Sabtu, 17 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


KDN, Peguam Negara temu kemaskan undang-undang baru

Posted: 17 Sep 2011 02:31 AM PDT

Mahmood (kanan) bertemu dengan wakil-wakil kedutaan asing di Kementerian Dalam Negeri, 11 Januari 2010. — Foto fail

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan pertemuan dengan pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat bagi memperkemaskan semua aspek mengenai pindaan dan cadangan undang-undang baru.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata perbincangan itu membabitkan cadangan pemansuhan dan penggantian Rang Undang-undang Pencegahan dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Buang Negeri 1959.

Kedua-dua pihak itu juga akan membincangkan mengenai cadangan mekanisme penambahbaikan membabitkan aktiviti perhimpunan di tempat awam berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mahmood berkata, pertemuan itu turut akan membincangkan peranan pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang diasaskan pada 11 Januari 1972 di atas penguatkuasaan Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964.

Selain itu, kata Mahmood, Kementerian Dalam Negeri akan mengusulkan kepada Peguam Negara senarai semakan untuk penelitian membabitkan perincian peruntukan undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peranan Rela terus kekal relevan dan digubal semula sebagai Akta Parlimen dan diletakkan sebagai undang-undang di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Dipetik Bernama Online, Mahmood berkata, Kementerian Dalam Negeri juga akan mendapatkan pandangan Peguam Negara berhubung kajian pindaan membabitkan cadangan menghapuskan prinsip pembaharuan lesen cetak tahunan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan digantikan dengan pengeluaran permit penerbitan dan lesen cetak sehingga dibatalkan.

"Bagaimanapun, sehingga kajian itu selesai dan pengumuman mengenainya dibuat, segala prosedur permohonan dan kelulusan lesen dan permit akan kekal sebagaimana proses sedia ada," katanya.

Beliau menjelaskan pertemuan dengan Peguam Negara dibuat susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa rang undang-undang baru baru perlu dibentangkan pada sidang Parlimen dalam tempoh terdekat selepas kajian menyeluruh dan pandangan semua pihak diambil kira.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 serta mengkaji semula Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang mengambil kira Perkara 10 Perlembagaan.

Mahmood berkata dalam perbincangan itu kelak, pihaknya akan membantu Peguam Negara memperhalusi segala gerak kerja yang berkaitan bagi memastikan cadangan lengkap dan komprehensif dapat dibentangkan untuk dipertimbangkan pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Bagaimanapun, berhubung bila ia akan dibentangkan kepada Parlimen, keputusan itu adalah tertakluk kepada hasil perbincangan Kementerian Dalam Negeri dengan Peguam Negara dan keputusan kerajaan," katanya.

Mengenai isu media supaya selari dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan dasar lebih telus dan terbuka, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan pelbagai langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan sihat aktiviti media di negara ini.

Beliau berkata antaranya ialah inisiatif penubuhan satu jawatankuasa khas di kalangan pengamal media utama, yang diadakan kelmarin, yang berfungsi sebagai sebuah forum bertanggungjawab menentukan sendiri hala tuju amalan media di kalangan mereka.

Video seks: Blog pro-Umno dedah klip Anwar, Eskay masuk apartmen

Posted: 17 Sep 2011 02:23 AM PDT

Oleh G. Manimaran

Sedutan rakaman CCTV menunjukkan Anwar dan Shahzryl keluar dari lif sebuah apartmen, yang disiarkan oleh blog papagomo.

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini, hari ini blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan yang dibawa blog papagomo menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh "Datuk T" pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, "rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar bersama pelacur China tersebut."

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

"Malah sebelum ini juga kita semua telah didedahkan dengan kehilangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Twitter dan Facebook waktu hubungan seks tersebut berjalan," kata blog tersebut.

Anwar sebelum ini telah menafikan "kehilangan" yang dimaksudkan dan beliau juga bukan lelaki yang didakwa dalam video itu.

Beliau membuat laporan polis pada 22 Mac lalu iaitu sehari selepas Shahzryl Eskay mendedahkan klip rakaman itu.

Shahzryl dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengelar diri mereka "Datuk T" — mengaku bertanggungjawab atas tindakan mendedahkan klip itu kepada wakil media terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Sejak minggu lalu beberapa pihak yang seringkali mengkritik kepimpinan Anwar membuat kenyataan agar Ketua Umum Pakatan Rakyat disoal siasat berhubung aduan polis beliau, yang didakwa membuat laporan palsu. Ia termasuklah Puteri Umno.

Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohd Yusof memohon polis bertindak terhadap Anwar, yang didakwa telah mempermainkan undang-undang dengan membuat laporan palsu di ibu negara, 22 Mac lalu.

Shahanim juga berkata Peguam Negara perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar kerana membuat laporan polis yang tidak benar.

Hari ini, blog papagomo juga menulis "ada yang kata masih bukan Datuk Seri Anwar?"

Pada 24 Jun, trio "Datuk T" itu mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu dan dikenakan denda total RM5,500 oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani.

Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara.

Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Rahim, Suhaimi Salleh merupakan peguam Shuib dan Mohd Zamani Ibrahim bertindak sebagai peguam Shazryl Eskay.

Shafee dalam hujahnya berkata lelaki dalam video seks itu adalah Anwar ekoran keputusan kajian yang dibuat pakar dari Amerika Syarikat.

"Anwar sepatutnya didakwa kerana membuat laporan palsu," katanya.

Pengikut dan penyokong Anwar mendakwa klip rakaman ini satu lagi usaha Umno mahu menghancurkan kerjaya politik beliau menjelang pilihan raya umum ke-13.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved