Ahad, 18 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


ISA: BN jangan ‘syok sendiri’ ambil kredit, kata Mipas

Posted: 18 Sep 2011 03:39 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Persatuan Progresif Kaum India Malaysia (Mipas) mengingatkan Barisan Nasional (BN) jangan sama sekali menafikan peranan Pakatan Rakyat dan rakyat jelata yang mengenakan tekanan secara berterusan sehingga membawa kepada inisiatif pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sehubungan itu Setiausaha Agungnya S Barathidasan berkata, Umno-BN bertindak seolah-olah "syok sendiri" dengan pengumuman mahu memansuhkan ISA manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu kredit berhubung inisiatif itu diberikan kepada BN semata-mata.

Semalam, Najib menegaskan bahawa keputusan untuk memansuhkan ISA adalah keputusan dibuat kerajaan BN dan bukan perjuangan pihak lain.

Kata Najib, jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.

"Mipas menggesa agar kredit diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Pakatan Rakyat dan rakyat jelata yang memberi tekanan ke atas kerajaan agar memansuhkan ISA," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, BN tidak akan berubah walaupun selepas lima dekad sekiranya pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tidak mengetengahkan suara mereka manakala Pakatan Rakyat pula tidak meletakkan tekanan menerusi Buku Jingganya.

"Sekarang BN-Umno mendakwa mereka mendengar suara rakyat... lembu punya susu sapi dapat nama," sindir beliau.

"Kami tahu jika kerajaan BN tidak memansuhkan ISA,  Pakatan akan memansuhkannya jika mengambil alih Putrajaya. Terima kasih kepada rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat yang memainkan peranan mengenakan tekanan (ke atas kerajaan)," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Mipas percaya bahawa rakyat akan memberi sokongan penuh dan mandat mereka kepada Pakatan Rakyat untuk membawa pembaharuan ke atas kerajaan.

"Mengapa tidak memberi hanya satu penggal kepada Pakatan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

"Tidak salah untuk memberi satu penggal memandangkan kerajaan BN sudah memerintah lebih 50 tahun... jika Pakatan Rakyat gagal, rakyat boleh memilih kerajaan  baru," katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dua tahun lepas.

Kata Najib, perubahan itu akan meletakkan Malaysia di landasan yang lebih kukuh kerana ia akan membentuk sebuah demokrasi yang lebih progresif dan lebih terbuka di samping itu dapat memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

"Kita inginkan keseimbangan di antara keterbukaan dan hak asasi individu di samping menjaga ketenteraman awam dan kepentingan rakyat jelata," katanya.

Umno Kelantan: Kami tidak peralat SPR

Posted: 18 Sep 2011 03:32 AM PDT

KOTA BARU, 18 Sept — Umno Kelantan hari ini menafikan dakwaan bahawa parti itu memperalatkan nama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi pilihan raya olok-olok yang diadakan bermula Jumaat lepas hingga akhir bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, simulasi itu tidak ada kaitan dengan SPR, sebaliknya bertujuan menguji persediaan Umno bagi menghadapi pilihan raya sebenar yang mungkin diadakan bila-bila masa.

"Ia tiada kaitan dengan SPR sebagai sebuah badan bebas yang mengendalikan urusan pilihan raya sebenar bagi menentukan pembentukan sesebuah kerajaan dan pemerintah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri bersama warga pendidik negeri Kelantan di sini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diminta mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa Umno menyalahgunakan nama SPR dalam mengadakan simulasi pilihan raya itu.

Mengulas lanjut, Mustapa yang dipetik Bernama Online berkata,  dakwaan PAS itu tidak berasas dan sekadar bertujuan memburuk-burukkan Umno serta SPR di mata rakyat.

Mengenai simulasi itu, beliau berkata pilihan raya percubaan di enam daripada 14 bahagian di Kelantan tersebut berkesan bagi menguji kecekapan Umno dalam menghadapi pilihan raya sebenar walaupun dalam masa terdekat ini.

Malah katanya, jumlah yang keluar mengundi juga melebihi sasaran 10 peratus iaitu sekitar lapan hingga 15 peratus.

"Apa yang kurang memuaskan kami ialah peratusan pengundi muda yang terlibat dalam gerakan itu agak kecil kerana kebanyakan mereka berada di luar kawasan pilihan raya masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, kata Mustapa pihaknya akan mencari pendekatan lain untuk menarik lebih ramai generasi muda keluar mengundi, terutama pada pilihan raya umum nanti.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved