Sabtu, 1 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Adnan: Isu bahan kimia di lombong emas hanya propaganda pembangkang

Posted: 01 Sep 2012 02:24 AM PDT

ALOR SETAR, 1 Sept — Mentri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan isu penggunaan bahan kimia sianida di lombong emas di Bukit Koman, Raub, Pahang, yang didakwa sebagai punca penyakit kulit kepada penduduk hanya merupakan propaganda pembangkang.

Beliau berkata perkara itu mempunyai kaitan dengan pihak tertentu yang gagal mendapatkan projek tersebut dan parti pembangkang, iaitu DAP, turut mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.

Namun, katanya Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw (yang juga seorang doktor penyakit kulit) turut mengakui bahawa tidak terdapat bukti kukuh penduduk Bukit Koman dijangkiti penyakit kulit akibat pencemaran bahan kimia tersebut.

"Ini satu propaganda yang direka oleh parti DAP sahaja. Kementerian Kesihatan Malaysia yang melakukan kajian di Bukit Koman telah mengesahkan tiada sebarang punca penyakit kulit ditemui.

"Kerajaan negeri menjalankan kajian mengenai perakara tersebut dari semasa ke semasa bagi memantau tahap kesihatan di kawasan perlombongan emas itu," katanya, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena dekat sini hari ini.

Naib Pengerusi Kumpulan Anti-Sianida (ACG) Sherly Hue sebelum ini turut mengakui gagal mengemukakan bukti bahawa sianida di lombong emas itu punca penyakit di kalangan penduduk.

Sementara itu, Adnan secara sinis berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan Himpunan Hijau di Bukit Koman.

Laporan sebelum ini menyebut pembangkang bercadang mengadakan perhimpunan bagi menghalang pihak pelombong dari terus beroperasi selepas kononnya aktiviti pelombongan itu menyebabkan penduduk terdedah kepada penyakit kulit.

"Demonstrasi itu dapat membantu kerajaan negeri dalam pelancongan dan idea saya mengenai galakan 'demotourism' berjaya," katanya.

Mengenai politik, Adnan menyaran Umno Kedah khususnya di kawasan Parlimen Pokok Sena agar menumpukan kepada soal kebajikan rakyat.

Katanya jika soal kebajikan rakyat diambil berat oleh Umno, sudah pasti kerajaan negeri (Kedah) yang dikuasai pembangkang dapat kembali kepada Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.  — Bernama

NGO: Golongan Sindrom Down perlukan sekolah khas

Posted: 01 Sep 2012 02:01 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Sept — Sebuah sekolah khusus untuk kanak-kanak Sindrom Down perlu ditubuhkan bagi membantu perkembangan golongan istimewa itu sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti orang lain.

Ketika membuat cadangan itu, Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) Wan Hanizan Wan Ramlan berkata penubuhan sekolah berkenaan perlu disegerakan sama ada oleh pihak kerajaan atau swasta.

Beliau berkata kanak-kanak Sindom Down memerlukan pendekatan tersendiri daripada segi rohani, jasmani, pendidikan serta penjagaan kesihatan.

Wan Hanizan menarik perhatian bahawa pusat-pusat jagaan khas yang diwujudkan pertubuhan bukan kerajaan sekarang menempatkan golongan istimewa seperti mereka yang buta dan pekak serta penghidap Sindrom Down dan Autisme di bawah satu bumbung, dan ini, menurutnya, adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Respons setiap Orang Kurang Upaya (OKU) kepada satu-satu perkara berbeza. Sebab itu mereka (goongan Sindrom Down) perlu ada sekolah sendiri supaya mudah untuk pantau dan tahu kesannya kepada perkembangan mereka," katanya lagi.

Selain itu, Wan Hanizan mencadangkan supaya syarikat-syarikat konsesi tol membuka peluang kepada golongan OKU, termasuk penghidap Sindrom Down, untuk berkerja sebagai juruwang di plaza tol.

"Bagi tiket satu kerja mudah dan patut bagi peluang itu kepada orang Sindrom Down yang 'high function', selain daripada orang sihat dan sempurna kerana kalau tidak sampai bila-bila pun mereka tak boleh kerja," katanya.

Bagaimanapun, Wan Hanizan berkata keluarga terutama ibu bapa perlu terlebih dahulu membuang perasaan takut atau bimbang untuk melepaskan anak-anak istimewa mereka bekerja.

Menurutnya, dianggarkan terdapat 50,000 individu Sindrom Down di seluruh negara ketika ini dengan satu kes Sindrom Down bagi setiap 800 kelahiran. —Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved