Sabtu, 29 Oktober 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Audit: Staf kerajaan salah guna dana akan dihukum, kata Husni

Posted: 29 Oct 2011 02:04 AM PDT

IPOH, 29 Okt ― Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan kakitangan mana-mana kementerian dan agensi yang menyalahgunakan peruntukan serta tidak mengikuti prosedur ditetapkan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Ahmad Husni (gambar) berkata, kerajaan tegas mengamalkan konsep akauntabiliti dan perkara itu jelas melalui laporan yang dibentangkan Ketua Audit Negara Isnin lalu.

Tegas beliau, bagi menangani isu penyelewengan, kerajaan menyediakan sistem semak dan imbang, iaitu tindakan akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan.

"Ia perlu supaya mereka yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman dan masalah penyalahgunaan peruntukan tidak berulang," katanya dipetik Bernama Online.

"Mesej telah kita berikan kepada perkhidmatan awam di mana tindakan tegas harus diambil bagi meningkat kualiti, integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam," katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengarahkan semua pegawai membuat penyenaraian isu yang telah dibangkitkan dalam laporan audit berkenaan untuk tindakan lanjut.

Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberi jaminan kerajaan akan bertindak mengikut peraturan dalam berurusan dengan sembilan kementerian dan jabatan yang dilaporkan berbelanja melebih had sehingga mengakibatkan penggunaan peruntukan tambahan berjumlah RM3.73 bilion tahun lalu.

Kata beliau, langkah-langkah sewajarnya akan diambil ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan semalam bagi memastikan kesilapan-kesilapan lalu tidak berulang.

"Kami sedang mengambil tindakan susulan ekoran laporan (Ketua Audit) dan akan bertindak mengikut peraturan," kata beliau.

Mohd Sidek juga memberitahu sidang akhbar bahawa laporan audit menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan Isnin lalu antara lain mendapati beberapa kementerian dan jabatan membelanjakan peruntukan untuk belanja mengurus melebihi jumlah yang ditetapkan.

Menurut laporan berkenaan, peruntukan muktamad bagi perbelanjaan mengurus bagi 2010 ialah RM149.06 bilion, bertambah sebanyak RM10.78 bilion dari jumlah asal RM138.28 bilion.

Bagaimanapun kata laporan itu, tambahan peruntukan ini masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan berjumlah RM151.63 bilion iaitu melebihi RM2.57 bilion daripada jumlah yang diperuntukkan.

Mengikut peraturan kewangan, sesuatu perbelanjaan hanya boleh dilakukan jika peruntukan kewangan yang diluluskan mencukupi.

"Semakan audit mendapati peraturan ini tidak dipenuhi sepenuhnya oleh beberapa kementerian/jabatan yang telah berbelanja melebihi peruntukan.

"Adalah juga didapati beberapa kementerian/jabatan tidak membelanjakan peruntukan/tambahan peruntukan yang diluluskan.

"Ini menunjukkan masih ada kelemahan dari segi perancangan dan pengurusan perbelanjaan walaupun isu ini sering dibangkitkan," jelas laporan audit yang lewat dikeluarkan selama 17 hari dari tempoh pembentangan Belanjawan 2012.

Menurut laporan itu lagi, analisis yang telah dijalankan terhadap perbelanjaan mengurus 2010 mendapati 138 kelemahan pengurusan perbelanjaan berjumlah RM360.96 juta.

Sebanyak 75 kes perbelanjaan melebihi peruntukan berjumlah RM306.01 juta telah berlaku di 14 kementerian dan jabatan bagi bayaran perkhidmatan dan bekalan, aset serta pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertahanan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Full content generated by Get Full RSS.

Pemuda Umno: Jualan asid perlu dikawal

Posted: 29 Oct 2011 01:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 29 Okt ― Kerajaan digesa mencari mekanisme tertentu seperti memperketatkan kawalan jual beli asid terutamanya cuka getah yang amat mudah didapati pada ketika ini bagi membendung kejadian simbahan asid.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Khairun Aseh berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh melaksanakan perkara itu memandangkan kejadian tidak bertanggungjawab tersebut semakin berleluasa ketika ini dengan jumlah kes tertinggi pada tahun ini berbanding tahun lepas.

"Bayangkan dengan hanya RM2.50, sebotol cuka getah yang mengandungi 125ml amat mudah didapati di kedai-kedai tanpa ada sebarang pertanyaan daripada sipenjual. Dengan modal itu jugalah masa depan seseorang itu boleh musnah begitu sahaja," katanya dipeti Bernama Online.

Pada sidang media hari ini, beliau turut membawa dua beradik yang menjadi mangsa simbahan cuka getah oleh seorang lelaki di kampung mereka di Felda Jengka 9, Pahang pada 19 Julai lalu.

Shafiq Haikal, 13, dan adiknya Shaffiy Aiman, 10, yang disimbah cuka getah ketika dua beradik itu pulang dari mengaji al-Quran di kampungnya, cacat di bahagian muka dan kini masih menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lelaki tersebut, yang merupakan penduduk di Felda berkenaan, didakwa pernah mengamuk di sebuah kedai makan menggunakan parang, baru-baru ini dikenakan hukuman lapan tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh.

Khairun berkata walaupun balasan setimpal boleh dikenakan kepada suspek, namun fobia mangsa termasuk untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa, amat sukar dilalui.

"Sudah banyak menteri berkaitan mengajukan pekara ini di pelbagai saluran, tapi hakikatnya, asid begini masih mudah didapati di kedai-kedai. Apa yang mereka usahakan? Mereka perlu bersungguh-sungguh sekiranya tidak mahu ramai lagi orang awam menjadi mangsa.

"Selepas ini, saya bercadang untuk menghantar memorandum kepada Menteri Kesihatan dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan agar mereka bersama-sama berbincang untuk mengatasi perkara yang semakin parah ini," katanya yang turut menyerahkan wang tunai RM3,000 kepada dua beradik berkenaan bagi mengurangkan beban selain menjadikan mereka anak angkat.

Sementara itu, bapa dua beradik itu, Mat Safar Zaidi, 33, berkata kedua beradik itu yang bercita-cita mahu menjadi polis dan doktor berkata pada mulanya sukar menerima kenyataan selepas tragedi itu.

"Pernah saya bawa salah seorang mereka ke kedai untuk lihat sama ada mereka boleh sesuaikan diri dengan masyarakat atau tidak, tapi beberapa minit setibanya di kedai berkenaan, mereka lari meluru ke arah saya. Mungkin malu dengan pandangan masyarakat terhadap rupa mereka," kata bapa kepada empat anak ini.

Kedua-dua mereka perlu mendapatkan rawatan susulan dua minggu sebulan di HKL, selain perlu memakai topeng untuk suatu ketika, dan meneruskan pembelajaran di dalam wad sementara menerima rawatan.

Ibu dua beradik itu, Rohashimah Mansor, 33, tidak menduga perkara terbabit akan berlaku kepada dua anaknya yang dilakukan oleh seorang lelaki yang tinggal bersama ibunya di kampung tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved