Khamis, 3 November 2011

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Masak nasi lemak pun kontroversi

Posted: 02 Nov 2011 04:59 PM PDT

3 NOV — Pertama kali melihat poster filem "Nasi Lemak 2.0" di pawagam, aku tertanya-tanya, siapakah dia Namawee? Kawan Cina aku pulak cuma cakap "dia ni cuba nak buat filem 1 Malaysia tapi timbulkan banyak kontroversi". Aku sedari itu bila melihat adanya gambar Adibah Noor, Afdlin Shauki, David Arumugam dan Reshmonu dalam poster. Tapi bila diajak menonton filem itu, terus terang dia menolak menontonya di pawagam "alah, beli DVD aje nanti!". Tapi ternyata filem ini tak dapat diketepikan begitu saja, apalagi bila ada berita-berita yang kononnya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan filem dan pengarahnya, Namawee.

Pertubuhan Gagasan Rakyat Negeri Perak telah membantah penayangan filem itu, yang dikhuatiri memberi kesan negative kepada golongan muda. Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengumumkan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penayangan filem "Nasi Lemak 2.0" bolehlah mengemukan bantahan mereka kepada pihaknya untuk dinilai memandangkan kementerian itu bertanggungjawab dari segi penapisan filem melalui Bahagian Kawalan Filem KDN. Namawee, dikatakan pernah mencetuskan isu yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia, menerbitkan video klip "Negarakuku" yang menghina lagu kebangsaan dan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Kontroversi seterusnya melibatkan filem "Nasi Lemak 2.0″ yang bakal tidak menikmati insentif penolakan cukai sebanyak 20 peratus sebagaimana diterima oleh kebanyakan filem tempatan Malaysia yang lain kerana filem tersebut gagal mendapat status Skim Wajib Tayang. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menjelaskan yang filem "Nasi Lemak 2.0" tidak layak mendapat status Wajib Tayang kerana pandangan prejudis terhadap Namewee yang merupakan pengarah dan pelakon filem tersebut. Walaubagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah memberikan sokongan beliau dan berkata "Nasi Lemak 2.0 adalah sebuah filem 1 Malaysia".

Filem bergenre komedi yang dibintangi oleh Karen Kong, Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Nadine Ann Thomas, Adibah Nor, Pete Teo, Patrick Teoh dan Ho Yuhang ini telah berjaya mendapat kutipan RM4.5 juta selepas dua minggu tayangan. Ianya dibuat dengan peruntukan kurang daripada RM1 juta.

Sewaktu membeli DVD filem ini aku berkali-kali dipastikan "ini DVD original okay, bukan cetak rompak". Ketika itu juga aku teringatkan filem "Sepet" arahan Yasmin Ahmad yang menampilkan watak sipenjual VCD cetak rompak di pasar malam. Yang menariknya, filem ini bukan saja dilakonkan oleh kalangan pelakon-pelakon yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, seperti Pete Teoh, Ho Yuhang dan Adibah Noor, filem ini juga bijak mengundang penaja korporat seperti Canon, talipon HTC, minuman beer Tiger serta imej kapalterbang AirAsia. Pendekata, filem yang masih dikategorikan sebagai filem Indie Malaysia ini sudah bijak berkolaborasi dan mendapat pendanaan dari pihak produk konsumer.

Sepanjang filem ini aku tercari-cari imej-imej yang menimbulkan kontroversi seperti yang diwar-warkan. Sebagai sebuah filem Malaysia yang banyaknya menggunakan bahasa Cina dalam pelbagai dialek, walaupun ada menyelitkan bahasa Tamil, Melayu dan pigeon English, pastinya filem ini telah diluliskan oleh Lembaga Penapisan Filem kerana mengikut garispanduan. Mungkin jika adapun imej yang mengganggu sesetengah pihak adalah adegan mabuk meminum tiga botol beer. Jika itulah yang dikontroversikan, kita sebenarnya telah lama dihidangkan dengan iklan-iklan minuman keras setiap kali menonton di pawagam. Maka garis panduan filem kita harus diperjelaskan.

Filem ini sebenarnya adalah sebuah "homage" kepada pembikin-pembikin filem multicultural Malaysia seperti P. Ramlee, Othman Hafsham, Yasmin Ahmad, Mamat Khalid, Afdlin Shauki dan Ho Yuhang. Filem ini juga boleh dilihat sebagai sebuah tribut untuk pembikin-pembikin filem independen Malaysia yang didahulukan dengan filem digital "Lips to Lips" arahan Amir Muhammad.

Selain filem-filem Yasmin Ahmad, filem ini seperti mempunyai hubungannya yang tersendiri dengan filem Stephan Chow dari Hong Kong, Jack Neo dari Singapura serta program masakan terkenal "Iron Chef". Filem ini juga begitu dekat dengan filem-filem yang bersangkutan dengan makanan seperti "Papadom" oleh Afdlin Shauki serta karya terbaru Othman Hafsham, "Karipap-karipap Cinta". Imej pahlawan Melayunya serta keperwiraan seorang pendekar juga dekat dengan imej Hang Tuah dan biskut bercokelat Kit Kat. Mungkin Namawee sendiri juga dekat dengan dunia pengiklanan seperti Yasmin Ahmad.

Filem "Nasi Lemak 2.0" ini mempunyai sebuah resipi genre "road movie" yang mencari sebuah kejayaan setelah menghadapi kegagalan hidup di dalam sebuah kehidupan berkareerkan sebagai seorang tukang masak, sekaligus mencari jati diri, siapa dirinya yang sebenar (merujuk kepada kewujudan kaum Cina di Malaysia).

Di sini "Nasi Lemak" bukan hanya menjadi ikon Malaysia, tetapi juga sebagai metafor jati diri bangsa Malaysia, bukan hanya sekadar makanan orang Melayu. Malah nasi lemak itu sendiri juga dilihat sebagai sebuah ikon yang sememangnya beridentitikan multi-kultural Malaysia yang menggabungkan budaya India, Cina dan Melayu.

Apa yang menarik di dalam filem ini bukan hanya pencarian diri dalam Hero Huang sendiri, tetapi juga watak Anak Angkat yang dilakonkan dengan baik sekali oleh Karen Kong serta watak Gong Xi Ning, mak saudaranya. Yang paling jelas adalah pencarian pemenang peraduan masakan untuk menjadi tukang masak di Restoran Gong Xi. Pengarahnya, Namawee, begitu pandai menyelitkan komentar-komentar semasa ke dalam filem ini, seperti adegan wanita upahan untuk memabukkan ayah Karen Kong, Gong Xi Fa, seterusnya menimbulkan skandal seks yang dirakam di dalam video dan dimuatkan ke dalam YouTube dan kemudiannya dinafikan bulat-bulat, adegan Nyonya Baba yang dimasukkan ke dalam genre filem komedi seram, serta komentar tentang lelaki Melayu-Muslim yang tinggal serumah dengan keempat-empat isterinya. Pendekata, kita tidak jemu menonton dari satu adegan ke adegan yang lain, walaupun tidak mampu untuk ketawa.

Jika benarlah filem ini adalah sebuah filem multi-kultur Malaysia atau diwar-warkan sebagai 1 Malaysia, siapakah yang sebenarnya yang menimbulkan kontroversi dan kenapakah hal-hal sedemikian masih terjadi di dalam industri filem.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Full content generated by Get Full RSS.

Ugutan buat Aziz Bari belum berdosa

Posted: 02 Nov 2011 04:35 PM PDT

3 NOV — Prof Dr Aziz Bari yang gantung jawatannya di UIAM dengan tali reput, kini menerima pula surat ancaman ke atas jiwanya bersama sebutir peluru. Kes itu telah dilaporkannya ke balai polis.

Semua bersetuju bahawa surat ancaman beracun itu adalah satu jenayah oleh pengirimnya baik seorang mahu pun secara berkumpul. Laporan itu perlu untuk rekod polis.

Tetapi dari pandangan Islam, sebarang niat jahat seperti yang dibuat oleh si pengirim peluru dan surat ancaman kepada Aziz Bari itu belum dikira berdosa.

Malaikat yang tahu akan niatnya dan tahu dia mengantar peluru itu kepada Aziz belum mencatitnya sebagai satu dosa. Walau pun ugutan itu sah satu ancaman dan jenayah. Tetapi ia berdosa baik kecil mahu pun besar apabila niat itu dilaksanakan.

Berbeza dengan niat baik, seperti komen Aziz tentang penglibatan raja dalam isu yang menyebabkan dia menerima peluru dan surat ugutan, jika niatnya baik untuk membuat komen itu dia dapat satu pahala. Tetapi apabila komen itu dibuatnya, dia dapat satu lagi pahala.

Bagaimana pun pengirim peluru yang sudah dikira satu jenayah, belum lagi berdosa, tetapi apabila peluangnya untuk melaksanakan niatnya, tiba-tiba dia tidak jadi melakukannya malah ia menyesal atas niatnya itu kerana takutkan Allah, maka dia dicatit sebagai orang yang beruntung. Orang yang beruntung sudah tentu ada pahala.

Apa pun surat beracun untuk Aziz itu adalah mencerminkan bentuk orang dan masyarakat yang dibentuk oleh kemerdekaan negara yang sudah 54 tahun itu.

Dengan amalan demokrasi yang sekian lama, kemajuan pendidikan pesat hingga wujud berpuluh universiti awam dan swasta, perkhidmatan polis yang bertambah canggit, pembangunan Islam menelan berbilion ringgit, sepatutnya tidak ada lagi orang berfikir seperti orang-orang istana sekeliling Melaka dulu yang memfitnahkan Hang Tuah.

Dengan perkembangan terbuka sejak mereka, tiada lagi orang yang berfikiran sempit seperti itu. Ia mungkin dibuat oleh rasa cinta dan setia yang terlalu tinggi tentang raja. Tindakan seperti itu menjadikan dia lebih setia kepada raja dibandingkan dengan Aziz.

Raja dan kerajaan tidak akan seronok dengan tindakan mengugut terhadap Aziz itu. Ia boleh menyebabkan orang terasa, inikah rupa rakyat yang dapat dilahirkan di bawah payung raja dan istana? Inikah bentuk rakyat yang diwujudkan oleh kerajaan?

Ia sama saja dengan tindakan orang-orang yang mengusung kepala lembu dari masjid ke pejabat Menteri Besar Selangor satu masa dulu. Mungkin ada tujuan yang baik tetapi mengusung kepada lembu menyebabkan semua orang lain merasa malu.

Ia amat jauh dari keinginan Perdana Menteri Najib untuk mengisi transformasi politik dan lain-lain berpaksi kepada kaedah maqasit syariah. Antara lima cabang maqasid syariah itu adalah menjaga nyawa manusia.

Dengan seluruh manusia berhak hidup sehinggalah tiba ajalnya. Bukan mengancam keselamatan dan jiwa Aziz.

Sudah begitu banyak kita bertemu dengan mati yang dibuang dan mayat ditemuai bergelimpangan di sana sini. Semuanya ini tidak mencerminkan negara menuju pelaksanaan maqasid syariyah.

Penghantaran surat berpeluru kepada Aziz ada bukti tiada langsung bau ajaran maqasid syariah itu.

Langkah menggantung jawatan Aziz oleh UIAM sudah dikira tindakan seperti tindakan raja dan pembesar Singapura membunuh Hang Nadim yang menyelamatkan rakyat dari serangan todak. Pentadbiran UIAM telah malu dan menyesal atas perbuatannya ala pembesar Singapura purba itu.

Tetapi ia disambut pula oleh tukang bodek yang membabit kemuliaan istana sedang tindakannya tidak menyenangkan istana dan semua pihak bagi menjaga dan memelihara kedaulatan istana.

Raja dan kerajaan tidak berbangga adanya orang seperti itu. Ia tidak membantu raja dan kerajaan menjadi pemerintah dan pentadbir yang berdaulat dan berwibawa. Tetapi ia akan menambahkan masalah sosial dan negara.

Kalau berlaku sesuatu kepada Aziz, maka natijahnya sama seperti menghadapi isu Altantuya yang terus tidak selesai. Ketua Polis Negara tidak seronok, Peguam Negara tidak seronok dan semuanya tidak seronok. Cukuplah dengan satu ke Altlantuya. Jangan ada lagi kes seperti itu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved