Sabtu, 3 Disember 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Shafie Afdal: BN perlu menang selesa dapat ‘kuasa’ pinda Perlembagaan

Posted: 03 Dec 2011 02:58 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menegaskan  Barisan Nasional (BN) perlu menang selesa kerana ia akan memudahkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kemenangan tipis BN pada pilihan raya umum 2008 telah memeritkan parti betapa bahaya bila sesuatu kerajaan tidak mendapat majoriti dua pertiga.

"Kita bukan sahaja mesti menang dalam pilihan raya umum ini tetapi kita mesti menang dengan selesa," kata beliau (gambar) ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 petang ini.

Sambil membandingkan kerajaan yang lemah di England dan Amerika Syarikat, katanya, BN kena menang besar supaya mudah meminda Perlembagaan di Parlimen.

"Obama tidak dapat meluluskan bajetnya kerana partinya tidak menguasai Kongres," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah percaya BN tetap menang dalam pilihan raya umum akan datang berdasarkan semua pilihan raya kecil selepas Datuk Seri Najib Razak mengendalikan parti itu menang semua kerusi.

"Kita menang di Batu Sapi, Galas, Merlimau, Tenang. Ini membuktikan BN diyakini semula rakyat setelah gagal mendapat majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-12," kata beliau.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 amat penting dalam menentukan survival orang Melayu dan kedaulatan orang Islam.

Beliau yang juga pengerusi pendaftaran pengundi baru berkata, kalau "kita ada calon boleh menang pun tak guna, kalau undi tidak cukup."

"Sebab itu Umno bahagian kena pastikan semua yang layak mengundi didaftar sebagai pengundi," katanya.

Seorang lagi naib presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin  Hussein pula ketika menyampaikan ucapannya berkata, Umno dalam memperkenalkan transformasi tidak akan sama sekali menggadaikan hak-hak orang Melayu.

Katanya, Najib sudah memperkenalkan pelbagai transformasi dan ia perlu diterjemahkan dalam bentuk undi.

"Apa guna buat transformasi kalau kita kalah dalam pilihan raya," katanya lagi.

Rakan sejawatannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjelaskan menurut kajian PAS, sokongan rakyat terhadap Najib semakin meningkat.

"Kajian ini bukan dibuat oleh Umno tetapi dibuat oleh PAS yang kita dapat capynya," kata beliau dalam ucapan penggulungannya.

Katanya, seramai 54 peratus bersetuju dengan transformasi yang dibuat Najib. Begitu juga 76 peratus responden kecewa dengan kerajaan Selangor.

Seramai 55 peratus pula tidak suka kepada PKR dan 54 peratus menganggap Umno membela hak ketuanan orang Melayu dan Islam.

"Saya yakin kita dapat tawan semula Selangor berpandukan kajian yang dibuat oleh PAS ini," katanya yang akan membantu BN Selangor untuk menawan semula negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata potensi BN untuk menang semula amat cerah.

"Tetapi potensi kena ada pada semua orang. Bukan sahaja kepada presiden, timbalan presiden, ahli-ahli majlis tertinggi, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua cawangan malah potensi itu kena ada pada semua orang Umno," katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Ali Rustam: Pakatan tidak boleh rampas tiga negeri selatan

Posted: 03 Dec 2011 02:49 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Ali Rustam memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional supaya berwaspada dengan strategi terbaru DAP meletakkan calon Melayu bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Mohamed Ali (gambar), yang juga Ketua Menteri Melaka, yakin dengan strategi terbaru itu, DAP tidak akan lagi mengharapkan PAS untuk meraih sokongan Melayu memenangi kerusi yang ditandingi pakatan pembangkang.

"DAP telah berjaya mengalahkan PAS untuk kepentingan mereka. Kita nak tengok macam mana DAP meletakkan calon di kawasan PAS manakala PAS meletakkan calon di kawasan DAP.

"Apapun mereka buat, tak mungkin boleh berjaya dan BN telah siap sedia dengan taktik terbaru ini. Ini trend baru dan permainan baru," katanya dipetik Bernama Online.

Mohamed Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, percaya matlamat DAP ialah untuk menguasai PAS dan menggunakan taktik sama seperti PAP di Singapura untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara jiran berkenaan.

Beliau juga mahu melihat sejauh mana strategi itu mengena kerana kononnya DAP berpendapat masyarakat akan mengikut secara membuta tuli.

"Tapi saya yakin masyarakat bijak... mereka akan buat penilaian yang terbaik untuk masa depan negara kita, kita tak boleh perjudikan masa depan negara," katanya.

Katanya strategi terbaru pembangkang itu juga dilihat sebagai cabaran besar kepada Umno dan BN selain daripada cabaran media sosial yang dilihat sebagai punca kekalahan parti pemerintah itu pada pilihan raya umum 2008.

"Saya harap pengundi bersikap sederhana, mementingkan perpaduan dan masa depan negara dan tidak boleh terikut-ikut dengan rentak DAP. Rentak DAP ini boleh membawa masa depan yang bahaya berikutan ekstremisme mereka," katanya.

Sebagai contoh, katanya penghinaan kepada orang Melayu pada 13 Mei 1969, gelaran hitam metalik kepada pemimpin Umno dan cadangan parti itu untuk mengurangkan jumlah penjawat awam jika berkuasa, jelas menunjukkan DAP adalah anti Melayu, katanya.

Katanya sekiranya parti itu berkuasa, Malaysia akan menjadi negara yang tidak stabil dan harmoni kerana keangkuhan parti berkenaan boleh menimbulkan kebencian di kalangan penduduk berbilang kaum dan mengganggu-gugat masa depan negara yang aman dan makmur.

Selain itu, katanya wujud pertembungan nilai dan akhlak yang diamalkan pembangkang seperti sokongan yang diberikan program Seksualiti Merdeka baru-baru ini sedangkan Umno dan BN sentiasa mempertahankan nilai-nilai ketimuran.

Mohamed Ali berkata pembangkang juga jangan bermimpi untuk merampas Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang.

"Dia kena jaga negeri yang dia dah tawan. Difahamkan Kelantan boleh tumbang begitu juga Kedah dan Selangor dan kalau dia nak pertahan pun Pulau Pinang. Saya percaya jika orang Umno dan BN Pulau Pinang kerja kuat, kita boleh rampas Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata Umno dan BN tidak berputus asa berusaha mengambil semula negeri terbabit walauapa pun yang terjadi dengan memberi contoh keupayaan BN merampas semula kerusi parlimen Kota Melaka selepas 34 tahun dikuasai DAP.

Mengenai Umno yang disaran menjadi ejen perubahan dalam arena politik baru, lebih banyak penjelasan perlu dilakukan supaya anggota Umno dapat memahami dalam semua aspek bagaimana parti bersedia untuk menghadapi pilihan raya dengan tindakan yang patut dilakukan dan juga gerak kerja yang tersusun.

"Saya melihat kita pada kali ini perlu memahami perjuangan Umno sendiri kerana parti banyak difitnah, dikatakan parti yang tidak berjasa, hanya kepada kumpulan tertentu, parti perkauman, rasuah, menekan orang Melayu, menganiaya orang Cina dan tidak berjasa kepada negara," katanya.

Sebaliknya, sejarah telah membuktikan bahawa sumbangan Umno dan pengorbanan orang Melayu kepada negara dan penduduk Malaysia yang berbilang kaum sangat besar sehinggakan kerusi majoriti Melayu pun diberikan kepada parti lain dengan tujuan berkongsi kuasa.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved