Khamis, 25 Ogos 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Harapan Komuniti: Dialog dengan Jawatankuasa Pendengaran Selangor ‘baik’

Posted: 25 Aug 2011 02:32 AM PDT

Wakil dari Harapan Komuniti tiba di pejabat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengambil bahagian dalam pertemuan Jawatankuasa Pendengaran mengenai tindakan Jais awal bulan ini. — Foto oleh Choo Choy May

SHAH ALAM, 25 Ogos — Pertubuhan bukan kerajaan Harapan Komuniti hari ini berkata pertemuan dengan Jawatankuasa Pendengaran kerajaan negeri Selangor berhubung kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja awal bulan ini berjalan dengan "baik."

Harapan Komunit yang menganjurkan majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu — sebelum ini berkata doa kesyukuran, lagu keagamaan dan kuiz tentang Islam diadakan dalam program itu tetapi menafikan usaha memurtadkan umat Islam yang hadir.

"Pertemuan berjalan dengan baik," kata peguam Harapan Komuniti Datuk Kenny Ng kepada pemberita selepas pertemuan selama sejam dengan panel Jawatankuasa Pendengaran yang dianggotai Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Mufti Negeri Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abdul Majid Omar.

"Kami percaya ia akan membawa kebaikan kepada semua," tambah beliau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan pemberita.

Pengarah Jais Marzuki Hussin enggan memberi sebarang komen berhubung pertemuan dengan jawatankuasa itu.

Setiausaha politik Khalid, Faekah Husin berkata pejabat menteri besar akan mengeluarkan kenyataan apabila tiba masanya.

Semalam Khalid berkata pertemuan Jais dan Harapan Komuniti itu dibuat untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemeriksaan itu.

Khalid juga berkata Jais akan menyerahkan satu laporan lengkap berhubung pemeriksaan itu kepada jawatankuasa itu dan bukan terus diserahkan kepada Sultan Selangor.

Harapan Komuniti juga sebelum ini berkata mereka tiada sebarang hubungan dengan Gereja Methodist Damansara Utama dengan menegaskan dewan gereja digunakan untuk majlis makan malam.

Kiub ais punca keracunan, pelajar maut selepas buka puasa

Posted: 25 Aug 2011 02:14 AM PDT

Liow berkata siasatan terperinci masih dijalankan. — Foto fail

PUTRAJAYA, 25 Ogos — Laporan awal mendapati kiub ais merupakan punca keracunan makanan yang menyebabkan seorang pelajar berusia 11 tahun meninggal dunia selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Klang awal bulan ini.

Ujian ke atas sampel sisa muntah dan najis untuk mengenal pasti punca keracunan makanan yang menyebabkan pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Klang meninggal dunia dan lapan ahli keluarganya yang lain mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

"Berdasarkan laporan awal, kiub ais merupakan punca keracunan makanan," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik Bernama Online.

"Kita masih menjalani siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca dan sumber sebenar yang menyebabkan mangsa dan ahli keluarga lain mengalami keracunan makanan," katanya kepada pemberita di Hospital Putrajaya di sini.

Pada 9 Ogos, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati juadah berbuka puasa manakala ahli keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama.

Semua mereka didapati makan juadah otak-otak dan air batu campur dibeli daripada bazar Ramadan sama.

Liow menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom keracunan makanan.

"Jangan tangguh untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengalami keracunan makanan. Kita mempunyai pakar dan kalau mendapatkan rawatan awal, kita boleh selamatkan," katanya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved