Jumaat, 31 Ogos 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


53 bayi merdeka lahir di Lembah Kelang sehingga tengah hari ini

Posted: 31 Aug 2012 02:32 AM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Seramai 53 bayi merdeka — 24 perempuan dan 29 lelaki — dilahirkan di lapan hospital kerajaan dan swasta di sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga tengah hari ini.

Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan sebaik selepas detik 12 tengah malam tadi.

Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan di Hospital Kajang dan bayi itu adalah antara enam kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, termasuk sepasang bayi kembar perempuan, kata jurucakap hospital itu.

Hospital Sungai Buloh pula mencatat kelahiran paling tinggi iaitu 13 bayi dengan kelahiran pertama, seorang bayi lelaki pada 12.14 pagi, kata jurucakap hospital itu.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, seramai lapan bayi dilahirkan sehingga 9.02 pagi ini dengan bayi pertama seberat 2.73 kg dilahirkan pada 12.20 pagi.

Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) masing-masing mencatat tujuh kelahiran dengan bayi pertama masing-masing dilahirkan pada 1.02 pagi dan 12.55 pagi.

Hospital Kuala Lumpur mencatat kelahiran lima bayi dengan seorang daripadanya rakyat Indonesia seberat 4.25 kg yang dilahir pada 4.11 pagi, manakala Hospital Tawakal merekodkan kelahiran dua bayi lelaki.

Di Hospital Pantai Kuala Lumpur pula, lima kelahiran direkod termasuk seorang bayi lelaki rakyat Perancis, kata jurucakap hospital itu.

Daripada 53 bayi yang dilahirkan itu, 18 kelahiran adalah melalui pembedahan iaitu masing-masing satu di PPUM dan HKL, Hospital Tawakal Kuala Lumpur (dua), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing empat di Hospital Serdang dan SJMC.

Di KUALA TERENGGANU, 28 bayi dilahirkan di beberapa hospital di negeri itu sehingga 12 tengah hari iaitu 12 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan kelahiran pertama ialah pada 12.14 pagi.

Di GEORGE TOWN, seramai tiga bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang termasuk dua bayi rakyat Indonesia.

Di SEREMBAN, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini bermula tengah malam sehingga 12 tengah hari, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan. — Bernama

Merdeka Othman harap generasi muda hargai nikmat kebebasan

Posted: 31 Aug 2012 02:04 AM PDT

Anak-anak muda bersemangat menyanyikan lagu patriotik semasa sambutan sempena Hari Kebangsaan ke-55 di Dataran Merdeka pagi tadi. — Gambar Reuters

KANGAR, 31 Ogos — Dilahirkan 15 minit selepas bendera Union Jack diturunkan 55 tahun lalu tidak 'membutakan' mata Merdeka Othman terhadap kesengsaraan yang dilalui generasi yang hidup pada zaman penjajahan.

Sebaliknya kata lelaki itu, beliau diingatkan mengenai perkara tersebut setiap kali namanya dipanggil.

Justeru, saya berharap generasi muda sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan dan tidak mengambil risiko sehingga mengundang semula penjajah ke negara ini, katanya ketika ditemui bernama, di Beseri dekat sini hari ini.

Merdeka yang berbangga meraikan ulang tahun kelahirannya bersama sambutan Hari Kemerdekaan negara, berkata nama beliau itu menyebabkannya diejek ketika zaman kanak-kanak.

Memang masa kanak-kanak dahulu cukup janggal kerana diejek, namun kini saya berbangga, katanya yang sering diundang ke majlis sambutan hari kemerdekaan baik peringkat negeri mahupun kebangsaaan setiap kali tiba tanggal 31 Ogos.

Merdeka yang bertugas sebagai pembantu perawat pergigian di Klinik Kesihatan Beseri berkata jika negara tidak aman, beliau sudah pasti tidak berpeluang untuk menghadiri majlis yang berkaitan dengan kemerdekaan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap rakyat Malaysia menanam semangat jati diri terhadap negara dan berjihad ke arah memastikan negara terus merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan yang merugikan.

Merdeka berkata pemimpin terdahulu telah meletakkan asas perpaduan yang kukuh untuk membawa negara mencapai kemerdekaan dan asas itu tidak boleh dirobekkan dengan mainan politik sempit.

"Saya bersyukur dengan kemakmuran dan keamanan negara sebagaimana saya bersyukur memiliki nama Merdeka," katanya.

Katanya, beliau sentiasa berdoa kemamuran dan keamanan terus berkekalan dan rakyat tidak terhimpit dengan perbuatan yang boleh merosakkan negara. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved