Jumaat, 2 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Exco Kedah: Tiada rancangan gantikan Azizan, semua OK

Posted: 02 Sep 2011 02:02 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Sept ─ Pemimpin kerajaan negeri Kedah berkata tiada cadangan untuk menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai menteri besar ekoran masalah kesihatan wakil rakyat PAS itu.

Ketika dihubungi pagi tadi, tiga Exco kerajaan mengakui terkejut apabila terdapat usaha untuk menggantikan Azizan seperti yang dilaporkan akhbar hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata beliau hanya mengetahui perkara itu pagi tadi apabila diberitahu terdapat "berita sampah dalam akhbar" mengenai pentadbiran Kedah.

"Saya tidak tahu. Saya belum bertemu sesiapa sejak dua hari lalu kerana Hari Raya. Hari ini, ada orang beritahu ada berita sampah dalam akhbar. Mungkin saya perlu bercakap dengan kawan-kawan tentang perkara ini," katanya.

Muka hadapan akhbar harian berbahasa Inggeris mengatakan Azizan (gambar) mungkin akan berundur kerana masalah kesihatan, mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menemui Sultan Kedah.

The Malaysian Insider difahamkan Hadi akan mengadakan kunjungan ke Kedah akhir minggu ini.

Laporan akhbar itu menyebut beberapa pemimpin meminta supaya beliau berehat disebabkan masalah kesihatan tetapi Azizan enggan berbuat demikian, dengan menegaskan ada banyak perkara hendak dilakukan.

Bagaimanapun Mohamed Taulan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tokai menegaskan, semuanya "okay" dengan kepimpinan Azizan walaupun kurang sihat.

"Sebenarnya, semuanya okay... cuma beliau kadang-kadang penat dan doktor tidak membenarkan ramai pelawat kerana ia membuatkan beliau tertekan dan letih. Tapi yang pasti... ada yang melawat beliau pada pukul 2 pagi atau 3 pagi," katanya.

Selain Mohamed Taulan, akhbar itu juga mencadangkan dua nama untuk menggantikan Azizan ─ Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah (Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan) dan Adun Pangkalan Kundur Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga).

Seperti Mohamed Taulan, Amiruddin juga melahirkan rasa terkejut apabila diberitahu tentang perkara itu, sambil berkata beliau tidak tahu jika ada perubahan barisan kepimpina.

"Bagi saya semua ini hanya berita. Tapi saya rasa, jika beliau (Azizan) kata beliau sihat maka beliau sihat. Itu hak individu bukan orang lain. Jadi saya tidk tahu dari mana mereka dapat berita ini...anda perlu periksa denga wartawan," katanya.

Beliau menegaskan tiada sebarang masalah dalaman antara pemimpin PAS untuk merebut jawatan menteri besar dengan menambah ia "bukan cara PAS."

"Kami semua menyokong Azizan. Beliau telah meminta kami mengambil alih beberapa tugas terutamanya semasa Ramadan...kami memberikan sokongan penuh," katanya.

Amiruddin juga bersetuju berita Azizan mungkin sengaja dicipta untuk memecahkan perpaduan PAS di KEdah. Terdapat 16 Adun PAS dan tiga Adun PKR -jumlah keseluruhan 36 kerusi.

Phahrolrazi menolak untuk memberikan sebarang komen mengenai perkara itu, merujuk namanya disenaraikan sebagai salah seorang daripada calon yang mungkin menggantikan Azizan.

"Bila saya jadi tumpuan dalam perkara ini, ia lebih baik untuk saya tidak berkata apa-apa. Tetapi ya, sudah tentu kami bimbang akan kesihatan beliau dan kita sentiasa memberikan sokongan kepada beliau," katanya.

Sementara itu dua Exco PKR S. Manikumar dan Lim Soo Nee ketika dihubungi terkejut tentang perkara itu.

Manikumar berkata perkara itu perlu diselesaikan dalam kepimpinan PAS pusat tetapi menekankan lebih baik sekiranya Azizan kembali sihat dan meneruskan tugas sebagai menteri besar.

"Kita perlu memberi masa kepada beliau. Ini bukan soal untuk menggantikan beliau tetapi kita perlu pertimbangkan banyak isu lain... corak pentadbiran akan berubah...ia akan jadi sangat berbeza," katanya.

Lim berkata Azizan bersungguh-sungguh untuk meneruskan tugas beliau tetapi menambah, beliau akan menyerahkan kepada PAS pusat untuk membuat keputusan.

Pakatan pertahan Mat Sabu, dakwa Umno-BN palsukan sejarah

Posted: 02 Sep 2011 01:31 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Sept - Pakatan Rakyat mempertahankan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) dalam isu kontroversi berkaitan kenyataan mengenai tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mendakwa Umno-BN secara sistematik 'memalsukan' sejarah Malaysia.

"Kami juga mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh 'pihak yang menang', yang dalam kes ini ditulis oleh Kerajaan Umno-BN dan perkakas propaganda mereka.

"Dalam hal ini, kami ingin memberikan kritikan tegas terhadap usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk 'memalsukan' sejarah Malaysia, agar hanya sumbangan Umno dan sekutu mereka yang diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan," kata kepimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Komunikasi

Nik Nazmi Nik Ahmad dan setiausaha antarabangsa DAP Liew Chin Tong.

Dengan memetik kenyataan Winston Churchill pernah berkata bahawa "sejarah ditulis oleh pihak yang menang", kata mereka, di Malaysia, bukan sahaja sejarah malah berita semasa juga ditulis mengikut skrip mereka yang berkuasa.

"Beberapa hari kebelakangan ini, media milik BN telah menyerang Mat Sabu secara berterusan sebagai seorang simpatisan komunis.

"Mereka telah memfitnahnya sebagai mengagung-agungkan pengganas komunis yang menyerang polis di dalam tragedi Bukit Kepong," kata mereka dalam kenyataan itu.

Pemimpin Pakatan Rakyat ini berkata kedua-dua dakwaan itu tidak benar sama sekali.

"Kami percaya Saudara Mat Sabu tidak berkata demikian dan secara tegas mengutuk putar belit yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan dan media Umno.

"Pertama sekali, Mat Sabu tidak sekali-kali menyebut tentang komunis ataupun PKM. Kedua, usahanya untuk menarik perhatian terhadap sejarah sebenar yang luas telah diputarbelitkan," katanya lagi.

Justeru kata mereka, pihaknya mahu menegaskan bahawa mereka tidak mempersoalkan sebab Mohamad cuba menimbulkan persoalan terhadap naratif sejarah negara.

"Tetapi kami secara serius mempersoalkan laporan cuai dan berniat jahat Utusan Malaysia, yang sekali lagi menggunakan hujah palsu dan tipu helah dengan niat yang jahat," kata kenyataan mereka.

Kata mereka, apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?

"Bagaimana dengan pertubuhan dan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)? Mereka merupakan peneraju sebenar aktivisme politik Melayu.

"Kita juga mempunyai Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

"Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka, malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara," tambah kenyataan.

Ketiga-tiga pemimpin ini berkata, harus diingat perjuangan kemerdekaan bukanlah usaha Perikatan semata-mata. Perjuangan murni ini berlangsung di pelbagai medan dan lapangan, dipimpin pelbagai tokoh dan menerusi pelbagai cara, kata beliau.

"Bukankah pengorbanan tokoh-tokoh menentang penjajah seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan ramai lagi juga mesti disertakan?

"Tetapi pemimpin Utmno idak mampu menerima kepelbagaian ini. Sejarah yang ditulis Umno ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk berbeza pandangan," kata kenyataan mereka.

Malah tambah mereka, "hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia menerusi tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako dan lain-lain lagi, kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, antikolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Perikatan/BN setelah difitnah, antara lain, menjadi talibarut komunis."

Tegas mereka, buku-buku sejarah negara bukan sahaja kehilangan satu atau dua bab, tetapi satu sejarah yang selari tetapi telah berjaya dipadamkan daripada rekod rasmi negara.

"Jelas sekali lagi bahawa Umno mempunyai kepentingan untuk mengekalkan versi sejarah mereka memandangkan ini menjadi asas kepada pemimpin serta kekuasaan mereka, malah menutup tipuhelah mereka untuk menindas pihak lawan dan penentangan sah setelah lima dekad berkuasa.

"Sekali lagi kami menegaskan bahawa Mat Sabu tidak salah dalam usaha mempersoalkan persepsi yang wujud tentang sejarah negara," kata mereka sambil menambah, yang menjadi kesalahan ialah hakikat bahawa rakyat Malaysia telah dimanipulasi sekian lama oleh perkakas propaganda Kerajaan Umno-BN.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved