Sabtu, 27 Ogos 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Gani Patail nafi dakwaan RPK disogok Ho Hup baiki rumah isteri

Posted: 27 Aug 2011 02:42 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) menafikan dakwaan Raja Petra Kamarudin bahawa beliau disogok oleh bekas timbalan pengerusi eksekutif Ho Hup Bhd, Datuk Vincent Lye, atas sokonganya dalam pertikaian lembaga pengarah syarikat tersebut.

Dalam tulisan menerusi blognya Malaysia Today pada 23 Ogos lalu, Raja Petra mendakwa bahawa Lye telah memberi sogokan kepada Gani dan menggunakan dana Ho Hup untuk membayar kerja-kerja pengubahsuaian rumah isteri kedua ketua pendakwa raya itu di Negeri Sembilan.

Dalam respons pertama berhubung dakwaan Raja Petra, Gani memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada syarikat pembinaan tersebut.

"Saya tidak menerima satu sen pun daripada Ho Hup. Saya ada satu peraturan, saya tidak ambil duit," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau memiliki rumah di Seremban, Gani berkata: "Saya tiada rumah di Seremban ataupun di mana-mana di Negeri Sembilan."

"Saya tidak tahu apa nak kata. Semua ini berlaku pada 2009 tetapi kes itu dibawa sejak 2010, jadi tidak masuk akal," kata beliau merujuk kepada kes yang difailkan ke atas Datuk TC Low.

Raja Petra mendakwa Peguam Negara telah menggunakan pengaruhnya bagi pihak Lye untuk mendakwa Low di mahkamah tahun ini berhubung isu pendedahan kepentingannya dalam syarikat tersebut.

Editor Malaysia Today itu juga menyiarkan foto di blognya invois-invois yang dijana daripada komputer, bertarikh 13 Julai 2009, daripada sebuah syarikat di Petaling Jaya kepada Ho Hup berkaitan kerja-kerja pemasangan lampu atas nama "AG's Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa", satu invois tulisan tangan juga bertarikh 13 Julai kepada Lye untuk kerja-kerja pengubahsaian bagi Sri Carcosa di Seremban 2, baucar daripada Ho Hup bertarikh 12 Ogos bagi kerja-kerja yang telah dijalankan bagi rumah "AG Tan Sri Ghani Patail Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa" bernilai RM18,000 dan satu cek RM18,000 yang dikeluarkan kepada pihak yang menjalankan kerja-kerja pengubahsaian.

Lye dan Low yang masing-masing mempunyai pegangan 28 dan 26 peratus ketika itu terlibat dalam pertikaian menguasai lembaga pengarah Ho Hup.

Bagaimanapun Lye telah diundi keluar pada mesyuarat tergempar Ho Hup pada Mac ini.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membersihkan Gani daripada tuduhan rasuah berkaitan dengan urusan menunaikan haji tahun lalu.

PAS: Jual Esso kepada firma Filipina bukti BN terus gagal

Posted: 27 Aug 2011 01:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — PAS memandang serius cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad dan syarikat berkaitannya kepada San Miguel Corporation — sebuah syarikat Filipina — dan mendakwa ia satu lagi kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kepentingan negara dalam industri strategik.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata urusan jualan itu jika diteruskan akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada industri minyak dalam negara.

Baru-baru ini, San Miguel mencadangkan kepada ExxonMobil International Holdings Inc, untuk mengambil alih 65 peratus kepentingan ekuiti dalam Esso Malaysia melibatkan dana RM614.25 juta. Esso Malaysia ialah anak syarikat ExxonMobil International.

San Miguel berkata syarikat itu juga merancang membuat penawaran pengambilalihan mandatori untuk memperoleh baki saham yang tidak dimiliki oleh syarikat selepas cadangan pengambilalihan itu.

Serentak dengan tawaran pengambilalihan Esso Malaysia, San Miguel juga mencadangkan kepada Mobil International Petroleum Corp dan ExxonMobil International untuk mengambil alih ExxonMobil Malaysia dan ExxonMobil Borneo pada paras AS$403.979 (RM1.2 billion)  juta.

Cadangan pengambilan alihan itu akan menyediakan San Miguel dengan peluang unik untuk meluaskan portfolio peniagaan penapisan dan pemasaran minyak di luar Filipina.

Awal minggu ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta Putrajaya memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

"Perlu diingat bahawa urusan niaga itu juga termasuk loji penapisan minyak milik Esso di Port Dickson, yang merupakan aset penting negara.

"Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa kementerian yang berkenaan wajib untuk tidak meluluskan urus niaga tersebut dan Esso mestilah menawarkan penjualan asetnya kepada syarikat dalam negara, sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa pihak yang menunjukkan minatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," kata Hadi lagi.

Hadi menambah, perlu diingatkan bahawa Kongres Amerika Syarikat pernah menghalang penjualan Union Oil of California kepada syarikat minyak milik negara China atas kepentingan strategik.

"Sepatutnya kerajaan yang ada ini, bersama dengan Petronas melalui Petronas Dagangan Berhad bertindak untuk menentukan keselamatan bekalan bahan petroleum dan harga bahan petroleum kekal pada paras yang munasabah.

"Sekali gus Petronas Dagangan juga tidak boleh melupakan peranannya untuk membina dan mempertahankan usahawan-usahawan Bumiputera yang turut menyumbang kepada kerancakan perkembangan ekonomi negara," katanya.

Kata Hadi, walaupun Petronas Dagangan menduduki tempat pertama dalam pasaran bahan petroleum dan negara, penguasaannya dalam syer peruncitan iaitu pasaran stesen minyak hanyalah sekitar 30 peratus walhal sektor ini dipercayai menyumbangkan lebih 60 peratus dari keuntungan Petronas Dagangan.

"Sektor inilah yang paling banyak menerima subsidi kerajaan di mana hampir 70 peratus jumlah subsidi yang dibayar dengan menggunakan wang rakyat mengalir kepada syarikat-syarikat luar negara seperti ExxonMobil, Shell dan Caltex.

"Sepatutnya kerajaan yang menguasai Petronas Dagangan mempunyai pandangan strategik dengan menjadi syarikat pertama untuk mengambil alih Esso sekali gus menguasai sektor ini dari 30 peratus kepada hampir 50 peratus," katanya.

Beliau menambah PAS percaya bahawa masih belum terlambat bagi Petronas Dagangan atau LTAT untuk memulakan perundingan bagi mengambil alih Esso.

"PAS juga mendesak kerajaan supaya menyemak semula penstrukturan subsidi minyak supaya syarikat-syarikat luar negara tidak membolot sebahagian besar jumlah subsidi kerajaan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

"Kerajaan dan Petronas mestilah bertindak pantas secara strategik supaya kestabilan bekalan bahan petroleum domestik pada paras harga munasabah terus dibina dan dilindungi dan kepentingan negara tidak terhakis," katanya lagi.

Malah kata beliau, PAS tidak akan bertolak ansur dalam isu strategik dan mempunyai impak jangka panjang kepada keselamatan negara, perkembangan ekonomi dan kepentingan rakyat Malaysia seperti penjualan Esso kepada kepentingan luar.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved