Selasa, 18 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tabung Keselamatan 1Wilayah bukti BN gagal cegah jenayah, kata PKR

Posted: 18 Sep 2012 01:21 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Sept — PKR melihat tindakan kementerian Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar (KWPKB) mewujudkan Tabung Keselamatan 1Wilayah adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan tanggungjawab mereka menyelesaikan isu keselamatan dan mencegah kegiatan jenayah.

Naib Presiden parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, Nurul Izzah Anwar (gambar) menegaskan, langkah itu tidak akan berjaya menyelesaikan isu peningkatan kadar jenayah kerana ia bersifat sementara sedangkan warga kota memerlukan perubahan dasar dan pendekatan tersusun bagi tujuan tersebut.

"Langkah ini hanyalah satu usaha bersifat sementara yang tidak benar-benar menyelesaikan peningkatan kadar jenayah yang dihadapi warga Kuala Lumpur yang memerlukan perubahan dasar dan pendekatan mengatasi kadar jenayah yang lebih tersusun," kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini turut menegaskan, dana itu berpunca daripada "kegagalan kerajaan BN dalam menugaskan semula anggota-anggota PDRM, menempatkan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields jauh dari penduduk, dan menangani masalah jenayah secara dasar, sistemik, dan menyeluruh kerana semua sedar bahawa jenayah berkait dengan keadaan ekonomi yang lemah."

Nurul juga mendesak KPWKB untuk mendedahkan sebarang perjanjian yang dibuat di antara pihak kementerian dan semua pihak yang memberi sumbangan kepada tabung ini.

"Tugas dan tanggungjawab keselamatan yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan persekutuan sebagai satu khidmat awam asas telah pun diswastakan di dalam bentuk 'perkhidmatan kubu keselamatan' (neighborhood security fortress).

"Di kawasan perumahan oleh syarikat-syarikat keselamatan swasta - di mana kos bayaran perkhidmatan yang ditanggung merupakan satu bentuk 'subsidi' yang bukan sahaja patut dikembalikan kepada penduduk di dalam bentuk rebat cukai (tax rebate) tetapi ia juga berbentuk diskriminasi kerana hanya kawasan penduduk mewah sahaja akan memperolehi perkhidmatan keselamatan swasta yang lebih daripada majoriti penduduk kurang mampu," tegasnya.

Jumaat lalu, menteri Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan kementariannya akan menubuhkan Tabung Keselamatan 1Wilayah Persekutuan untuk membantu penduduk menyedia, mempertingkat dan membaik pulih kemudahan keselamatan di kawasan perumahan.

Menteri berkenaan berkata ia merupakan usaha kerajaan untuk mengatasi masalah jenayah seperti rompak, samun dan pecah rumah.

Raja Nong Chik berkata, dana awal untuk tabung itu ialah sebanyak RM1 juta, namun kementeriannya mensasarkan ia akan meningkat sehingga RM4 juta hasil sumbangan pihak korporat dan swasta.

"Sumber dana untuk tabung itu tidak akan melibatkan kerajaan sebaliknya akan diperoleh melalui sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat pemaju hartanah dan perumahan serta syarikat swasta," katanya.

Justeru, Nurul menggesa kamera litar tertutup (CCTV) segera dipasang dengan dana khas ini mengikut piawaian liputan pantauan (security monitoring coverage) yang mesti ditetapkan dan dimaklumkan kepada umum.

"Kaedah kepolisian yang dibantu peralatan seperti kamera CCTV memerlukan sistem yang lebih mantap dan teratur melebihi apa yang mungkin dapat dipasang.

"Dan sepatutnya sistem kamera CCTV termasuk pemasangan lampu di kawasan gelap wajib disegerakan dan bukan menunggu pengumuman dan pelancaran yang nampak seperti satu kempen publisiti ketika harta dan keselamatan rakyat makin tergugat," tegasnya lagi.

Nurul juga menggesa kerajaan dan pihak yang betanggungjawab memberitahu apa perancangan "segera" dan "berkesan" untuk mengatasi kadar jenayah yang bertambah buruk.

"Sudah tiba masanya pemusatan kuasa dihentikan termasuk perkhidmatan polis serta pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan kepada rakyat setempat.

"Ia adalah kebertanggungjawaban dan ketelusan perkhidmatan awam yang menjadi asas demokrasi dapat menjaminkan aspirasi rakyat ditunaikan dan bukan dipolitikkan melalui perangkaan jenayah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang tidak tepat  mahupun usaha 'penswastaan keselamatan' dengan pengumuman dana khas," tegasnya lagi.

Lebih 100,000 pelajar lafaz ikrar serentak memelihara alam sekitar

Posted: 18 Sep 2012 12:51 AM PDT

PUTRAJAYA, 18 Sept — Lebih 100,000 pelajar dari 157 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di seluruh negara melafaz ikrar secara serentak pada kira-kira pukul 8 pagi ini untuk lebih bertanggungjawab dalam memelihara kemampanan petempatan manusia dan alam sekitar.

Program itu adalah kesinambungan Program Habitat Moment yang diperkenalkan sejak 2009 dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dengan penglibatan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang terpilih.

Selain pembacaan ikrar, Program Bank Kitar Semula juga dilaksanakan secara serentak di 46 buah sekolah terpilih di Semanjung Malaysia (kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang) bermula 8 pagi hingga 4 petang hari ini untuk menerapkan amalan kitar semula khususnya daripada kalangan pelajar supaya sentiasa mengamalkan budaya kitar semula dalam kehidupan harian.

Kedua-dua program sempena sambutan Hari Habitat Sedunia yang bakal disambut pada 1 Okt ini akan diiktiraf sebagai "Penyertaan Terbesar Pelajar-pelajar Sekolah Yang Melafazkan Ikrar 'Aku Janji' Secara Serentak" dan "Pengumpulan Barangan Kitar Semula di 45 Buah Sekolah Secara Serentak" dalam Malaysia Book of Records.

Dalam perutusannya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Malaysia adalah antara negara yang paling banyak menghasilkan sisa buangan iaitu kira-kira 17,000 tan metrik setiap hari atau lima juta tan metrik setiap tahun.

Beliau berkata kadar amalan kitar semula di negara ini amat rendah berbanding dengan banyak negara iaitu pada aras 5 peratus setahun sahaja.

"Dijangka menjelang tahun 2020, penduduk negara akan menghasilkan sehingga 30,000 tan metrik sehari... jumlah sisa pepejal yang dijana ini akan memenuhi kawasan seluas kira-kira tiga padang bola sepak.

"Dengan kata lain, sisa-sisa pepejal yang dihasilkan ini sekiranya tidak dihantar ke tapak pelupusan, sisa pepejal selama tiga hari, ia akan memenuhkan keseluruhan bangunan KLCC."

Teks perutusan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) kementerian Yong Bun Fou.

Chor berkata amalan kitar semula perlu dipertingkatkan di peringkat nasional, kawasan, komuniti serta individu dan kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama yang erat di kalangan semua pihak.

Sehubungan itu, beliau menyaran semua rakyat Malaysia mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dijana agar kos mengendalikan sisa-sisa ini dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.

Beliau berkata hasil kajian oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) menunjukkan Program Bank Kitar Semula di Sekolah pada tahun lepas adalah program yang mencatatkan jumlah keseluruhan kutipan kitar semula tertinggi iaitu sebanyak 98,054kg dengan hasil jualan sebanyak RM32,105. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved