Jumaat, 16 Disember 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


NFC: Pindah kes kepada polis bukan perkara baru, kata SPRM

Posted: 16 Dec 2011 02:25 AM PST

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambil menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa ia  tidak mengambil tindakan dalam kes Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menegaskan, langkah memindahkan mana-mana kes tidak berkaitan kepada polis bukan perkara baru.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa tindakan pengumpulan bukti dan keterangan telah bermula sejak isu berkenaan dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2010 — yang menyatakan projek tersebut, yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil — tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Semasa dalam proses pengumpulan bukti dan keterangan tersebut, SPRM telah menerima aduan daripada satu kumpulan NGO yang mendakwa berlakunya penyalahgunaan wang pinjaman yang diperoleh oleh NFC bagi membeli kondominium mewah berharga RM9.8 juta yang dibeli di Lembah Klang," katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah meneliti aduan itu, Jawatankuasa Menerima Maklumat SPRM mengklasifikasikan bahawa aduan tersebut tidak mengandungi unsur rasuah dan merupakan kesalahan bawah Kanun Keseksaan yang bukannya dalam bidang kuasanya, memutuskan supaya ia dirujuk kepada pihak polis.

Perkara itu sedang disiasat pihak polis.

"SPRM ingin menjelaskan bahawa tindakan merujuk maklumat atau aduan kepada pihak penguat kuasa lain atau lain-lain agensi bagi aduan atau maklumat yang tiada berunsur jenayah rasuah telah diamalkan oleh SPRM dan BPR sejak awal penubuhannya," katanya.

Jelas kenyataan itu, pada 2009 sebanyak 313 kes dan 260 kes lagi tahun berikutnya, yang diadu kepada SPRM telah dirujuk kepada polis.

"Sebaliknya pihak polis pula telah merujuk kepada SPRM sebanyak 102 aduan pada 2009 dan 95 aduan pada 2010," katanya lagi.

Oleh itu kata kenyataan tersebut, SPRM ingin menegaskan bahawa semua aduan atau maklumat yang berunsur jenayah rasuah akan disiasat.

"SPRM berharap orang ramai jelas dan tidak salah faham berhubung dengan sebarang tindakan SPRM dalam kes-kes seperti ini," katanya lagi.

Ia menambah, maklumat atau aduan yang berkaitan rasuah  tetap diambil tindakan  oleh SPRM manakala maklumat atau aduan yang tidak ada unsur rasuah akan dirujuk kepada mana-mana agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya selaras dengan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa agensi berkaitan.

"Bagaimanapun SPRM tidak mendedahkan perkembangan dan hasil siasatan kerana peruntukan Seksyen 29(4) ASPRM 2009 yang menyatakan bahawa sesuatu aduan hendaklah dirahsiakan sehingga orang tertuduh dipertuduh di mahkamah," katanya lagi.

Malah kenyataan itu berkata, kelmarin SPRM telah menerima satu lagi maklumat daripada NGO yang sama, Jingga 13 dan SPRM menjadikan aduan ini sebagai maklumat tambahan bagi meneruskan siasatan kes ini.

"SPRM ingin menegaskan bahawa agensi ini sentiasa serius dan mengambil tindakan proaktif terhadap setiap maklumat yang berkaitan kesalahan rasuah.

"SPRM ingin menyeru seluruh masyarakat memahami peruntukan bidang kuasa SPRM adalah menyiasat kes berkaitan rasuah, sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta SPRM 2009," katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

IGP: Senjata ‘Steyr’ kes samun bank dipercayai milik anggota tentera

Posted: 16 Dec 2011 02:18 AM PST

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Senjata jenis "Steyr" yang digunakan dalam cubaan melarikan wang tunai RM253,000 di sebuah bank di Taman Muda, Ampang, Selasa lepas, dipercayai milik seorang anggota tentera berpangkat pegawai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tentera.

"Kami telah memberitahu kepada Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) mengenai perkara itu untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Ismail berkata polis percaya terdapat suspek lain yang terlibat dalam insiden itu dan sedang mengesan individu terbabit.

Polis menemui senjata tersebut pada suspek yang ditembak mati seorang pengawal keselamatan dengan "pump gun" ketika hendak melarikan diri.

Dalam perkembangan lain, polis mengesahkan sedang mengesan seorang suspek berhubung kes kehilangan Timbalan Presiden Komuniti Sukan Korea Selatan di Malaysia, Kim Chong Yong, yang dilapor hilang sejak hujung Oktober dan dipercayai dibunuh.

"Polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di luar negara. Kita minta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan suspek yang juga ada hubung kait dengan mangsa," katanya.

Menurutnya, polis kini giat mengesan bukti selain mencari mangsa.

Pada Khamis, polis mengesan isyarat telefon bimbit Kim, 53, yang juga ahli perniagaan, di sekitar kawasan hutan antara Batu 14 hingga Batu 25 Jalan Gombak-Bentong dekat sini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved