Selasa, 4 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Sikap hormat perlu ditanam dalam diri mahasiswa supaya tidak biadap, kata Arshad Ayub

Posted: 04 Sep 2012 02:31 AM PDT

Sikap hormat perlu ditanam dalam diri mahasiswa supaya tidak biadap, kata Arshad Ayub

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Sikap hormat menghormati perlu ditanam dalam diri setiap mahasiswa supaya mereka tidak bertindak biadap, kata tokoh pendidikan Tan Sri Arshad Ayub.

Arshad, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), berkata hormat ialah satu perkara penting yang perlu dihayati setiap mahasiswa baharu supaya UM dapat melahirkan mahasiswa berkualiti.

"Perkara paling penting dalam hidup ialah menghormati, kehormatan (dan) jangan biadap," katanya pada perasmian Minggu Haluan Siswa dan Lafaz Ikrar Aku Janji Penuntut Baru UM di sini hari ini.

"Jangan sekali-kali, sebab itu (biadap) tiada dalam ajaran agama dan bangsa kita.

"Kita mesti hormat bendera kita, pemimpin kita, anda boleh berbeza pendapat dengan mereka tetapi anda mesti ingat hormat menghormati adalah perkara paling penting dalam kehidupan."

Hadir sama Naib Canselor UM Tan Sri Dr Ghauth Jasmon yang turut menyaksikan bacaan lafaz ikrar aku janji lebih 3,330 penuntut baru UM diketuai penuntut Tahun Pertama Fakulti Sastera dan Sains Sosial Mohamad Zulkarnain Kamisan, 20, di Dewan Tunku Canselor, universiti itu.

Arshad, yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata di samping pengajian di bilik kuliah, UM turut memberi ruang penuntutnya melibatkan diri dalam kokurikulum seperti bersukan, debat dan berpolitik, bagaimanapun ia perlu mengikut peraturan yang digariskan.

"Selagi masih ada undang-undang dan peraturan, kita mesti mematuhinya. Jika anda melanggar undang-undang dan peraturan, anda mesti menerima hukumannya," katanya. "Kembang jarak kembang jagung, kalau berani berarak berani tanggung, jangan kita lupa itu."

Arshad turut mengingatkan mahasiswa kini supaya menghayati nilai teras UM iaitu integriti, hormat, kebebasan akademik, berfikiran terbuka, kebertangunggjawaban, profesionalisme, meritokrasi, semangat kerja berpasukan, kreativiti dan tangunggjawab sosial.

Pada sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini 30 Ogos lepas, beberapa individu yang dipercayai perserta Himpunan Janji Bersih bertindak memijak dan menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara serta membawa bendera "Sang Saka Malaya" dan bukan bendera Jalur Gemilang.

Hari ini seorang pelajar lelaki sebuah kolej swasta di Cheras di sini ditahan untuk siasatan berhubung insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara pada perhimpunan itu. — Bernama

Guan Eng mahu pengerusi BN Pulau Pinang jelaskan isu dua pemimpin Umno untung RM5 juta jual tanah Melayu

Posted: 04 Sep 2012 01:49 AM PDT

Guan Eng mahu pengerusi BN Pulau Pinang jelaskan isu dua pemimpin Umno untung RM5 juta jual tanah Melayu

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Ketua menteri (KM) Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mahu pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chan Yeow, menjelaskan isu dua orang pemimpin Umno Pulau Pinang yang sering mendakwa sebagai pembela kaum Melayu memilih untuk mengaut keuntungan sebanyak RM5 juta dalam jangka masa tiga setengah bulan sebagai broker tanah tetapi enggan berkongsi keuntungan tersebut dengan 31 pemilik tanah Melayu.

Lim Guan Eng

Menurut Lim, Teng memilih untuk mempertahankan kedua-dua timbalan pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar, kerana mengaut keuntungan RM5 juta daripada jualan tanah yang dimiliki 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, sebagai satu urusan perniagaan.

Teng Chan Yeow

"Teng jelas lupa bahawa sebagai pemimpin politik, kepentingan awam menuntut bahawa urusan perniagaan kedua-dua pemimpin UMNO ini harus selari dengan jawatan politik yang disandangi," kata Lim dalam kenyataan media yang dihantar kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Adakah ini cara pemimpin-pemimpin UMNO melindungi hak pemilik tanah Melayu dengan membeli tanah mereka pada harga yang murah kemudian menjualnya pada harga yang tinggi, dan menelan 100 peratus keuntungan yang didapati?" tanya Lim.

"Saya kesal bahawa Musa bukan sekadar enggan menerangkan mengapa beliau tidak mahu berkongsi keuntungan RM5 juta tersebut dengan 31 orang pemilik tanah Melayu, tetapi apabila disoal beliau berlaku emosi dan bersikap tidak rasional serta menyerang saya sebagai rasis kerana menimbulkan isu kepentingan awam ini."

Menurut setiausaha agung DAP itu, keengganan Teng untuk memberi penjelasan adalah serupa dengan taktik menabur fitnah demi fitnah tanpa bukti terhadap pemimpin-pemimpin PR.

"Bermula dengan pemalsuan foto Google dalam kes projek-projek bukit untuk mengutuk kerajaan negeri PR, Teng masih lagi belum menunjukkan bukti bahawa saya, empat ahli Exco iaitu Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh, Wong Hon Wai dan Danny Law serta ADUN Komtar Ng Wei Aik mempunyai kepentingan peribadi dalam projek hospital swasta Taman Manggis," kata Lim.

"Kini Teng cuba untuk menjelaskan kegagalan BN untuk menunaikan janji untuk membeli tanah 1.1 ekar di Taman Manggis pada harga RM450 sekaki persegi untuk tujuan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri belum lagi memberi surat rasmi kepada BN. Ini merupakan satu syarat baru yang tidak pernah disebut oleh BN.

"Untuk memastikan Teng tidak dapat mengelak dengan membuat janji-janji dan dakwaan yang tidak berasas, saya telah mengarahkan setiausaha politik saya Ng Wei Aik untuk menulis surat rasmi yang akan dihantar kepada pejabat Teng supaya BN boleh membeli tanah itu pada harga RM450 sekaki persegi untuk tujuan PPR.

"Keuntungan daripada penjualan tanah itu kepada BN akan digunakan untuk pembinaan perumahan mampu milik oleh kerajaan negeri di kawasan Pulau, terutamanya di Jalan SP Chelliah," kata Lim.

Beliau kemudian mempersoalkan apakah BN akan membayar lebih RM22 juta sebelum pilihan raya umum yang akan datang untuk membeli tanah tersebut untuk pembinaan PPR atau adakah ini hanya sandiwara murahan sempena pilihan raya yang semakin hampir.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved