Selasa, 4 Oktober 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Putrajaya: Hayat CCF MAS-AirAsia lima tahun, boleh dilanjut

Posted: 04 Oct 2011 03:44 AM PDT

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) yang disertai Malaysia Airlines (MAS) dan Kumpulan AirAsia merupakan sebahagian daripada rancangan pemulihan MAS.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata MAS akan terus menumpukan usaha untuk memperbaiki operasi dan memperkukuh kewangannya dalam usaha menjadi syarikat penerbangan yang berdaya maju.

"MAS telah pun memulakan perbincangan dengan kesatuan sekerja untuk menjelaskan CCF secara terperinci.

"CCF dijangka memberi manfaat kepada tiga kumpulan iaitu pemegang saham, orang ramai dan kakitangan," katanya ketika menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

Sabtu lalu, lapan persatuan dan kesatuan pekerja MAS menggesa kerajaan membatalkan kerjasama antara MAS dan Kumpulan AirAsia atas alasan ia merugikan syarikat penerbangan nasional itu.

Saifuddin ingin tahu perihal perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia dan kesannya terhadap masa depan industri pengangkutan udara negara.

Awang Adek berkata CCF merupakan rangka kerja yang menggariskan prinsip-prinsip panduan yang mesti diikuti ketiga-tiga pihak dan melibatkan tiga perkara utama iaitu perjanjian kerjasama, perjanjian pemegang saham dan pengawasan.

Beliau berkata tempoh CCF adalah lima tahun dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh perjanjian selama lima tahun lagi.

"Tempoh ini adalah bagi memberikan masa yang secukupnya untuk semua pihak memperoleh manfaat yang ketara hasil jalinan bersama," katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata secara rasionalnya CCF dapat membantu meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan kepada pelanggan serta mengukuhkan persekitaran industri penerbangan negara selain meneroka bidang-bidang kerjasama yang berpotensi termasuk pembelian pesawat, kejuruteraan, perkhidmatan darat dan sokongan, perkhidmatan kargo, katering dan latihan.

Mengulas mengenai pertukaran saham itu, Awang Adek berkata sehingga 20 September, para pemegang saham utama MAS adalah Khazanah Nasional Bhd sebanyak 48.87 peratus, Tune Air Sdn Bhd (20.5 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (10.54 peratus).

Para pemegang saham utama AirAsia setakat 23 September adalah Tune Air Sdn Bhd 13.1 peratus, KWSP (10.35 peratus), Khazanah Nasional Bhd (10 peratus), Genesis Smaller Companies (5.43 peratus) dan Wellington Management Company (5.04 peratus), katanya.

MAS terima akta baru Kg Baru ‘dengan terbuka’

Posted: 04 Oct 2011 03:28 AM PDT

KUALA LUMPUR, 4 Okt ─ Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) menerima Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 ─ yang baru ─ yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam dengan sikap positif dan terbuka.

Setiausaha Kehormatnya Shamsuri Suradi berkata, Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 yang menggantikan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 mengambil kira bantahan disuarakan oleh pemilik tanah dan pewaris kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu.

"Kami amat bersetuju dengan rang undang-undang yang dibentangkan kali ini kerana ia mengambil kira bantahan dan pendapat kami tentang pentingnya MAS, sebagai badan penjaga kepada Kampung Baru, dimasukkan juga kedalam perbadanan ini," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang dibentangkan kali pertama pada 14 Disember lalu ditarik balik semalam. Pada hari yang sama, Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 dibawa ke Parlimen.

Tindakan Putrajaya itu menerima reaksi berbelah bahagi.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 mendapat kecaman dan tentangan keras penduduk Kampung Baru dan MAS sendiri.

Ditanya apa pendapat beliau terhadap Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang ditarik balik, Shamsuri berkata, ia adalah disebabkan faktor masa.

Ini kerana katanya, penggubalan dilakukan dengan tergesa-gesa dan tidak mengambil kira pandangan dan pendapat masyarakat di Kampung Baru.

Bagaimanapun beliau menafikan ia ditarik balik kerana dakwaan sambutan dingin referendum sebelum ini.

Mengulas mengenai isu adakah bahawa MAS telah dimaklumkan lebih awal tentang penarikan balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010, Shamsuri berkata: "ya,  tiga parti yang berkepentingan dalam isu ini telah dimaklumkan tentang rang undang undang baru."

Selain MAS, dua pihak lain ialah Persatuan Anak-anak Kampung Bharu (PAKAM) dan Persatuan Pembangunan Kampung Baru.

Mengenai isu pengambilan tanah, Shamsuri berkata, "kita memang telah dimaklumkan bahawa akta itu tidak akan ada dalam rang undang undang baru ini."

"Walaupun pejabat tanah boleh menggunakannya untuk kepentingan umum, ia tidak akan menjejaskan kepentingan penduduk di sini kerana perbadanan akan juga merangkumi wakil-wakil penduduk di kampung ini," kata beliau.

Mengenai peranan MAS selepas ini, beliau berkata, "kita akan melihat dan mengkaji apakah peruntukan dalam enakmen ini yang tidak boleh diguna pakai lagi seperti peruntukan buangan."

"Dan, kita juga akan menggalakkan pembangunan di kawasan ini mengikut identiti dan cita rasa unik setiap kampung, di dalam perbadanan pembangunan nanti," katanya lagi.

Kata beliau, MAS berharap peranan badan itu tidak diketepikan menerusi kandungan rang undang-undang baru.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved