuk seni bina yang amat dominan di pusat kota. Seni bina tradisional yang kaya dengan budaya China masih dikekalkan antaranya menerusi bangunan di Tiananmen dan Kota Larangan.

Seni bina yang dinamakan "Sino-Sov" pula dapat dikenal pasti menerusi bangunan berbentuk kotak yang kebanyakannya dibina pada tahun 50-an, 60-an dan 70-an.

Bentuk ketiga adalah bangunan serba moden dan serba canggih yang pasti membuatkan kita kagum, khususnya selepas khusyuk dengan kehebatan KLCC selama ini.

Setiap objek di Beijing ada kisah tersendiri berkaitan sejarah, seni dan budaya.

Banyak tempat di Beijing berakhir dengan "men" yang bermakna "pintu Gerbang" (gate). Tempat-tempat itu sesungguhnya pernah menjadi pintu gerbang sepanjang Tembok Besar China suatu masa dahulu.

Kita juga akan bertemu banyak tempat yang berakhir dengan "cun" yang bermakna "kampong", "jie" yang bermakna "jalan" dan "hutong" yang bermakna "lorong".

Dengan bantuan dan panduan See Hua, kami berempat berjaya menimba pengalaman bermakna di beberapa cun, jie dan hutong; selain meneroka tempat-tempat lain yang biasa termasuk dalam pakej ditawarkan agensi pelancongan.

Bercakap mengenai nama, "Beijing" sendiri mempunyai kisah menarik yang hanya saya mula teroka secara mendalam selepas pulang ke Malaysia pada 21 Julai.

Nama "Beijing" bermakna "ibu negara di utara" sebagaimana "Nanjing" bermakna "ibu negara di selatan" kerana "jing" bermaksud "ibu Negara".

Nama lain bagi Beijing adalah Peking dan nama itu masih digunakan secara rasmi dalam pelbagai urusan. "Beijing" adalah sebutan Mandarin manakala "Peking" pula sebutan dialek Fujian.

Semasa pemerintahan Dinasti Jin, nama Zhongdu digunakan. Semasa Dinasti Yuan pula, Beijing dikenali sebagai Dadu bagi orang China dan Daidu bagi orang Mongol.

Nama Beijing juga pernah ditukar kepada Beiping oleh Maharaja Hongwu dari Dinasti Ming apabila ibu negara ditukar ke Nanjing. Hal ini kerana "jing" bermakna "ibu Negara" manakala "ping" bermakna "keamanan" — seperti pada nama Taiping, Perak.

Maharaja Yongle pula mengembalikan nama serta kedudukan Beijing sebagai ibu negara; sehingga pada 28 Jun 1928 apabila Kuomintang (KMT) melakukan perkara sama seperti Maharaja Hongwu.

Akhirnya, pada 1 Oktober 1949, Parti Komunis China di bawah pimpinan Mao Zedong membentuk Republik Rakyat China, sekali gus mengembalikan nama dan kedudukan Beijing sebagai ibu negara.

Dengan lebih 19,612,370 penduduk, kota metropolitan ini menjanjikan pelbagai pengalaman yang mampu membuka mata dan minda pengunjung dari jauh dan dekat.

Malah, tidak salah jika saya mengatakan bahawa setiap pokok dan batu di Beijing mempunyai kisah tersendiri berkaitan seni, budaya dan sejarah kota ini.

Saya percaya bahawa buku yang sedang ditulis berdasarkan pengalaman 10 hari kami meneroka Beijing dari "kosong" mampu memberi sekurang-kurangnya panduan berguna kepada pembaca.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved