Sabtu, 13 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Awang Adek saran mesin ATM berisiko dirompak dipindah ke kawasan selamat

Posted: 13 Oct 2012 02:51 AM PDT

BACHOK, 13 Okt — Kementerian Kewangan mahu pihak bank yang mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan berisiko tinggi berlaku rompakan supaya segera memindahkannya ke kawasan lebih selamat.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihak bank juga diwajibkan mengadakan mesin ATM yang baru bertaraf piawaian antarabangsa yang sukar dipecahkan.

Pihak bank juga diwajibkan memasang sistem penggera yang dapat didengar dari jauh oleh pasukan keselamatan apabila ia dipecahkan, katanya.

"Di samping itu mereka juga perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan kerap mengadakan rondaan oleh pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyampai elaun sara hidup kepada 540 nelayan, yang keseluruhan berjumlah lebih RM100,000 di Perupuk di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim.

Awang Adek berkata sehingga ini, sebanyak 17 kes rompakan mesin ATM telah dilaporkan dengan kerugian bernilai jutaan ringgit, yang sebilangan besarnya berlaku kerana pihak bank tidak melakukan ciri-ciri keselamatan yang mencukupi.

"Malah bangunan yang tempatkan mesin ATM itu juga tidak dibina dengan mempunyai unsur kekebalan menyebabkan ia mudah dipecahkan," katanya. Beliau turut berkata kes mesin ATM dipecahkan jarang berlaku di negara lain dan kes yang berlaku di negara ini menghairankan para pakar keselamatan dalam dan luar negara dengan kejadian seperti ini mesti dibendung segera. — Bernama

Penuntut UPM diingatkan tidak terpengaruh tuntutan kebebasan bersuara, titah Sultan Selangor

Posted: 13 Oct 2012 01:26 AM PDT

Penuntut UPM diingatkan tidak terpengaruh tuntutan kebebasan bersuara, titah Sultan Selangor

SERDANG, 13 Okt — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan tuntutan kebebasan bersuara yang diperjuangkan segolongan pihak yang hanya mementingkan ideologi politik.

Baginda yang juga Canselor UPM turut berharap agar mahasiswa tidak terjebak dengan budaya negatif seperti politik kepartian dalam kampus dan tidak terlalu taksub dalam mengikuti perkembangan politik semasa.

"Beta berharap ilmu yang dipelajari dijadikan panduan dan pedoman untuk berjaya dengan cemerlang tanpa mengorbankan nilai-nilai yang menjadi teras masyarakat di negara ini," titah baginda pada majlis Konvokesyen UPM ke-36 di sini hari ini.

Baginda turut mengingatkan mahasiswa mengenai objektif utama memasuki institusi pengajian tinggi adalah untuk memartabatkan ilmu pengetahuan dan menjadikan mereka lebih matang dalam menangani apa jua masalah.

"Justeru para graduan perlu sentiasa mencintai dan menjaga nama baik UPM di mana sahaja mereka berada walaupun selepas tamat pengajian," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah mahasiswa dan juga alumni UPM perlu mempunyai jiwa dan semangat patriotik yang tinggi kepada negara dan tidak sewenang-wenangnya mempermainkan kedaulatan negara mahupun melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej negara.

Baginda juga mengingatkan mahasiswa supaya tidak terlibat dalam gejala negatif seperti rasuah, tidak amanah dan menyalahgunakan kuasa yang secara tidak langsung boleh menjatuhkan imej universiti. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved