Isnin, 24 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Saya tidak menentukan harga tanah PKFZ, kata Ling kepada mahkamah

Posted: 24 Sep 2012 02:22 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Tun Dr Ling Liong Sik (gambar) hari ini memberitahu mahkamah tinggi bahawa dia hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan tanah Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) daripada membincangkan harga.

Dr Ling, yang merupakan bekas presiden MCA dituduh menipu kabinet dengan membenarkan pembelian tanah 999.5 ekar tanah untuk projek PKFZ.

Dia juga menghadapi dua tuduhan tambahan menipu kabinet membeli tanah dengan harga RM25 per kaki persegi dengan 7.5 peratus kadar faedah - yang dikatakan dipersetujui oleh jabatan penilaian dan perkhidmatan harta (JPPH) walaupun tidak ada sebarang perjanjian.

"Kenapa kamu bertanya semua soalan ini? Persoalan menentukan harga ini bukan sepatutnya dijawab oleh saya," kata Dr Ling kepada pendakwa Datuk Tun Majid Tun Hamzah dalam sesi soal jawab hari ini.

Kemudian beliau menjawab, "saya kata saya tidak tahu. Saya hanya berminat untuk mendapatkan tanah tersebut."

Kemudian menjawab kepada soalan tambahan tentang nilai harga tanah tersebut, beliau menjawab, "Jawapan saya, ini bukan tugas saya. Tugas saya ialah mendapatkan tanah tersebut secepat mungkin."

Beliau berulang kali menyebut, "Arahan ialah mengikut penilaian JPPH."

Dia kemudian berkata JPPH  "tak mungkin salah. Selagi kita mengikut penilaian mereka, kita tidak lakukan sebarang kesalahan."

Dr Ling kemudian mempertahankan diri dalam perbicaraan hari ini, dengan hakim bertanya tentang soalan Tun Majid.

"Kerana dia bertanya soalan yang tidak munasabah," kata Dr Ling.

"Jangan cuba mengelak," kata Tun Majid.

"Siapa yang mengelak?" kata Dr Ling

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi kemudian bertanya kepada peguam Dr Ling, Wong Kian Kheong untuk menasihati kliennya untuk menjawab soalan mengikut kemampuan dan tidak bergaduh dengan Tun Majid.

Dr Ling akan menghadapi penjara tujuh tahun, atau denda, atau keduanya sekiranya didapati bersalah seksyen 418 kanun keseksaan.

Dakwaan tambahan boleh membawa hukuman lima tahun, denda atau keduanya sekali.

Perbicaraan akan bersambung esok.

Enam calon Pro M dari UKM terima ugutan bunuh, culik

Posted: 24 Sep 2012 01:38 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini mendakwa enam daripada 28 calon yang bertanding merebut kerusi pilihan raya kampus universiti berkenaan yang dijadulakan esok menerima ugutan culik dan bunuh.

Dalam sidang media hari ini, jurucakap Gabungan Mahasiswa UKM,  Ahmad Afif Zulkipli berkata, bermula awal pagi tadi, enam calon dari Pro M universiti berkenaan telah menerima ugutan supaya tidak meneruskan niat bertanding,atau akan diculik dan dibunuh.

"Ugutan dibuat kepada keluarga calon. Sekarang Pro M telah menang di tujuh kerusi tanpa bertanding, dan kami hanya memerlukan lapan kerusi untuk menjadi majoriti.

"Sekarang enam daripada calon kami diugut bunuh dan culik. Setiap sejam akan ada calon yang menerima ugutan bermula pagi tadi," katanya yang juga daripada Pro M.

Esok merupakan hari pengundian bagi pilihan raya kampus di institusi pengajian tinggi di negara ini.

"Mereka menerima ugutan akan dibunuh sekiranya meneruskan bertanding dalam pilihan raya kampus," kata Ahmad Afif.

Menurutnya lagi, kempen di kampus berkenaan turut dicemari insiden berbaur perkauman apabila kain rentang calon berbangsa Melayu dan Cina turut dilempar cat merah.

"Ia seperti kempen politik di luar, seperti bas Jelajah Merdeka Rakyat yang turut disimbah cat merah.

"Pengalaman kami sebelum ini menunjukkan kali ini tentangan yang diberikan amat sengit, lebih dahsyat," katanya lagi dan menambah, insiden sedemikian tidak akan berlaku kecuali atas campurtangan parti pemerintah dan pentadbiran universiti."

Beliau turut menuntut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Osman A Karim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar UKM,  untuk membuat penafian terlibat dan bersekongkol dengan insiden terbabit.

"Kita tak mahu ada sebarang campurtangan politik jijik dan kotor," tegasnya.

Sehubungan itu, mahasiswa berkenaan telah membuat dua laporan polis di Felda Sungai Tiang di Kedah berhubung ancaman bunuh dan culik berkenaan.

Proses membuang undi yang akan berlangsung esok turut menyaksikan terdapatnya insiden tidak diingini seperti tahun lalu apabila salah satu calon yang bertanding di Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar, calon Pro M yang didakwa telah diculik.

Masturah bagaimanapun telah ditemui di Bangi oleh saudara-maranya yang menjalankan gerakan mencari.

Pelajar itu dikatakan hilang selepas berkempen di Blok E, Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Malah pihak polis turut tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan hanya mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang dan bukannya diculik.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved