Khamis, 30 Ogos 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Jangan politikkan kes kematian lelaki yang ditembak di Ampang, kata polis

Posted: 30 Aug 2012 02:49 AM PDT

SHAH ALAM, 30 Ogos — Polis hari ini meminta semua pihak agar jangan mempolitikkan dan mensensasikan kes kematian seorang lelaki berumur 26 tahun yang dipercayai anggota kumpulan samseng selepas ditembak polis di Ampang Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kes kematian itu dimainkan sesetengah pihak dalam media sosial dan tindakan sedemikian hanya akan mengganggu siasatan polis.

"Biar polis jalankan siasatan secara telus tanpa melindungi sesiapa bagi memastikan keadilan kepada semua pihak," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri di Pandan Perdana sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.

Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai.

Kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi, sebelum polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah suspek dan menahan mereka.

Bagaimanapun, lelaki berusia 26 tahun itu cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis ketika cuba menahannya dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira 6 pagi dua hari selepas kejadian.

Tun Hisan berkata polis sehingga kini merakamkan 33 percakapan berhubung kejadian itu dan enam individu yang disyaki terlibat dalam pergaduhan berkenaan dituduh di mahkamah pada Jumaat dan Isnin lepas.

Beliau meminta keluarga si mati dan seorang lagi rakannya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu agar tampil ke hadapan untuk memberikan keterangan. — Bernama

Tiada sebab untuk pertikai tema ‘Janji Ditepati’, kata Najib

Posted: 30 Aug 2012 02:42 AM PDT

ALOR SETAR, 30 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tiada sebab untuk sesiapa mempertikaikan tema sambutan Hari Kebangsaan "Janji Ditepati" kerana ia merupakan asas yang mulia.

Beliau (foto fail) berkata Janji Ditepati merupakan prinsip dalam agama Islam, sesuatu yang universal dan sebagai orang Islam, perlu untuk mengikat janji.

"Tiada sebab untuk pertikai tema ini melainkan orang itu tak biasa tunaikan janji. Saya akan pertahan prinsip ini sebagai teras asas yang mulia.

"Janji dengan Allah adalah yang terbesar. Janji sesama manusia, orang akan percayakan kita kalau janji itu ditunaikan," katanya ketika berucap pada Majlis Aidilfitri 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di perkarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata soal janji juga bukanlah terhad kepada kerajaan atau wakil rakyat semata-mata, malah rakyat biasa turut perlu berjanji.

Najib berkata sekiranya mahukan negara aman, stabil dan bertambah makmur, rakyat mesti berjanji untuk menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran.

"Semua pihak ada janji masing-masing, pada Allah, manusia dan kerajaan, maka manusia akan bertambah maju dan berjaya. Sebagai kerajaan kalau berjanji, perlu ditunaikan," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Majlis yang dianjurkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu dihadiri lebih 50,000 orang. Setiap Umno bahagian dan parti komponen BN turut mengambil bahagian dengan menyediakan gerai pelbagai jenis makanan. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved