Ahad, 11 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


PAS cabar Umno buat pendirian Malaysia tidak pernah dijajah

Posted: 11 Sep 2011 02:04 AM PDT

Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) menyambut Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Miles Kupa pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran PAS, hari ini. - Foto oleh Jack Ooi

GOMBAK, 11 Sept — PAS mencabar Umno menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa negara ini tidak pernah menjadi tanah jajahan British dan tidak dijajah oleh mana-mana kuasa asing lain.

Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, selaku kerajaan pusat yang memerintah negara sejak 54 tahun lalu Umno yang kini diterajui Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan pendirian parti itu.

"Umno harus nyatakan pendirian berhubung kenyataan MPN bahawa negara tidak pernah dijajah kerana implikasinya cukup besar... implikasi awam dan implikasi akademik.

"Umno perlu nyatakan pendirian sama ada sokong atau menentang kenyataan MPN itu, Umno tak boleh duduk diam kerana mereka adalah pemerintah, kita cabar Umno nyatakan pendirian. Kalau betul negara tidak pernah dijajah, kita minta sambutan Hari Pahlawan pada 16 September ini dibatalkan," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Hari Terbuka PAS sempena Aidilfitri di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar di sini.

Tegas Tuan Ibrahim, sejak isu itu dibangkitkan jurucakap MPN Profesor Datuk Dr Zainal Kling beberapa hari lalu, Umno masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

"Umno tak bagi apa-apa kenyataan lagi, apa yang dikatakan MPN itu adalah perkara penting, ia memberi implikasi yang besar kepada negara.

"Kalau Umno masih berdiam diri dan tidak mahu jawab kita boleh anggap Umno tidak bertanggungjawab," katanya.

Jelas beliau, mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah juga akan menjadi masalah sekiranya fakta sejarah negara tidak tepat.

"Bagaimana dengan murid-murid sekolah yang mahu ambil UPSR nanti, mereka jadi keliru.

"Walau bagaimanapun Umno perlu jawab dan nyatakan pendirian mereka dalam hal ini," katanya.

Selain Zainal, beberapa pakar sejarah seperti Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam menegaskan negara tidak pernah dijajah British.

Sebaliknya mereka mengatakan bahawa kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran dengan kedaulatan tetap pada raja.

Penelitian The Malaysian Insider ke atas ucapan dan tulisan bekas perdana menteri dan perdana menteri sejak 1957 menunjukkan perkataan penjajahan British dan negara kolonial ada digunakan.

Mahathir: Subjek sejarah di sekolah kurang tepat

Posted: 11 Sep 2011 12:32 AM PDT

ALOR SETAR, 11 Sept ─ Subjek sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dilihat kurang tepat kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata subjek itu tidak begitu tepat kerana salah satunya cerita mengenai peranan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam silibus subjek berkenaan.

"Ramai daripada generasi muda tidak begitu faham dengan sejarah dan asal-usul negara kerana ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta kepada khayalan," katanya di sini hari ini.

Malah sejak kebelakangan ini muncul polemik baru sama ada negara ini dijajah oleh British ataupun hanya memperoleh naungan kuasa Eropah tersebut.

Dipetik Bernama Online. Dr Mahathir (gambar) berkata, kerana itulah kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.

"Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh ubah sejarah dan apa yang berlaku dahulu... berlakulah," kata perdana menteri keempat ini.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sukatan pelajaran subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya 'Historical fact and fiction'.

Dr Mahathir berkata sekarang ini generasi muda menganggap bahawa perjuangan untuk kemerdekaan itu perkara biasa kerana mereka dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan makmur.

"Jadi mereka (generasi muda) menganggap bahawa dalam mana-mana negara pun akan berlaku demikian, tapi kalau kita buat lawatan ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan semasa kita mencapai kemerdekaan, kita akan dapati bahawa mereka tak dapat bangunkan negara mereka seperti Malaysia," katanya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved