Khamis, 29 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klip Undilah tak disenangi orang ramai, kata Rais

Posted: 29 Sep 2011 02:49 AM PDT

KAMPUNG GAJAH, 29 Sept – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.

"Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni bagi kawasan Parlimen Pasir Salak di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Rais berkata, penarikan semula penyiaran klip video Undilah sebelum ini dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.

"LPF bukan terletak di bawah tanggungjawab kementerian saya sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan kedudukan penayangan klip video itu sama ada boleh ditayangkan atau tidak,"katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menyatakan klip video Undilah belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata klip video itu belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan.

Agensi itu berkata, hasil pemantauan pematuhan secara rutin dibuat menunjukkan pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo belum mendapat kelulusan daripada LPF. SKMM menambah, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.

Bagaimanapun katanya, arahan itu tidak melibatkan kandungan klip berkenaan tetapi hanya berkaitan pematuhan oleh pihak penyiar.

"Arahan ini adalah mengenai pematuhan oleh pihak penyiar dan bukannya kandungan pengumuman khidmat awam tersebut," kata SKMM.

Kenyataan SKMM berkata, adalah menjadi amalan biasa untuk pihaknya mengarahkan penarikan kandungan yang belum diberi kelulusan oleh LPF untuk ditayangkan.

Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.

Misalnya, pertubuhan Bersih 2.0 menyifatkan tindakan kerajaan mengharamkan siaran klip video Undilah, yang bertujan menggalakkan orang mengundi ketika pilihan raya, bercanggah dengan pendirian pembaharuan politik yang diwar-warkan oleh pentadbiran Najib. 

Justeru kepimpinan Bersih 2.0 menggesa SKMM membenarkan agar klip itu — satu bentuk pemakluman awam — terus disiarkan oleh stesen siaran tempatan kerana ia tidak membawa sebarang ancaman kepada negara.

Hujung minggu lalu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa bahan terbitan Teo dilarang diterbitkan kerana memaparkan kemunculan beberapa wakil rakyat pembangkang dan mesej Tengku Razaleigh yang menyentuh bahawa Malaysia berhadapan dengan beberapa masalah.

Difahamkan SKMM memberi arahan kepada stesen penyiaran tempatan minggu ini selepas ia mula ke udara sempena sambutan Hari Malaysia.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno dan Ketua Pemuda MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang juga Ketua Puteri Umno.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik  Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

ISA: Perkasa mahu panel khas ganti mahkamah

Posted: 29 Sep 2011 02:33 AM PDT

PUTRAJAYA, 29 Sept – Perkasa mahu Putrajaya menubuhkan satu jawatankuasa berprofil tinggi di bawah dua akta baru, yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), untuk membuat keputusan sama ada seseorang yang ditahan itu bersalah atau tidak dengan segera.

Menurut Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, jawatankuasa itu perlu melibatkan Ketua Polis Negara, Peguam Negara, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan individu-individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan.

Tegas beliau, jika mengikut saluran perundangan sekarang seseorang yang ditahan perlu dibawa ke mahkamah dan ia akan mengambil masa yang lama.

"Kalau jawatankuasa ini memutuskan saya bersalah, tidak kisah saya orang politik atau tidak tetap perlu ditahan di Kamunting... kalau ikut mahkamah akan mengambil masa yang lama, bagaimana kalau orang itu disabit dengan bunuh, dia telah ditahan selama enam tahun tapi akhirnya mahkamah putuskan dia tidak bersalah, jadi macam mana?

"Jadi lebih baik tubuhkan jawatankuasa berprofil tinggi ini, orang yang duduk dalam ini adalah ketua polis negara, peguam negara, wakil Suhakam dan mereka yang berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Najib menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas meminta Putrajaya agar membuat kajian dan penyelidikan yang terperinci sebelum memutuskan bentuk undang-undang baru yang akan menggantikan ISA.

"Jangan gopoh kerana ia melibatkan soal keselamatan negara, buat kajian dengan terperinci sebelum buat keputusan... perlu ambil masa, jangan gopoh

"Dan jangan buat undang-undang semata-mata mahu mendapatkan undi," katanya.

Beliau menambah soal keselamatan harus menjadi keutamaan negara dan ia merupakan agenda Perkasa selain tidak boleh berkompromi semata-mata mahu memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Sementara itu Hishammuddin berkata undang-undang baru itu tidak akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

"Jaminan kita adalah untuk memastikan apa jua tindakan yang kita ambil tidak akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman, dalam hal ini beberapa aspek mungkin kita bolah buat pindaan dalam akta baru tapi asasnya adalah kekuatan keselamatan.

"Dari segi tempoh tahanan, mungkin tidak perlu begitu lama tetapi ia masih difikirkan dan akan diputuskan nanti," katanya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved