Rabu, 31 Ogos 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kelab Putera 1Malaysia mahu bawa balik 11 anak yatim Somalia

Posted: 31 Aug 2011 01:34 AM PDT

MOGADISHU, 31 Ogos – Kelab Putera 1Malaysia sedang berusaha untuk membawa balik 11 kanak-kanak Somalia yang kehilangan ibubapa akibat kemarau dan kebuluran untuk dijadikan anak angkat di Rumah Permata kelolaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Untuk tujuan itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata perbincangan sedang diadakan dengan Menteri Kesihatan dan Menteri Pendaftaran Somalia.

"Kerajaan di sini tiada masalah; yang masalah ialah proses dokumentasi supaya apabila mereka besar kelak, mereka tidak berhadapan dengan kesukaran di Malaysia," katanya dipetik Bernama Online.

Katanya, sekiranya proses dokumentasi berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana cuti musim perayaan yang panjang, lawatan kedua ke Somalia akan dilaksanakan bagi membawa mereka pulang.

Abdul Azeez ditemui selepas menyampaikan bantuan pakaian dan makanan kepada 300 keluarga yang menjadi pelarian akibat bencana kemarau, di perkarangan Hospital Darul-Al Shifa di sini.

Selain itu, 18 doktor sukarelawan yang mengikuti misi berkenaan turut membuat kerja-kerja kemasyarakatan dengan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa kebuluran.

Antara penyakit yang dikesan menjangkiti kanak-kanak berkenaan termasuk pelbagai jenis penyakit kulit.

Abdul Azeez mengetuai misi bantuan yang dianggotai 55 sukarelawan dan anggota media serta 26 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.

Misi berkenaan menyediakan 250 tan bekalan bahan makanan dan ubat-ubatan bagi keperluan 45,000 keluarga di Somalia yang menderita akibat bencana kemarau.

Bekas KP DBP Hassan Ahmad meninggal dunia

Posted: 31 Aug 2011 01:27 AM PDT

Hassan Ahmad

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr Hassan Ahmad meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya petang ini.

Anaknya, Aida berkata, Allahyarham dipercayai diserang sakit jatung dan menghembuskan nafas terakhir sekitar 2 petang tadi.

"Ayah saya tidak sakit apa-apa," kata beliau kepada The Malaysian Insider petang ini.

Hassan yang ditemui The Malaysian Insider di rumahnya di 30, Jalan 22/49, Petaling Jaya ketika sambutan sambutan Aidilfitri semalam kelihatan ceria menyambut saudara mara dan rakan-rakannya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, kata Aida.

Tokoh Bahasa ini kini menyandang Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider semalam juga Hassan ada berkata yang memoir beliau sedang dihasilkan dan dijangka akan siap akhir tahun ini.

Mengikut maklumat yang diperoleh dari laman DBP, Hassan merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pelbagai aspek yang berhubung dengan penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, dan perancangan bahasa dan sastera.

Pada satu ketika, beliau merupakan seorang penyelidik bahasa dan sastera yang banyak menulis tentang bahasa dan sastera terutama dalam tahun-tahun 1960-an.

Kedudukannya bertambah penting apabila beliau dilantik menjawat jawatan ketua pengarah DBP, sebuah institusi yang ditugaskan membina, memoden, dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan pada 1976. 

Sejak beliau mula berkhidmat di DBP pada 1963, Allahyarham Hassan telah memegang beberapa jawatan penting, bermula sebagai Pegawai Penyelidik, Ketua Bahagian Penyelidikan, Pemangku Pengarah, Pengarah, dan Ketua Pengarah selama 13 tahun.

Anak bekas pegawai ini lahir di Muar.

Pada 1959, Hassan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian dalam tahun 1962 tetapi meninggalkan jawatan itu pada tahun 1963 untuk berkhidmat dengan DBP. 

Dalam organisasi penulis, Allahyarham Hassan pernah menjadi Ketua I Persatuan Penulis Nasional dari 1966 hingga 1967 dan pernah menjadi Pengerusi Majlis Bahasa Malaysia serta merupakan salah seorang yang penting dalam usaha untuk menyatukan ejaan dan istilah antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Setelah bersara dari DBP pada 1988, beliau telah dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Unesco.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved