Rabu, 17 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Putrajaya menyokong keluarga mangsa tragedi Batang Kali tuntut keadilan

Posted: 17 Oct 2012 03:16 AM PDT

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Putrajaya menawarkan bantuan kepada keluarga yang terlibat dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali pada tahun 1948 dan mahu kerajaan Britain untuk membuat pemohonan maaf secara terbuka ke atas kejadian tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu wartawan di Parlimen hari ini bahawa beliau akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk melihat apa tindakan undang-undang yang dapat dibuat untuk membantu keluarga mangsa yang terlibat.

"Ini kali pertama saya menyertai perkara ini, saya akan merujuk kepada rakan sejawatan saya dan cuba melihat apa yang Wisma Putra dapat lakukan," kata ahli parlimen Padang Rengas itu.

Menteri di jabatan perdana menteri itu telah menandatangani petisyen dibuat oleh keluarga mangsa pada Ahad lalu yang menuntut Parlimen Britain untuk "memohon maaf" bagi pihak kerajaan Britain di atas kejadian yang berlaku pada 12 Disember, 1948 itu.

Nazri juga akan berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan petisyen itu dibentangkan di parlimen.

Beliau berkata petisyen itu akan diiringi oleh surat rasmi darinya, dan meminta sokongan dari ahli parlimen tentang isu ini.

"Saya menyokong petisyen ini, dan saya akan meletakkan bersama surat rasmi dari saya kepada ahli parlimen untuk meminta sokongan untuk menyokong keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali," katanya lagi.

Empat orang ahli keluarga dari 24 orang penoreh getah yang mati dibunuh pada Disember 1948 oleh tentera British di Batang Kali, Selangor.

Mereka ialah Chong Nyok Keyu, Loh Ah Choi, Lim Kok dan Wooi Kum Thai, telah menuntut keadilan di mahkamah tinggi di London selepas kerajaan Britain enggan membuat inkuiri terbuka terhadap pembunuhan tersebut.

Perbicaraan itu ialah untuk membicarakan sama ada setiausaha negara untuk pertahanan, setiausaha luar dan Pejabat Komanwel telah bertindak mengikut undang-undang apabila mereka enggan untuk mengadakan inkuiri terbuka pada November 2010 yang lalu.

Keluarga mangsa sudah sekian lama meminta penjelasan, pemohonan maaf dan pampasan terhadap kejadian tersebut.

Putrajaya perlu rasa ‘malu’ rakyat bina lebuhraya atas inisiatif sendiri

Posted: 17 Oct 2012 01:49 AM PDT

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Tindakan Kementerian Kerja Raya memberikan jawapan berbolak-balik berkenaan isu Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu ke Kuala Krai, menyebabkan pemimpin PAS tampil menempelak kerajaan yang menurut mereka harus berasa malu kerana rakyat bakal membina lebuh raya itu atas inisiatif mereka sendiri.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini menegaskan kerajaan yang bermaruah seharusnya rasa terpukul dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan untuk membina lebuh raya tersebut menggunakan derma dan waqaf untuk rakyat dinegeri pimpinan PAS itu.

"Kerajaan yang bermaruah seharusnya perlu rasa malu, rasa terhina, dan terpukul kerana rakyat dah bosan dengan kerajaan Pusat.

"Rakyat sebaliknya atas inisiatif sendiri mengguna sistem waqaf, untuk memenuhi hak keperluan rakyat Kelantan membina lebuh raya berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor hari ini menjelaskan kementeriannya tidak pernah menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Kelantan berhubung pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kota Bharu ke Kuala Krai.

Shaziman ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 bagi kementeriannya bagaimanapun berkata hanya menerima panggilan telefon daripada salah seorang exco negeri pimpinan PAS itu mengenai pelancaran majlis pecah tanah projek berkenaan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar juga turut menegaskan kenyataan Shaziman di Dewan Rakyat itu adalah cubaan untuk menutup janji kerajaan untuk membina lebuh raya tersebut yang telah dibuat pada Rancangan Malaysia Ke-8 (RMKe-8).

"Kami amat tidak berpuas dengan jawapan menteri, beliau cuba menutup janji yang telah dibuat pada 1996 untuk membina Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai," katanya pada sidang media sama.

"Oleh kerana kerajaan PAS sedar, keperluan lebuh raya itu amat mendesak, Kelantan telah memulakan inisiatif untuk membina lebuh raya tersebut," katanya, dan menambah kenyataan Shaziman itu sangat negatif.

Beliau turut menjelaskan, Kelantan telah mengadakan rundingan aktif dengan syarikat yang telah dikenalpasti untuk pembinaan lebuh raya tersebut.

"Saya difahamkan, Kelantan telah mengadakan rundingan aktif dengan syarikat swasta yang dikenal pasti untuk membina lebuh raya tersebut.

"Setakat ini kami telah berjaya mengutip RM4 juta daripada RM1.8 bilion yang diperlukan untuk pembinaan lebuh raya tersebut," tegasnya menjelaskan status terkini pembinaan lebuh raya dua lorong tanpa tol sepanjang 73 kilometer itu.

Kamarudin turut menambah,"perbelanjaan besar yang diuruskan oleh kerajaan negeri dalam pembinaan lebuh raya tersebut mungkin dapat mencapai matlamat."

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved