Khamis, 27 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


George Kent layak dianugerahi kontrak LRT, kata Najib

Posted: 27 Sep 2012 12:28 AM PDT

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa syarikat George Kent layak diberi kontrak penyambungan LRT. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata syarikat George Kent-Lion Pacific JV (GKLP JV) – pembida harga kedua terendah – layak diberikan kontrak penyambungan laluan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Ampang atas faktor memenuhi syarat teknikal, kewangan, perundangan, termasuk syarat kontrak.

Najib juga dalam jawapan bertulis ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini menjelaskan pembida dengan harga paling rendah daripada lapan pembida lain tidak dipertimbangkann kerana tidak mematuhi syarat-syarat kontrak yang ditetapkan.

"GKLP JV merupakan gabungan syarikat tempatan yang berkeupayaan daripada segi kewangan dan telah tersenarai di Bursa Malaysia.

"Pembida yang ditawarkan harga terendah berbanding GKLP JV tidak dipertimbangkan kerana didapati tidak mematuhi syarat - syarat kontrak yang ditetapkan," kata Najib menjawab soalan yang dibangkitkan ahli Parlimen Batu, Tony Pua yang menuntut Putrajaya mengemukakan sebab kontrak berkenaan diserahkan kepada George Kent.

Malah, Najib juga menolak dakwaan pembangkang yang mengatakan George Kent tidak berpengalaman dalam bidang rel, sebaliknya ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan Geroge Kent mempunyai pengalaman luas dalam bidang sub-sistem rel termasuk kerja sistem SCADA, pemasangan landasan termasuk landasan konduktor kuasa, sistem komunikasi, dan pelindung kilat.

"Manakala sistem seperti semboyan akan diuruskan oleh syarikat Thales, yang merupakan rakan pelaksana teknikal yang berkredibiliti tinggi.

"Di samping itu, unsur-unsur yang boleh membawa kepada pengoptimaan kos operasi melalui kesinambungan sistem sedia ada juga diambil kira," kata Najib, dan menambah aspek pembangunan vektor turut diambil kira serta peluang syarikat tempatan untuk menguasai bidang pengetahuan berteknologi tinggi melalui penglibatan dalam projek sedemikian.

Mengulas berkenaan spekulasi ketika proses penilaian dijalankan, Najib menjelaskan pembida yang tidak berjaya, termasuk pembida antarabangsa turut akur dengan keputusan tersebut.

"Sehingga kini tiada pembida yang tidak berpuas hati terhadap penganugerahan tender tersebut yang bernilai RM1.084 bilion," kata Najib lagi.

PKR sebelum ini melalui Pengarah Strategiknya Rafizi Ramli telah mendedahkan satu dokumen yang didakwanya membuktikan bahawa jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Najib telah menganugerahkan projek sambungan LRT Ampang bernilai RM1.18 bilion kepada konsortium yang diketuai oleh George Kent Bhd.

Dokumen itu adalah minit mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 21 Jun, yang dipengerusikan Najib.

Rafizi juga mempersoalkan pemilihan George Kent kerana syarikat itu jelasnya hanya mempunyai kepakaran dalam mengilang meter air.

Malah beliau juga turut merasa "pelik" kerana George Kent dianggap sebagai "pembida lebih tinggi tidak berpengalaman" dalam tender tersebut.

Rafizi juga sebelum ini berkata syarikat itu sebelum ini ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan minimum teknikal bagi kerja tersebut.

Malaysia bakal catat lebih banyak terbitan instrumen Renminbi dalam pasaran bon dan sukuk

Posted: 27 Sep 2012 12:25 AM PDT

Malaysia bakal catat lebih banyak terbitan instrumen Renminbi dalam pasaran bon dan sukuk

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata bahawa Malaysia akan mencatatkan lebih banyak terbitan instrumen dalam pasaran bon dan sukuk. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Lebih banyak terbitan instrumen dalam pasaran bon dan sukuk di Malaysia dijangkakan pada masa akan datang, memandangkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat tentang potensinya, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, di sini hari ini.

"Ya, memang ada banyak lagi dalam perancangan. Sekarang sudah ada kesedaran yang lebih tinggi tentang potensi mengumpul dana dalam nilai renminbi, terutamanya bagi pelaburan di China, kerana kegiatan pelaburan rentas sempadan dua hala berlaku di antara China dan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bertajuk "Pelunasan Perdagangan dan Pelaburan Renminbi di Malaysia serta Prospek Masa Depan", di sini hari ini. 

Ditanya sama ada terbitan-terbitan itu akan dilaksanakan tahun ini, beliau berkata ia bergantung kepada kelulusan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. 

"Tetapi, bagi syarikat-syarikat yang ingin mengumpul dana, mereka akan mengkaji perkembangan pasaran dari segi kesesuaian masa," katanya. 

Setakat ini, sudah ada dua terbitan sukuk luar pesisir dalam renminbi di luar Malaysia dan satu terbitan bon dalam renminbi oleh syarikat Malaysia. 

Mengenai penggunaan yuan sebagai pelunasan perdagangan, Zeti berkata pengimport dan pengeksport Malaysia perlu mempunyai kesedaran yang lebih tinggi tentang kemudahan yang ada untuk menjalankan transaksi perdagangan dan pelaburan mereka dalam renminbi.

"Ini adalah sesuatu yang telah diperkenal dalam sistem kewangan kita sejak 2009 dan dilaksanakan beransur-ansur dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, kita menyaksikan pertumbuhan ketara," katanya. 

Zeti berkata pada masa ini, jumlah RMB180 bilion di bawah perjanjian Persetujuan Swap Mata Wang (CSA), mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran kewangan domestik dan bank pusat itu akan mengkajinya dari semasa ke semasa. 

Pada awal 2009, Bank Negara Malaysia menandatangani perjanjian CSA dengan Bank Rakyat China, yang diperbaharu dalam tahun ini, dan jumlahnya dipinda daripada RMB80 bilion pada mulanya.

Mengenai satu perkara lain, Zeti berkata bank pusat itu berkemampuan untuk memantau semua aliran keluar masuk kewangan negara ini. 

"Seperti yang kita sedia maklum, selepas krisis kewangan, kita meningkatkan keupayaan pengawasan kita," katanya.

Zeti berkata demikian bagi menjawab soalan tentang sama ada Bank Negara mempunyai kemampuan untuk memantau pengaliran masuk dana, termasuk dana asing ke dalam organisasi tempatan. — Bernama 

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved