Ahad, 18 Disember 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Cuepacs mahu kerajaan batal ‘Exit Policy’ sektor awam

Posted: 18 Dec 2011 01:54 AM PST

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Cuepacs mahu kerajaan membatalkan dasar pemisah atau 'Exit Policy', salah satu komponen di bawah sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atas alasan ia akan merugikan kaitangan awam.

Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam, juga mengesyaki ia salah satu usaha kerajaan mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam dalam jangka panjang.

"Cuepacs mahu dasar pemisah ini dimansuhkan, kami memutuskan tidak mahu terima dasar baru ini," kata Presidennya Datuk Omar Osman pada sidang media sempena perhimpunan dan taklimat membantah SBPA di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Omar berkata, pihaknya khuatir dasar itu akan digunakan untuk membuang mana-mana kakitangan awam dengan memberi markah kurang 70 peratus.

Ketika kerajaan hendak melaksanakan umur persaraan wajib 60 tahun, katanya, dasar pemisah itu tidak perlu dan tidak dialu-alukan untuk membuang atau menghentikan mana-mana kakitangan.

Malah menurut beliau, dasar pemisah boleh disalahgunakan untuk mengecilkan tenaga kerja.

Pelaksanaan SBPA juga telah memansuhkan sekitar 29,000 jawatan.

Ketika diminta mengesahkan sama ada pihaknya risau ia akan digunakan untuk mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam, Omar berkata, "kita nampak begitu."

Penolakan dasar pemisah merupakan antara lima perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam, kata beliau.

Perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pertemuan dengan Cuepacs pukul 11 pagi, Khamis ini.

Kata Omar, kerajaan masih boleh membuang atau menghentikan mana-mana kakitangan yang bermasalah menggunakan cara lain termasuk merujuk kepada lembaga disiplin.

"Kita ada kaedah-kaedah lain, akujanji, perintah am dan lembagai disiplin. Mengapa hendak gunakan dasar 'exit policy'," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider 8 Disember lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata pelaksanaan dasar pemisah tidak wajar menjadi satu isu kerana bilangan kakitangan yang tergolong dalam kumpulan mereka berprestasi rendah sangat kecil.

Abu Bakar berkata, rekod JPA menunjukkan bilangan mereka yang memperoleh markah 69 peratus dan ke bawah, kumpulan yang terdedah kepada tindakan dibersarakan di bawah sistem SBPA, yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari ini, hanyalah 1.1 peratus.

Paras itu bersamaan dengan sekitar 15,400 orang daripada keseluruhan 1.4 juta kakitangan awam buat masa sekarang.

"Jadi, ini tidak sepatutnya menjadi isu besar ditambah pula dengan jaminan JPA akan menyiasat terlebih dahulu sebelum diambil tindakan supaya dapat dielakkan penganiayaan," kata beliau.

Dalam penjelasan itu, Abu Bakar berkata, berhubung dengan isu penjawat berprestasi rendah iaitu markah prestasi di bawah 70 akan dibersarakan, semakan JPA ke atas sampel laporan prestasi bagi tahun 2010 melibatkan 131,196 orang penjawat awam atau 10 peratus, seramai 39 peratus memperoleh 90 markah dan ke atas, dan ia disusuli dengan 55.6 peratus mengumpulkan 80 hingga 89 markah dan 4.3 peratus lagi antara 70 hingga 79 markah.

"Mereka yang prestasi di bawah 70 iaitu 69 ke bawah hanyalah 1.1 peratus," katanya.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran pekeliling SBPA bagi kakitangan perkhidmatan umum, guru, polis dan Angkatan Tentera Malaysia sehari sebelum itu, Abu Bakar berkata, penjawat kerajaan yang tidak memperlihatkan prestasi baik akan dinilai mulai Januari depan, susulan pelaksanaan sistem SBPA dan akan dihentikan kerja jika terus gagal memperbaiki kedudukan mereka selepas proses penilaian.

Abu Bakar menjelaskan penilaian akan dibuat ke atas kakitangan awam yang memperoleh 69 markah dan ke bawah.

"Kita akan menilai mulai tahun depan. Mereka akan dinilai oleh panel dan akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi masing-masing, dan jika masih tidak berubah, mereka akan dibuang kerja," kata beliau.

SBPA akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Abu Bakar berkata, mereka bukan dihentikan secara automatik jika gagal mempamerakan prestasi tidak memuaskan, sebaliknya akan diberi peluang bagi memperbaiki keadaan.

"Tetapi akan dinilai oleh panel, selama enam bulan, mungkin ada sebab mengapa seseorang kakitangan awam tidak berkhidmat dengan baik. Kita semua manusiakan," katanya.

"Kita kena beri mereka peluang untuk memperbaiki keadaan, dan jika masih tiada perubahan, baru akan diminta berhenti kerja," kata beliau lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Cuepacs mahu JPA tangguh SBPA, runding semula dengan kesatuan

Posted: 18 Dec 2011 12:48 AM PST

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Cuepacs membuat pendirian tegas meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang akan dikuatkuasakan 1 Januari ini, dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya "amat kesal" kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

"Kami mahu kerajaan mengadakan perundingan dengan Cuepacs, kami mahu sistem ini dikaji semula... kalau boleh, tangguh melaksanakan SBPA, ada orang kata naik gaji 1 Januari, tetapi mana yang penting, naik gaji 1 Januari atau mendapatkan maklumat betul dan tepat, faedah yang baik.

"Kenaikan gaji 1 Januari boleh dianjakkan satu dua bulan lagi, katakan Mac, kita bayar tunggakan gaji, tiada masalah," kata Omar pada sidang media sempena perhimpunan bantahan dan taklimat SBPA di Pusat Konvensyen CIDB di sini petang ini.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu pertemuan pada Khamis ini.

"Soal penangguhan itu bagi kami, itu perkara kedua dan ketiga, tetapi kami mahukan hak perundingan, mahu hak perundingan dikembalikan, sistem gaji ini dikaji semula, berunding dengan kami," kata beliau sambil menegaskan urusan opsyen SBPA perlu ditangguhkan.

"Kami meminta ahli-ahli kami tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai," kata beliau sambil menambah sekitar 900,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam mendapat perlindungan menerusi perjuangan Cuepacs.

Bagaimanapun Cuepacs tiada maklumat berapa ramai yang sudah menandatangani opsyen SBPA setakat ini.

"Kami tiada statistik buat masa sekarang," kata beliau yang turut menambah, pihaknya belum memaklumkan pendirian  penangguhan pelaksanaan urusan opsyen kepada JPA lagi.

Cuepacs membuat pendirian itu pada mesyuarat majlis kongres di Perlis Khamis lalu.

JPA membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia akan ditutup pada 30 Disember.

"Tempoh 15 hari tidak cukup, kami mahu ia dilanjutkan," kata Omar sambil menambah, pemimpin-pemimpin Cuepacs sendiri tidak jelas tentang kandungan SBPA.

"Kalau kami sendiri tidak jelas, bagaimana hendak dijelaskan kepada ahli-ahli kami.

"Kalau kami diberikan maklumat, kami sendiri boleh lakukan jelajah taklimat tanpa JPA, kami boleh buat, kami boleh tolong. Tetapi ini tidak berlaku, tetapi kami tidak dibawa bersama dalam taklimat mereka," katanya lagi.

Sekitar 2,000 ahli jawatankuasa kesatuan gabungan Cuepacs menghadiri perhimpunan hari ini.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji.

Beliau mengakui ada kakitangan awam diugut supaya menerima SBPA dan dikatakan tidak boleh masuk pejabat jika enggan menerima SBPA.

Apabila diberitahu bahawa ada kakitangan yang sudah dimaklumkan mengenai tangga gaji, Omar berkata:

"Kami tidak diberikan buku sifir gaji sepenuhnya. Masa kami tanya pada taklimat JPA (bulan lalu) dikatakan rahsia, tetapi sekarang tidak dikeluarkan.

"Memang ada kakitangan diberitahu, tetapi kebanyakan tidak tahu. Ada juga agensi yang tidak ada kesatuan."

Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia.

SBPA akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia. Pekeliling rasmi mengenainya dikeluarkan pada 7 Disember lalu.

"Ini kali pertama dalam sejarah, saya sudah berkhidmata selama... ini kali pertama dilaksanakan tanpa hak perundingan, tiada maklumat terperinci," katanya lagi.

Mengulas mengenai pendirian kekesalan mereka, Omar berkata, pihaknya hairan kerana kerajaan mengetepikan peranan Cuepacs dan perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami amat kesal mengapa ia berlaku sekarang, apabila hendak melaksanakan SBPA. Dulu ketika hendak melaksanakan opsyen berkaitan berpindah dari skim KWSP kepada skim pencen, Cuepacs diajak berunding.

"Begitu juga ketika memansuhkan sistem penilaian PTK dan digantikan dengan Prospek, kami diajak berbincang tetapi sekarang tidak, maklumat disembunyikan, tidak diajak berbincang dan dikatakan sulit. Kami amat kesal," katanya lagi.

Kata Omar lagi, Cuepacs merasakan tidak wujud ketelusan dalam pelaksanaan SBPA.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya.

Ada yang mendakwa menerima perubahan gaji bawah peratusan itu.

"Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved