Selasa, 8 November 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Bunuh pelajar Malaysia di Jawa Timur tiada kaitan motif dendam

Posted: 08 Nov 2011 03:03 AM PST

JAKARTA, 8 Nov — Pihak berkuasa Indonesia telah mengklasifikasi kejadian pembunuhan pelajar Malaysia Adrian Jay Pereira sebagai kes jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan motif lain termasuk balas dendam.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ludinata Misnun berkata, polis Indonesia sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang tangkapan dibuat.

"Pihak Hospital Saiful Anwar, Malang, telah selesai menjalankan bedah siasat ke atas jasad Adrian pada pukul 2.45 petang waktu tempatan dan sedang menguruskan penyerahan mayat itu kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi di Malang.

Laporan Bernama Online menyebut, Adrian, 23, ialah mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur.

Ludinata berkata hasil bedah siasat itu menyimpulkan bahawa kematian Adrian disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.

Katanya keluarga mendiang Adrian diwakili seorang bapa saudaranya dan seorang peguam untuk melihat keadaan mayat beliau di hospital itu hari ini.

Jasad Adrian akan dihantar pulang ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada pukul 10.40 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijadual sampai di KLIA, Sepang pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.

Ludinata berkata berdasarkan keterangan polis, kejadian yang menimpa Adrian bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya di bandar Malang, apabila beliau bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar kediaman mereka.

Adrian yang keluar menyiasat tidak menemui apa-apa yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.

Pelajar itu kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau di dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Adrian pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa serangan itu, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya. Polis percaya dua penjenayah terlibat dalam kes itu.

Seramai 173 pelajar Malaysia sedang menuntut di Malang, pada masa ini dan daripada jumlah itu 161 orang belajar di Universiti Brawijaya.

Full content generated by Get Full RSS.

Umno tak pernah sekat suara ahli, kata Muhyiddin

Posted: 08 Nov 2011 02:56 AM PST

KUALA LUMPUR, 8 Nov ― Umno tidak pernah menyekat mana-mana pemimpinnya di semua peringkat daripada menyuarakan pendapat tentang isu melibatkan parti kerana Umno mengamalkan prinsip demokrasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata setiap hari beliau membaca dalam akhbar banyak pendapat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang mengulas mengenai pelbagai isu yang membuktikan tiada sekatan daripada parti.

"Tiada satu pun pekeliling yang dikeluarkan kepada mana-mana pemimpin Umno baik di peringkat negeri, bahagian atau individu mengatakan mulut mereka terkunci dan tertutup sepanjang masa. Kadang-kadang mereka bercakap lebih daripada yang sepatutnya pun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog terbuka dengan 50 graduan yang terpilih untuk menyertai program "Teach For Malaysia" di sini hari ini.

Muhyiddin (gambar) mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini yang mendakwa kononnya dalam Umno sudah tiada peluang untuk bersuara, dan jika mahu bercakap pada perhimpunan agung pun, individu itu perlu mendapatkan kelulusan pihak atasan.

Pada 22 Julai lepas, Tengku Razaleigh melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan beliau sebagai presidennya, sebagai "platform untuk menyuarakan pendapat secara lebih meluas".

Muhyiddin berkata berkata Umno juga tidak menyekat mana-mana anggotanya untuk menyertai NGO kerana itu adalah hak masing-masing.

"Kita tidak sekat kalau mereka hendak menyertai mana-mana NGO, begitu juga dengan individu di parti lain yang ada juga menyertai badan dan persatuan, kerana itu minat mereka untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara yang mereka ingin fokuskan," katanya dipetik Bernama Online.

Menurut Muhyiddin, di dalam Umno ada sistem di peringkat bahagian dan negeri sebagai satu forum untuk ahli dan pemimpin menyampaikan apa sahaja yang berkaitan dengan parti.

"Saya tidak tahu apa yang Tengku Razaleigh hendak cakap yang kita tak bagi cakap. Apabila beliau buat majlis bertemu dengan media, dia bercakap juga. Mungkin kalau beliau ada sesuatu yang berbeza sikit dari parti, bolehlah beliau kemukakan.

"Jika beliau ada cadangan tertentu hendak disampaikan, rasanya tidak perlu tunggu sehingga Perhimpunan Agung Umno kerana mereka boleh sampaikan pendapat pada bila-bila masa sahaja," kata Muhyiddin.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved