Isnin, 1 Ogos 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Shamala tarik balik rayuan batal tukar agama dua anaknya

Posted: 01 Aug 2011 03:04 AM PDT

PUTRAJAYA, 1 Ogos – Bekas kerani bank S Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan dua anak lelakinya dengan suaminya yang telah memeluk agama Islam memutuskan untuk menarik balik rayuan peringkat Mahkamah Rayuan.

Shamala, 39, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi satu deklarasi untuk membatalkan penukaran agama kedua-dua anak lelakinya kepada Islam oleh suaminya yang telah berpisah dengannya.

Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin bersama Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin membatalkan rayuan selepas Shamala menarik balik rayuan itu.

Menurut laporan Bernama Online, walaupun suami Shamala, Dr Muhammad Ridzwan, 43, memohon Shamala membayar RM15,000 bagi kos undang-undang, panel itu selepas menimbangkan pandangan kedua-dua pihak dalam rayuan itu, memutuskan untuk tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Shamala, yang dipercayai berada di luar negara, juga menarik balik rayuan balasnya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kepadanya dan Dr Muhammad Ridzwan yang dahulunya dikenali sebagai Dr Jeyaganesh C. Mogarajah, hak penjagaan bersama kedua-dua anak mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran, tetapi mengenakan kaveat ke atas Shamala, melarangnya mengajar anak-anaknya amalan agama Hindu dan memberi mereka makan babi.

Peguam yang mewakili Shamala, Steven Thiru memaklumkan panel itu bahawa notis menarik balik rayuan dan rayuan balas itu telah difailkan pada 11 Julai lalu.

Sementara itu, panel berkenaan menangguhkan empat rayuan lain yang dikemukakan oleh Dr Muhammad Ridzwan, ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah juga menangguhkan notis usul yang difailkan oleh barisan peguam yang mewakili Shamala untuk menarik diri daripada mewakilinya dalam rayuan itu, ke satu tarikh yang akan ditetapkan, selepas memerintahkan peguam berkenaan menyerahkan permohonan menarik diri itu kepada Shamala.

Steven Thiru memohon kepada mahkamah untuk dirinya dan dua lagi peguam iaitu Ravi Nekko dan David Matthews untuk menarik diri daripada mewakili Shamala atas alasan mereka gagal mendapatkan arahan daripada anak guam mereka berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Shamala perlu membersihkan penghinaan mahkamah yang dihadapinya sebelum beliau boleh didengar.

Katanya sejak 2004, beliau menerima arahan daripada keluarga Shamala.

Terdahulu, semasa mengemukakan permohonan menarik balik rayuan itu, Thiru memberitahu mahkamah bahawa kes Shamala adalah satu kes yang sedih kerana ia melibatkan penukaran agama dua anaknya yang masih kecil yang ketika itu berumur empat dan dua tahun (ketika itu) tanpa kebenarannya yang mendorongnya memfailkan litigasi itu.

Thiru menggesa mahkamah untuk tidak mengarahkan Shamala menanggung kos undang-undang itu, menyatakan anak guamnya tidak patut dipersalahkan kerana beliau terpaksa memfailkan litigasi itu.

Muralee Menon, yang mewakili Dr Muhammad Ridzwan, bagaimanapun mendesak supaya Shamala menanggung kos undang-undang itu kerana menurutnya beliau telah menyediakan hujahan bertulis berhubung rayuan itu.

Beliau menggesa mahkamah memutuskan bahawa litigasi yang dikemukakan Shamala adalah menyusahkan dan telah membazirkan masa semua pihak kerana wanita meninggalkan negara ini bersama-sama dua anaknya itu atas pembiayaan suaminya.

Pasangan itu berkahwin pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Pada 2002, Dr Muhammad Ridzwan memeluk Islam dan kemudiannya turut menukar agama kedua-dua anak lelakinya itu kepada Islam tanpa pengetahuan dan kebenaran Shamala.

Pada 12 November lalu, Mahkamah Persekutuan menolak untuk menjawab persoalan utama membabitkan perlembagaan dalam pertikaian Shamala-Dr Muhammad Ridzwan kerana Shamala dan anak mereka tidak hadir di mahkamah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

ISA: Tujuh pegawai imigresen bebas esok

Posted: 01 Aug 2011 02:29 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Tujuh pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) antara 10 hingga 12 Oktober lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia akan dibebaskan secara berperingkat mulai esok.

Sebagai permulaan tiga orang akan dibebaskan esok manakala empat lagi dibebaskan dalam masa terdekat.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata pembebasan itu dilakukan selepas Kementerian Dalam Negeri mendapati semua tahanan terbabit menunjukkan kesedaran dan keinsafan atas kesilapan yang mereka lakukan.

"Saya telah memutuskan untuk membebaskan tujuh pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri antara 10 hingga 12 Oktober tahun lalu, kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia di negara ini.

"Pembebasan ini dibuat setelah Kementerian Dalam Negeri mendapati bahawa semua tahanan ini telah menunjukkan kesedaran dan keinsafan atas kesilapan yang telah mereka lakukan dan berjanji untuk tidak mengulanginya pada masa depan serta telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dalam usaha untuk memerangi kegiatan penyeludupan manusia di negara ini," katanya lagi.

Kata beliau, penahanan mereka dibuat selaras dengan pendirian kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini sekali gus bagi membolehkan siasatan lanjut dan menyeluruh dibuat khususnya terhadap kegiatan sindiket penyeludupan warga asing dan urusan keluar dan masuk dari negara ini.

"Tindakan ini juga dilakukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membuktikan kepada masyarakat di negara ini serta masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia amat komited dalam memerangi aktiviti penyeludupan manusia.

"Dalam hubungan ini, pihak berkuasa di Malaysia akan mengambil tindakan tegas untuk menghalang sebarang usaha untuk menjadikan negara ini sebagai 'transit point' bagi kegiatan ini," katanya lagi.

Hishammuddin berkata, pada masa yang sama beliau ingin mengingatkan pegawai serta kakitangan yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan di pintu masuk negara, agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah.

"Jangan sesekali bertindak mengkhianati negara ini semata-mata ingin mengejar kemewahan hidup. Tidak tolak ansur ke atas mereka yang mengkhianati amanah negara," katanya.

Semalam Hishammuddin berkata, kerajaan telah menghantar pulang dua individu yang ditahan di bawah ISA kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LLTE) ke Sri Lanka baru-baru ini.

Jumaat lalu, polis membebaskan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved