Rabu, 24 Ogos 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Selepas Everest, Qobin teroka sejarah gunung didaki Nabi

Posted: 24 Aug 2011 03:12 AM PDT

PUTRAJAYA, 24 Ogos — Pendaki Everest muda Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, akan memulakan ekspedisi tiga bulan mulai Oktober ini untuk mendokumentasikan siri perjalanan para Nabi Islam dengan mendaki 11 gunung di lapan negara.

Perjalanan Muhamad Muqharabbin yang mesra dikenali "Qobin", yang bakal dikenali sebagai Eksplorasi Gunung-gunung Nabi, akan dijadikan bahan 30 siri dokumentari siaran televisyen nasional.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini, Qobin yang berusia 28 tahun berkata, misinya akan bersandarkan al-Quran, hadis dan buku-buku teks sejarah, dan akan cuba menerokai rahsia, panduan, dan ajaran yang ditinggalkan dalam perjalanan setiap nabi.

"Ini bukan hanya menguji kekuatan fizikal dan kesungguhan tetapi juga perjalanan untuk menerokai sejarah pata Nabi dalam setiap laluan mereka," katanya lagi.

Katanya, aktiviti mendaki dianggap sebagai "sunah" atau sebahagian daripada amalan Nabi.

Dalam ucapannya, Najib berkata ekspedisi ini akan membolehkan umat Islam mengetahui keagungan Allah dan akan menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.

Ekspedisi ini diilhamkan oleh Ekspedisi Ekstrem Tujuh Benua.

Ia juga melibatkan satu panel sarjana Islam sebagai penasihat dokumentari, antaranya Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadut, bekas Mufti Kedah Datuk Setia Jaya Syeikh Hasbullah Abd Halim, bekas Ketua Pengarah Jakim Datuk Mustafa Abdul Rahman dan  Profesor Madya Dr Adnan Mohamed Yusoff dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Qobin memulakan perjalanan Oktober ini dengan mengunjungi Sri Lanka dan meneruskan ekspedisi mulai Januari hingga Mac depan merangkumi Turki, Rusia, Arab Saudi, Mesir, Jordon dan Syria.

Ekspedisi ini dijangka menelan kos RM1.2 juta.

Beliau menawan Everest pada 2004 dan kemudian Gunung Kosciousko di Australia (2005) dan Gunung Kilimanjaro tahun lalu.

Pada 23 Mei 2007 beliau memulakan Ekspedisi Ekstrem Tujuh Benua melibatkan 22 negara.

Ekspedisi Ekstrem Tujuh Benua mengambil masa dua tahun enam bulan bermula 23 Mei 2007,  meliputi empat fasa.

PAS: Umno layan ulama macam ‘terompah kayu’

Posted: 24 Aug 2011 01:31 AM PDT

SHAH ALAM, 24 Ogos — Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno melayan ulama seperti "terompah kayu" dan tidak mengiktiraf, malah tidak meletakkan golongan itu di kedudukan terbaik dalam pentabiran negara.

Tegas Ketua Penerangan PAS (gambar) ini, ulama tidak akan dihormati dan disanjung jika ia tidak diiktiraf oleh mana-mana parti atau pentadbiran negara.

"Ulama perlu ada tanggungjawab dan pengiktirafan tapi kalau kita duduk dalam parti yang tidak iktiraf ulama dan tak terima nasihat ulama, nak buat apa... ulama adalah pemandu kepada pemimpin supaya pemimpin ikut nasihat ulama berlandaskan hukum Islam.

"Itu yang jadi (dalam Umno), bila perlu pakai (ulama), kalau tak perlu tak pakai . . . itu yang macam terompah kayu dan 'rice cooker', kita tidak mahu ulama kita duduk sahaja, pemimpin mesti dipandu, kalau pemimpin baik rakyat juga akan baik," katanya Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti anjuran hari ini.

Terompah kayu merujuk kepada selipar yang digunakan untuk ke tandas.

"Pakai (terompah kayu) bila nak pergi tandas sahaja," katanya.

Jelas Tuan Ibrahim, PAS mengangkat martabat ulama dan meletakkan ia di kedudukan yang tinggi dalam parti selain turut mengiktiraf kepimpinan golongan itu.

"Ulama ada individu untuk menyampaikan ilmu, jangan khianat... dalam PAS kita letakkan ulama di dua peringkat iaitu Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS, mana-mana keputusan termasuk soal calon kita putuskan dalam Majlis Syura manakala Dewan Ulama PAS pula menyelesaikan isu-isu yang berbangkit mengikut hukum Islam.

"PAS berpandukan Majlis Syura dan presiden kita (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) duduk dalam Majlis Syura selain dibantu oleh Dewan Ulama PAS," katanya.

Jelas beliau, keputusan yang dibuat berdasarkan hukum Islam walaupun terpaksa berdepan dengan risiko hilang sokongan.

"Siapa yang nak pandu pemimpin jika bukan ulama. Ulama mesti memandu politik tapi macam mana nak pandu kalau kita tiada pengiktirafan dan kita dalam PAS mengikut syarak walaupun dari segi politik kita rugi, tapi apakah kita nak tanggung dosa.

"Sebab itu bagi saya adalah pengiktirafan, ulama bukan orang yang berkepentingan, bukan nak kerusi tapi kalau kita lihat ulama telah buat banyak fatwa tapi tidak dihargai," katanya.

Turut menjadi panel wacana Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya.

Fathul Bari berkata Umno perlu memberikan ruang ulama untuk memainkan peranan selain memerlukan sokongan banyak pihak.

"Umno tidak wujud satu badan untuk bawa ulama dalam parti, cuma yang ada adalah biro agama... itu sahaja ada untuk menggerakkan program-program agama, mungkin kita perlukan masa dan tempoh di mana kita dapat membawa ke arah kebaikan.

"Dari segi nasihat kita akan terus sampaikan secara berterusan, kalau diberi ruang kita boleh lakukan," katanya yang menyertai Umno tahun lalu.

Sementara itu, Harussani berkata golongan ulama boleh menyertai mana-mana parti politik tetapi yang penting ia perlu berlandaskan kepada ajaran Islam.

"Saya tidak sokong mana-mana kerana parti hanya menimbulkan perpecahan, kalau saya pergi ke program PAS orang kata saya mufti PAS, bila saya pergi ke Umno kata saya mufti Umno pula.

"Saya sudah berkecimpung dalam masyarakat sudah lama dan kena tuduh macam-macam, ada kat saya Umno... ada kata saya PAS," katanya.

Jelas beliau, ulama sepatutnya membawa umat Islam dekat dengan Islam bukan saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.

"Saya tengok gelar-menggelar adalah satu perkara yang haram tapi saya tengok ramai ulama dalam tazkirah kutuk orang lain, ulama patut bawa orang dekat dengan Islam.

"Kalau kutuk-mengutuk itu bukan ulama tapi syaitan," katanya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved