Sabtu, 15 Oktober 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


KDN mahu jelas panel khas dakwaan rakyat asing dapat MyKad

Posted: 15 Oct 2011 02:18 AM PDT

KLUANG, 15 Okt – Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mendedahkan segala-galanya tentang dakwaan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada penduduk asing pada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Menurut Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli  Parlimen Semberong itu, ada di kalangan saudara mara pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang turut diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.

"Ada pemimpin-pemimpin daripada pihak parti pembangkang sendiri yang telah kita (kementerian) luluskan. Itu sahaja telah membuktikan bahawa kita tidak memilih bulu. Ini semua akan saya didedahkan pada Jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pengeluaran MyKad dengan Struktur Baru dan pengeluaran MyKad Satu Hari di Jabatan Pendaftaran Kluang di Bangunan Persekutuan di sini.

Pihak pembangkang sebelum ini menuduh kerajaan dan khususnya Kementerian Dalam Negeri memberi taraf kewarganegaraan kepada warga asing bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dipetik Bernama Online, kata beliau, kakitangan kementerian tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan.

"Ini semua adalah fakta. Saya tidak tahu siapa yang memohon, lebih-lebih lagi jika pemohon itu adalah cucu cicit, anak saudara (kepada sesiapa) atau apatah lagi mereka ini menyokong kerajaan atau tidak," katanya.

Hishammuddin berkata, dakwaan pembangkang baru-baru ini tentang pemberian kewarganegaraan kepada warga Bangladesh juga telah diberikan penjelasan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Apabila Ketua Pengarah JPN (Datin Jariah Mohd Said) menjawab (dakwaan tentang isu warga Bangladesh itu), mereka (pembangkang) senyap," katanya dan menambah, pembangkang sering memperlekeh usaha KDN di atas pertimbangan politik mereka.

Terdahulu di dalam ucapannya, beliau berkata, sejak tujuh tahun lepas hanya 30 warga Bangladesh yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia dan daripada bilangan itu hanya tujuh yang boleh mengundi.

"Daripada tujuh yang boleh mengundi, hanya empat yang mendaftar untuk menjadi pengundi," kata Hishammuddin.

Full content generated by Get Full RSS.

MTUC: Akta Kerja hidupkan semula sistem ‘hamba’, tambah jurang pendapatan

Posted: 15 Oct 2011 02:11 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan pihaknya tidak menentang pindaan Akta Kerja 1955 jika membawa kebaikan tetapi membangkang elemen yang boleh menghakis perlindungan, antaranya peruntukan sistem kontraktor tenaga kerja – yang dikhuatiri bakal mengembalikan sistem 'hamba' sebelum negara merdeka.

MTUC memutuskan untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini susulan kepada tindakan yang sama di kawasan Parlimen 3 Oktober lalu.

Badan induk itu mahu mengadakan piket nasional selepas Kementerian Sumber Manusia meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (PIndaan) 2011 di Dewan Rakyat minggu lalu dan diluluskan dalam lima jam.

"Bangkangan ke atas kontraktor buruh menyasarkan kepada konsep buruh itu sendiri," kata Setiausaha MTUC Bahagian Selangor N Gopal Kishnam dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata beliau, "pendek kata, mana-mana bisnes seharusnya menggaji seseorang pekerja secara langsung dan bukan menerusi kontraktor yang merupakan pihak ketiga."

Jelas beliau, aspek buruh merupakan komponen seimbang yang tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana ekonomi dan "berada dalam pertimbangan teratas di antara pelbagai elemen dalam mana-mana ekonomi."

Oleh itu tegas beliau, tiada alasan rasional yang membolehkan kontraktor  menggaji seseorang pekerja dan kemudian dibekalkan untuk tujuan-tujuan komersial.

Beliau mengulas satu pandangan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Rahim Zainal Seman dipetik oleh akhbar tempatan semalam, mempertahankan peruntukan itu - yang merupakan salah satu pindaan ke atas Akta Kerja.

"Seseorang kemungkinan akan bertanya sebab bisnes begitu berminat untuk menggunakan tenaga kerja yang disediakan oleh pihak ketiga.

"Ia adalah hasil daripada sikap tamak dan sikap tidak mengambil berat kepentingan masyarakat keseluruhannya," kata Gopal.

Beliau menambah, dengan peruntukan membenarkan sistem kontroktor bagi tenaga kerja, sesebuah organisasi atau syarikat pengeluar perkhidmatan dan barangan tidak perlu mengambil berat tentang soal pengurusan pekerja masing-masing.

"Tidak akan ada hubungan sebenar antara bisnes dan pekerja yang akan membina (kejayaan) sesuatu bisnes," kata beliau sambil menambah, ia akan menyebabkan "hak-hak pekerja akan dikompromi."

"Pekerja-pekerja akan berhadapan dengan situasi yang sukar untuk menuntut hak ke atas kejayaan bisnes yang mereka sama-sama bina.

"Kesan paling buruk ialah tahap pendapatan akan ditekan dan kualiti kehidupan pekerja akan dihakis," katanya lagi.

Gopal seterusnya berkata, "kita perlu mengiktiraf bahawa tiada justifikasi moral atau ekonomi bagi pengecilan tahap pendapatan, dengan mengambil kira peningkatan sebenar hasil pergerakan ekonomi ekonomi di kedua-dua peringkat tempatan dan global.

"Jurang pendapatan yang semakin meningkat dan tekanan ke atas hak-hak pekerja menyebabkan kesan buruk ke atas sistem ekonomi, sosial dan politik di banyak negara dan kita tidak biarkan keadaan yang sama di Malaysia," katanya lagi.

Gopal juga mengecam Kementerian Sumber Manusia bergantung kepada rujukan pihak-pihak yang menyokong peruntukan itu termasuk Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perladangan (NUPW) tanpa menangani isu semasa dengan mendengar suara yang membangkang perkara tersebut.

"Tindakan mengiktiraf dan memudahkan (proses) pembekalan buruh (menerusi sistem kontraktor) akan menyebabkan hubungan pekerjaan di Malaysia berubah menjadl kelas hamba dan pemilik hamba.

"Masyarakat Malaysia telah bekerja keras untuk menghapuskan sistem pekerjaan bersifat hamba dan kini kembali kepada sistem yang lama," katanya lagi.

Gopal juga berkata pandangan bahawa peruntukan baru akan membenarkan pekerja menyertai kesatuan sekerja adalah satu tanggapan palsu.

Katanya, kementerian itu memberi gambaran tidak benar sedangkan pada masa yang sama pihaknya menyukarkan proses berkesatuan dan bertindak ke arah melemahkan pengaruh kesatuan-kesatuan sekerja khususnya kesatuan bersifat industri.

Kata beliau, Kementerian Sumber Manusia seharusnya bertindak jujur dalam pendirian jika mahu mempertahankan kepentingan kaum pekerja dan rakyat negara ini.

"Pendirian Ketua Setiausaha bahawa pindaan Akta Kerja akan memanfaatkan pekerja negara ini tidak benar sama sekali. Kata-kata kementerian dan tindakannya tidak sepadan dan (oleh itu) kementerian seharusnya bertindak untuk membetulkan perkara ini," katanya lagi.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam mempertahankan tindakan mereka meminda akta itu dan memasukkan sistem kontraktor tenaga kerja.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved