Sabtu, 3 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Gerakan: Kedah perlukan jawatan timbalan MB

Posted: 03 Sep 2011 02:34 AM PDT

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Pemuda Gerakan mengesyorkan agar perlembagaan negeri Kedah dipinda bagi membolehkan pelantikan seorang timbalan menteri besar ekoran isu di sebalik masalah kesihatan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang menjadi perhatian banyak pihak semalam.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata, semua pihak harus memahami hakikat bahawa tiada pihak yang akan dapat meramal masalah kesihatan ataupun apa-apa malapetaka yang mungkin terjadi ke atas mana-mana Menteri Besar, sama ada dari Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional.

"Tetapi, ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak perlu mengambil apa-apa langkah untuk mengelak ketidakpastian sedemikian," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Katanya, dalam situasi di mana Menteri Besar Kedah tidak dapat berfungsi dalam satu tempoh yang panjang, adalah lebih baik jika kerajaan negeri mempunyai seorang timbalan bagi mengambil alih tugas beliau dan memastikan pentadbiran negeri stabil dan tidak terjejas.

"Walau bagaimanapun, perlembagaan negeri Kedah tidak mempunyai apa-apa peruntukan bagi pelantikan jawatan timbalan menteri besar sejak dahulu lagi.

"Sebuah kerajaan negeri yang stabil harus mempunyai peruntukan untuk apa-apa kejadian yang mungkin menimpa pemimpin tertingginya," katanya lagi.

Oleh itu, kata Tan, "saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah mengkaji untuk mewujudkan peruntukan dalam perlembagaan negeri Kedah untuk jawatan timbalan menteri besar Kedah, sekiranya diberi perkenan oleh Sultan Kedah."

Kata Tan, jika Menteri Besar tidak dapat berfungsi dalam tempoh 30 hari, maka timbalannya boleh mengambil alih fungsi beliau dalam pentadbiran negeri.

"Saya berharap Pakatan Rakyat negeri Kedah akan meneliti cadangan ini bagi kestabilan negeri pada masa hadapan dan bagi kebaikan rakyat negeri Kedah," katanya.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau ada mendesak atau meminta Azizan agar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Justeru, Hadi menegaskan Azizan akan kekal dalam jawatannya yang disandang sejak Mac 2008.

Laporan akhbar menyebut kepimpinan PAS sedang mengambil langkah untuk menggantikan Azizan yang kini kurang sihat selepas diserang sakit jantung bulan lalu.

Menurut laporan itu, Hadi akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri.

Azizan dipetik berkata beliau tiada rancangan untuk bercuti panjang ekoran masalah kesihatan semasa.

Bagaimanapun Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah tidak menafikan ada usaha untuk memintanya bercuti panjang dan jawatan dipangku oleh pihak lain.

Azizan juga menegaskan bahawa kesihatan beliau berada dalam keadaan baik dan mampu menjalankan tanggungjawabnya mengurus pentadbiran negeri dengan sempurna.

"Nak ada pemangku buat apa? Ni dah keluar (hospital) dan semua sihat dah," katanya.

Menteri Besar itu berkata beliau bagaimanapun akur sekiranya kepimpinan PAS membuat keputusan untuk menggantikannya.

"Saya tak minta jadi Menteri Besar, depa yang suruh... kalau depa suruh berhenti, esok pun tak pa," katanya.

Bukit Kepong: Pemuda Umno gerak Pentas Patriot ‘lawan’ Mat Sabu

Posted: 03 Sep 2011 02:24 AM PDT

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Pemuda Umno mahu mengadakan program ceramah umum jelajah – yang dikenali sebagai Pentas Patriot – di seluruh negara untuk menghargai wira negara ekoran kontroversi di sebalik kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong dua minggu lalu.

Setakat ini Mohamad mempertahankan kandungan ceramahnya pada 21 Ogos lalu, tetapi menegaskan tidak menyebut perkataan komunis. Beliau juga telah menegaskan tidak akan memohon maaf.

Sebahagian besar kepimpinan Pakatan Rakyat juga mempertahankan pendirian Mohamad dan menggesa kerajaan mengkaji semula fakta sejarah.

"Lanjutan daripada kenyataan Mohammad Sabu yang telah mengguris perasaan rakyat Malaysia terutama sekali barisan bekas perajurit, anggota polis dan waris-waris tragedi Bukit Kepong, Pemuda Umno berpendapat sudah tiba masanya suatu program ceramah umum berbentuk jelajah negara diadakan bagi menghargai dan mengenang kembali sumbangan wira-wira petugas keselamatan yang telah berhempas pulas menggadai nyawa menentang pengganas komunis bagi memastikan keamanan dan kedaulatan pertiwi terjamin," kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamalauddin (gambar) dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

Katanya, program tersebut akan diadakan di seluruh negara dengan pengisian yang mencakupi tayangan video atau multimedia, ceramah umum daripada Unit Pidato Pemuda Umno serta jemputan khas daripada bekas-bekas komando, askar, pasukan polis serta pakar-pakar sejarah tanah air.

Khairy berkata, pihaknya berharap Pentas Pemuda bukan sahaja dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan lampau, bahkan meniup dan menyemarakkan roh perjuangan dan patriotisme dikalangan rakyat, terutama anak-anak muda.

"Pentas Patriot juga bakal menghidangkan kepada anak-anak muda Malaysia rentetan peristiwa yang menyoroti perjuangan bagi menggapai kemerdekaan di samping mendedahkan bahawa teori Mohammad Sabu tidak lebih dari satu penipuan yang cuba diabadikan oleh mereka yang tidak mahu menerima hakikat bahawa kebebasan dan kemerdekaan negara dicapai melalui hikmah dan kebijaksanaan tanpa sebarang pertumpahan darah," katanya lagi.

Bagi Pemuda Umno kata beliau, terjahan Mohammad yang bukan sahaja menghina dan mengkhianati perjuangan anak bangsa, malahan mengagungkan pengganas komunis semasa tragedi Bukit Kepong menampakkan belang sebenar PAS dan juak-juak pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi nafsu serakah politik mereka.

"Malahan sikap Mohammad serta kepimpinan pembangkang yang langsung tidak menampakkan kekesalan dengan memberikan alasan dan hujah yang menuding jari kepada Umno dan masyarakat umum yang marah dengan penghinaan tersebut amatlah memualkan," katanya.

Pemuda Umno, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional ini bersekali dengan seluruh rakyat Malaysia terutama sekali golongan serta ahli keluarga warga perajurit dan pasukan keselamatan negara, mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadap Mohammad.

"Bagi kami, Pentas Patriot adalah langkah terbaik bagi menangani isu ini dan kami menyeru rakyat semua untuk turut hadir menyertai program ceramah umum yang akan dilaksanakan seluruh negara yang akan bermula dalam masa terdekat," kata Ahli Parlimen Rembau ini.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved