Isnin, 12 Disember 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Jurujual dituduh buat panggilan bom palsu

Posted: 12 Dec 2011 02:29 AM PST

TAPAH, 12 Dis – Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membuat panggilan kononnya terdapat bom di landasan kereta api antara Bidor dan Tanjung Malim, 1 Disember lalu.

N Navindran, 25, jurujual jualan langsung, didakwa melakukan perbuatan itu yang diklasifikasikan sebagai ugutan jenayah, bertujuan mendatangkan kematian, cedera dan kebinasaan kepada orang awam, pada 1.45 pagi.

Panggilan itu menyebabkan gangguan perkhidmatan kereta api hampir 10 jam.

Tuduhan dikenakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izalina Rajaai memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa Navindran diserahkan kepada mahkamah bagi memastikan kehadirannya pada tarikh perbicaraan.

Nurul Izalina memberitahu mahakamah bahawa kesalahan serta tindakan tertuduh adalah berat kerana mengakibatkan kerugian RM500,000 kepada KTM Berhad dan mendatangkan kebimbangan kepada orang awam, lapor Bernama Online.

Peguam V Santhiran yang mewakili Navindran, memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan itu kerana tertuduh hanya bekerja sebagai seorang jurujual dan berpendapatan RM600 hingga RM700.

"Mustahil tertuduh boleh bayar jaminan itu. Tambahan pula wang jaminan ditetapkan mahkamah hanyalah sebagai syarat untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah pada masa yang ditetapkan," katanya.

Majistret Fairuz Adiba Ismail kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kes itu akan disebut semula pada 9 Januari.

Full content generated by Get Full RSS.

PAS: Muhyiddin, semua terlibat kes NFC perlu letak jawatan

Posted: 12 Dec 2011 01:29 AM PST

KUALA LUMPUR, 12 Dis – PAS hari ini mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang menganugerahkan projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil wajar meletakkan jawatan kerana 'lebih bersalah' dari segi pentadbiran kerajaan dan patut memikul tanggungjawab sebagai anggota Kabinet.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata kesemua pihak termasuk Muhyiddin harus tampil menerima tanggungjawab dalam isu kontroversi NFC.

"Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat.

"... akan tetapi siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat," kata beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Tuan Ibrahim berkata, adalah tidak adil untuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersifat pilih kasih dalam menyerang Shahrizat dengan menyuruhnya 'untuk berundur sebelum beliau diundurkan' tapi tidak pada Muhyiddin yang kini merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Gesaan agar Shahrizat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meletakkan jawatan semakin meningkat.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas apa-apa termasuk saranan Dr Mahathir Jumaat lalu.

Bulan lalu, Muhyiddin berkata tidak wajar pemimpin Umno meminta Shahrizat berundur.

"Dr Mahathir tidak sepatutnya pilih kasih dalam menegur Shahrizat dan tidak kepada Muhyiddin yang meluluskan projek ini.

"Sekiranya sikap Muhyiddin ini dibiarkan berterusan semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya perdana menteri, berapakah lagi wang rakyat yang bakal terkorban?" tambah Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak lagi insaf dengan kesilapannya apabila menyatakan bahawa NFC hanyalah isu politik yang dicetuskan Pakatan Rakyat dan terus mempertahankan projek tersebut walaupun kewujudan penyalahgunaan dana awam yang susah dipertikaikan.

"Bayangkan sekarang, Muhyiddin ialah bakal perdana menteri sekiranya apa-apa terjadi pada Datuk Seri Najib Razak, berapakah banyak projek di bawah kelolaan kementerian dan kuasa beliau yang akan berakhir seperti tragedi NFC. Bolehkah rakyat Malaysia menerima seorang bakal PM yang sedemikian?" soal beliau.

Tuan Ibrahim menambah, Dr Mahathir sepatutnya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani menegur timbalannya, untuk menegur Muhyiddin atas dasar membantu Najib membetulkan pentadbirannya.

Apa yang pelik, kata beliau ialah bila mana hanya Shahrizat sahaja yang diminta berundur sedangkan Muhyiddin tidak diarahkan berbuat demikian.

"Begitu juga dengan beberapa orang yang lantang mempertahankan penyelewengan ini, juga sepatutnya merasa malu kerana ia nyata bertentangan dengan norma biasa.

"Sekiranya Shahrizat disuruh berundur, Muhyiddin pun harus menerima nasib yang sama. Jika Shahrizat saja berundur, tapi tidak Muhyiddin dan lain-lain, percayalah rakyat akan terus mencengkam isu NFC sehingga semua yang terlibat berundur," tambah beliau.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved