Jumaat, 9 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Khaled: Subjek Sejarah dikaji semula

Posted: 09 Sep 2011 02:14 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Silabus subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan Teologi Negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya 'Historical Fact and Fiction'.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (gambar) berkata sehubungan dengan itu satu kajian mendalam mengenainya akan diadakan oleh fakulti sejarah.

"Lepas itu macam mana nak sebarkannya, nak jadikan silabus sekolah menengah atau universiti ke kita akan fikirkan, soalnya sekarang kita nak kaji dulu 'what is the real' sejarah," kata beliau dipetik Bernama Online.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran buku karya Syed Naquib di kampus Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa di sini, hari ini. Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Sultanah Johor yang juga Canselor bagi universiti itu, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah.

Khaled berkata Syed Naquib dalam kajiannya mewujudkan beberapa persoalan kemungkinan beberapa sejarah penting tidak dicatitkan sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga adalah berat sebelah.

"Sejarah yang seperti dirujuk kita sebelum ini mungkin diambil daripada penulisan barat, jadi apa yang ada sebelum tertulis oleh barat, maknanya sebelum kedatangan mereka, tidak tercatat apa-apa fakta.

"Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sejarah tidak diputar belit, cuma terdapat beberapa fakta yang tidak ditulis.

"Jadi dalam hal ini mungkin sejarah boleh dicungkil bukan semata-mata maknanya ada putar belit sejarah, tapi ia lebih kepada mencari kebenaran, ia telah ditulis secara tidak betul," katanya.

Bagaimanapun, Khaled memaklumkan bahawa buku itu tidak akan digunakan bagi mengganti buku teks sedia ada di peringkat sekolah, namun akan dijadikan sebagai rujukan bagi kajian yang lebih mendalam.

MTUC simpati nasib pekerja MAS, sokong piket diputuskan 25 Sept

Posted: 09 Sep 2011 01:23 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada dasarnya menyokong pendirian tiga kesatuan pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang mahu berpiket berhubung perjanjian kerjasama MAS-AirAsia dan keputusan akhir ke atas tindakan perhubungan industri itu akan dimuktamadkan akhir bulan ini.

Presiden MTUC Khalid Atan berkata, isu yang dihadapi oleh kesatuan-kesatuan sekerja MAS akan dibincangkan pada mesyuarat majlis am kongres pada 25 September ini.

Tiga kesatuan pekerja-pekerja MAS yang mewakili kira-kira 15,000 pekerja akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan dan berpendapat bahawa janji niaga MAS-AirAsia tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baru syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baru dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.

"Saya sudah dimaklumkan masalah mereka, sudah pasti ia akan dibincangkan pada mesyuarat majlis am MTUC, jika dipersetujui kami akan menyokong tindakan piket mereka nanti," katanya.

"Keputusan akhir perlu diputuskan oleh majlis am, ia keputusan bersama, bukan saya seorang sahaja," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Khalid berkata, maklumat yang beliau terima menunjukkan pengurusan baru tidak merujuk kepada kepimpinan kesatuan-kesatuan sekerja sebelum mengambil tindakan, misalnya memindahkan 80 peratus tenaga kerja ke penerbangan baru yang dinamakan Sapphire.

"Seramai 80 peratus pekerja MAS akan dipindahkan ke syarikat baru, tinggal 20 peratus dalam organisasi lama ... tindakan ini mengikut kesatuan sekerja adalah tidak sihat... mereka tidak gembira kerana perkara ini tidak dibincang dengan mereka, malah khuatir ia juga akan menjejaskan tahap kekananan seseorang pekerja," kata beliau lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja MAS Semenanjung Malaysia (Maseu), Abdul Malek Arif mendakwa kesatuan itu menjangkakan hampir 80 peratus pekerja syarikat itu akan dipindahkan ke syarikat penerbangan baru Sapphire.

Katanya, langkah sedemikian akan menjejaskan keahlian kesatuan dan memberi kesan ke atas keupayaan mewakili tenaga kerja.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi, MAS melahirkan rasa kecewa ekoran laporan media bahawa kesatuan-kesatuan sekerjanya mahu mengadakan ancaman tindakan piket.

Menurut MAS, Maseu, Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Penerbangan Sabah turut dilibatkan dalam pelbagai urusan berkaitan Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF).

MAS berkata ia telah dan akan terus melibatkan kesatuan. Malah ia juga berkata pengurusan kini bekerja keras untuk menyelesaikan butiran penggabungan dan akan mengumumkannya secara rasmi, tertakluk kepada kelulusan pengawal aturan, pada masa yang sesuai.

Semalam tiga kesatuan itu mempunyai keanggotaan seramai 15,000 orang mengumumkan anggotanya akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia.

Presiden Maseu Alias Aziz dilaporkan berkata mereka berpendapat bahawa janji niaga itu tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baru syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baru dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved