Ahad, 16 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


DAP turut kecam filem hina Nabi Muhammad

Posted: 16 Sep 2012 12:07 AM PDT

Lim berkata demokrasi bukanlah lesen untuk mencetuskan persengkatan keagamaan. — Gambar file

KUALAL LUMPUR, 16 Sept — DAP hari ini turut mengecam penerbitan filem anti Islam dan menghina Nabi Muhammad "The Innocence of Muslims", dan mengingatkan bahawa demokrasi bukanlah "lesen untuk mencetuskan persengkatan keagamaan".

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini menegaskan pihaknya turut mengutuk keganasan yang telah berlaku ke atas empat rakyat Amerika termasuk dutanya di Libya, Christopher Stevens, yang terbunuh dalam insiden rusuhan dipercayai mempunyai kaitan dengan filem tersebut.

"DAP mengecam sekeras-kerasnya filem anti-Islam terbaru yang dikatakan menghina agama Islam dan juga Nabi Muhammad. Filem ini yang bukan sahaja kurang sensitif tetapi jelas bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen keagamaan.

"Ia juga harus ditarik balik daripada mana-mana laman web termasuk Youtube dengan serta merta," tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Beliau turut menambah, DAP menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan berkreativiti, namun setiap karya yang dihasilkan perlulah mempunyai tanggungjawab moral ke atas budaya dan kepercayaan mana-mana agama mahupun bangsa.

"Kebebasan berkarya tidak wajar disalahgunakan seperti yang telah berlaku dalam filem ini.

"Isu seperti ini harus menjadi teladan kepada kita bahawa demokrasi dan kebebasan bukanlah lesen untuk kita menggunakan atau memperalatkan bangsa, agama, budaya atau kepercayaan untuk mencetuskan sengketa atau permusuhan," tambah Ahli Parlimen Bagan ini lagi.

Video kontroversi 14 minit yang didakwa menghina Nabi Muhammad sebagai kaki perempuan, dipercayai dibuat oleh Coptic Christian Mesir dan telah menimbulkan protes seluruh dunia dipercayai telah dimuat naik ke Youtube pada Julai lalu.

Ekoran itu, masyarakat Islam seluruh dunia telah mengadakan demonstrasi dan tunjuk perasaan bagi membantah penerbitan video berkenaan yang menghina Nabi Muhammad kerana memaparkan watak baginda sebagai kaki perempuan.

Klip video berkenaan telah pun dikeluarkan dari laman Youtube di beberapa negara termasuk Indonesia dan India kerana dua negara itu mempunyai undang-undang berkenaan perkara tersebut.

Malah, enjin carian video terbesar itu turut menghalang pengguna di Libya dan Mesir daripada mengakses video berkenaan atas alasan "situasi yang sangat sensitif".

Kerajaan juga telah menggesa Google Malaysia untuk mengeluarkan video tersebut dari laman enjin carian mereka berikutan kemarahan komuniti Muslim di negara ini yang mewakili 60 peratus daripada 28 juta populasi rakyat Malaysia.

Google Malaysia mengesahkan telah menerima permintaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dipetik akhbar The Sunday Star hari ini yang melaporkan "Google patuh kepada undang-undang di setiap Negara".

"Jadi, (kami) akan bertindak berdasarkan rungutan rasmi daripada pihak berkuasa," kata Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia Zeffri Yusof dan menambah, rungutan tersebut perlu dibuat dengan "menyatakan undang-undang yang dilanggar".

Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim dipetik Bernama sebelum ini berkata adalah menjadi tanggungjawab Youtube untuk membuang video filem itu.

Beliau turut berkata, "membuang video klip berkenaan bukanlah di bawah bidang teknikal kami," namun menambah SKMM "terikat dengan langkah pencegahan untuk mengambil tindakan menghalang akses kepada video tersebut".

Lim turut mengingatkan masyarakat Islam di Malaysia agar bantahan yang dibuat dikemukakan dengan cara yang paling baik demi mengelak kejadian-kejadian yang lebih buruk daripada berlaku.

"Kita yakin bahawa masyarakat Islam di Malaysia sudah cukup matang dan bijak dalam berhadapan dengan tragedi seperti ini," katanya lagi.

Shahrir: Iskandar Malaysia untuk masa depan golongan muda

Posted: 15 Sep 2012 11:58 PM PDT

JOHOR BARU, 16 Sept — Iskandar Malaysia, sebuah projek pembangunan ekonomi yang dipromosikan oleh Khazanah Nasional Berhad, akan memberi masa depan yang lebih gemilang untuk golongan muda Johor, kata Ahli Parlimen Johor Baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata Iskandar Malaysia "bukan mengenai hartanah atau harga harta yang tinggi. Ia adalah tentang mencipta masa depan untuk golongan muda".

"Projek yang telah dilaksanakan di Iskandar Malaysia akan membolehkan 'generasi baharu' membina kerjaya dan kejayaan profesional di negeri mereka sendiri.

"Jika aktiviti perniagaan dan pembangunan hanya tertumpu di Kuala Lumpur dengan sasaran untuk membina sebuah metropolis di Lembah Kelang, belia akan terus meninggalkan kampung halaman mereka di pelbagai tempat di Malaysia untuk mencari peluang di ibu negara.

"Tanpa pembangunan koridor ekonomi, banyak bandar akan kehilangan kepentingan mereka kerana Kuala Lumpur akan menyerap semua bakat, sumber dan minat dari lain-lain negeri," katanya pada satu wawancara sempena Hari Malaysia.

Shahrir berkata rakyat Johor telah mula teruja dengan beberapa projek Iskandar Malaysia seperti yang dilihat pada pembangunan Legoland Malaysia, Cruyff Court Iskandar dan Johor Premium Outlet.

"Dalam jangka masa yang pendek selama 6 tahun, Iskandar Malaysia telah mengubah JB dan sekelilingnya dengan potensi yang boleh ditawarkan kepada golongan muda menerusi Legoland Malaysia, Pinewood Iskandar Malaysia Studios, kampus perubatan Newcastle University, kampus University of Southampton serta hospital-hospital.

"Saya gembira untuk melihat lebih banyak interaksi antara Johor dan kerajaan persekutuan, dan sektor swasata.

"Dengan Khazanah sebagai penggerak utama Iskandar Malaysia, interaksi seperti ini akan mengumpulkan idea dan budaya yang akan memastikan pembangunan berterusan wilayah ini," kata Shahrir.

Menurut Shahrir, kanak-kanak dan pelajar perlu didedahkan kepada kejayaan Iskandar Malaysia untuk lebih mengenali pelbagai mercu tanda di Iskandar, sambil berkata "Iskandar Malaysia bukan hanya satu destinasi pelancong asing".

"Kita tidak membina hartanah di Iskandar Malaysia untuk rakyat Singapura dan tarikannya adalah untuk rakyat Malaysia. Kami membina semua ini untuk rakyat," terangnya.

Dilancarkan pada November 2006 dengan keluasan 2,217km, Iskandar Malaysia dikenalpasti sebagai salah satu pemangkin dan pembangunan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan ke-10.

Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun persekutuan yang diberi kepercayaan untuk mengawal atur dan menjana pembangunan di wilayah itu.

Shahrir berkata terdapat potensi yang besar untuk Iskandar Malaysia mentransformasi sosio-ekonomi Johor, sambil berkata Iskandar Malaysia dilengkapi dengan prasana yang lengkap dan dikelilingi oleh tiga pelabuhan utama dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Senai.

Beliau berkata idea untuk sebuah koridor ekonomi bukan sesuatu yang baru kerana ia diilhamkan oleh Tun Abdul Razak Hussein ketika beliau menjadi perdana menteri dan dilancarkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada akhir 2000.

Sejajar dengan pendekatan pembangunan seimbang, sebuah koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia akan menghasilkan limpahan ekonomi yang positif.

Iskandar Malaysia menerima komitmen pelaburan daripada pelabur domestik dan asing berjumlah RM95.45 bilion daripada 2006 hingga Jun 2012, yang mana 43 peratus telah dilaksanakan.

Ia menyasarkan untuk mencecah sasaran komitmen pelaburan RM100 bilion menjelang akhir tahun.

Berikutan oleh daya saingnya yang tinggi, Iskandar Malaysia telah menduduki tempat keempat terbaik Zon Bebas Global Masa Depan 2012/2013 oleh fDi Magazine terbitan Financial Times Ltd. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved