Jumaat, 12 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Hanya KPN boleh jelaskan penahanan aktivis oleh Imigresen , kata Bakri

Posted: 12 Oct 2012 01:14 AM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata penjelasan mengenai arahan kepada pihak imigresen menahan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di lapangan terbang hanya boleh dilakukan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Bakri (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata segala penjelasan melibatkan polisi dan sesuatu arahan adalah di luar bidang kuasanya dan hanya KPN boleh mengeluarkan kenyataan.

"Ini luar bidang kuasa saya, hanya KPN saja boleh beri penjelasan mengenai polisi," kata Bakri.

Baru-baru ini, kontroversi melibatkan para aktivis yang ditahan di lapangan terbang dibidas kerana ia didakwa bermotifkan politik serta bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka.

Tindakan menahan di lapangan terbang ke atas aktivis dan anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih disifatkan oleh aktivis Maria Chin Abdullah sebagai satu bentuk gangguan dan sikap kerajaan tidak menghormati hak individu seorang rakyat Malaysia untuk bebas bergerak.

Pagi ini, K Arumugam,  pengerusi badan hak asasi manusia SUARAM  dan anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih, Toh Kin Woon dalam satu pesanan ringkasnya berkata dia ditahan ketika dalam perjalanan ke Chennai di Lapangan Terbang Kos Rendah (LCCT).

"Semasa saya melalui Autogate ia tidak buka dan kemudiaannya seorang pegawai datang meminta pasport saya untuk pengesahan.

"Dia kemudian memberitahu saya dia perlu dapatkan nasihat pegawai atasan, 10 minit kemudiaan dia datang dan tidak memberi sebarang penerangan kenapa saya tidak dapat melalui Autogate," kata Arumugam kepada The Malaysian Insider.

Arumugam tidak menolak perkara tersebut mempunyai kaitan dengan peranannya dalam Bersih 2.0 dan SUARAM.

Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan pada Selasa lalu telah ditahan di lapangan terbang selama 10 minit ketika dalam perjalanan ke Australia dan mendakwa pegawai  imigresen yang menahannya gagal memberi jawapan atas sebab apa dia ditahan.

Minggu lalu, seorang lagi anggota Jawatankuasa Pemandu Andrew Khoo juga berhadapan situasi sama apabila ditahan ketika pergi dan balik ke Bangkok.

Dalam laporan Free Malaysia Today, ketua pengarah Jabatan Imigresen Alias Ahmad berkata tindakan tersebut diambil selepas mendapat arahan daripada pihak polis "setiap urusan semua  individu ini perlu dirujuk kepada pegawai Cawangan Khas yang berada di lapangan terbang".

Alias juga menerangkan prosedur yang diambil bukan untuk menangkap atau menahannya tetapi hanya menjalankan temuduga seperti arahan yang diterima oleh polis.

"Kami hanya menjalankan tugas, penjaga pintu. Ia sama dengan kes mereka yang bankrap, nama mereka akan terpapar di skrin," kata Alias.

Dalam perkembangan berasingan, Bakri menyatakan pihaknya akan mengambil langkah mengikut prosedur standard operasi (SOP) dalam menjalankan siasatan melibatkan kes kematian dalam tahanan dan akan telus dalam siasatannya.

Bakri yang disoal oleh The Malaysia Insider mengenai satu lagi kes kematian Chandran a/l Perumal dalam lokap Balai Polis Dang Wangi mendakwa mereka akan telus dalam siasatan dan setiap inkues akan dijalankan.

"Kami akan jalan siasatan mengikut SOP dan secara telus. Kami akan siasat punca ia berlaku, jika terdapat unsur jenayah mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," kata Bakri lagi.

Semalam dalam satu sidang media di Parlimen, Ahli Parlimen Kapar S Manikawasagam menggesa KPN menubuhkan pasukan khas mempercepatkan siasatan kes tersebut.

Mangsa, Chandran a/l Perumal disahkan meninggal dunia 10 September 2012 yang lalu akibat tekanan darah yang tinggi semasa dalam tahanan. Namun menurut laporan polis oleh abang mangsa, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh mendiang.

Statistik antara tahun 2000 hingga Februari 2010 menunjukkan seramai 144 kes kematian dalam lokap dilaporkan melibatkan 64 orang Melayu, 30 orang Cina, 28 orang India, 8 bagi kaum-kaum lain dan 14 kes kematian bagi warga asing.

BN harus tunjukkan kualiti yang baik berbanding menyerang PR, kata Saifuddin

Posted: 12 Oct 2012 12:54 AM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Barisan Nasional (BN) haruslah menunjukkan kualiti yang baik daripada menyerang Pakatan Rakyat (PR), kata timbalan menteri pendidikan tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) semalam.

Beliau memberi komen dari laporan berita bahawa perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah bertemu dengan spekulator matawang George Soros di New York pada tahun 2010.

Saifuddin berkata BN harus menonjolkan nilai-nilai yang baik daripada mengkritik PR, menurut laporan Malaysiakini hari ini.

"Saya tahu pilihan raya semakin hampir dan sebab itu kita perlu berkempen untuk memenangi hati rakyat.

"Bagaimanapun, saya lebih suka bercakap tentang nilai yang BN bawa, daripada mengkritik orang lain," kata ahli majlis tertinggi Umno itu.

"Jika benar Najib bertemu Soros, jadi kita harus tunggu dan lihat dengan apa perbincangan mereka pada pertemuan mereka," katanya lagi.

Bulan lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Soros mahu 'mengawal' politik Malaysia dan 'memilih orangnya untuk menjadi perdana menteri'.

Dr Mahathir juga berkata pada minggu lalu bahawa "satu undi untuk pembangkang ialah satu undi untuk Soros."

Saifuddin turut berkata, "jika kita sibuk merendah-rendahkan orang lain, kita tidak dapat menunjukkan kualiti yang kita ada.

"Jika Soros yang kita kritik sekarang, satu hari akan memberi kenyataan menyokong kita, bagaimana?

"Sebab itu saya tidak berminat untuk menyerang Soros atau Suaram," katanya lagi.

Suaram mendedahkan tentang tuduhan rasuah bernilai berbillion ringgit dalam pembelian kapal selam Scorpene beberapa tahun yang lalu.

Susulan dari laporan dari media arus perdana bahawa Suaram menerima dana dari organisasi yang melibatkan Soros, badan pemantau hak asasi manusia itu telah menjadi sasaran siasatan dari kerajaan persekutuan.

Enam agensi kerajaan telah melakukan siasatan terhadap Suaram, dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah merancang untuk mendakwa Suaram atas "akaun yang meragukan."

Bulan lalu, menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata menerima dana dari luar bukan isu utama.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved