Khamis, 18 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


YGP bukan isu kecuaian, hanya masalah dokumentasi, kata Rahman Dahlan

Posted: 18 Oct 2012 02:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Berikutan isu syarikat milik Pemuda Umno YGP Holding yang melanggar Akta Syarikat 1965, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini menjelaskan perkara itu bukanlah isu besar, sebaliknya syarikat yang turut meletakkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebagai pengarah itu mempunyai masalah dokumentasi ekoran lembaga pengarah yang sering bertukar.

Jelas Ahli Parlimen Kota Belud itu lagi, kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan penyata kewangannya sejak 31 Disember 2006 adalah disebabkan sering berlakunya pertukaran kepimpinan tertinggi, dan bukannya atas faktor syarikat tersebut bermasalah.

"Ia hanya melibatkan isu dokumentasi ... ia (YGP Holding) sering mengalami penukaran lembaga pengarahnya.

"Selepas ada pemilihan parti, ia akan bertukar kepimpinan, ada orang baru yang masuk ... proses dokumentasi menjadi sedikit sukar," katanya yang ditemui selepas sidang Parlimen hari ini.

Tambah Rahman, syarikat yang juga pernah diterajui oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa memegang jawatan dalam Pemuda Umno itu turut mempunyai kesukaran mendapatkan penyata kewangan daripada institusi perbankan kerana ada sesetengah bank yang tidak lagi wujud.

"Ada bank yang dah tak wujud, (bagaimanapun) kami sedang usahakan perkara itu.

"Tapi kami jamin tidak menerima dana asing," katanya lagi.

Beliau juga melihat tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membangkitkan perkara itu hanyalah sebagai "taktik politik murahan" untuk mengalihkan isu Suaram.

"Ia politik murahan yang digunakan Tony Pua untuk mengalihkan isu Suaram," tegasnya, dan menambah YGP Holding juga tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan, dan Koperasi (KPDNKK) semalam enggan menjawab pertanyaan ahli Parlimen pembangkang sama ada akan mengambil tindakan terhadap YGP Holdings Sdn Bhd kerana tidak menghantar laporan kewangan mereka - sama seperti kesalahan dilakukan Suara Inisiatif Sdn Bhd.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri seakan-akan mengelak apabila ditanya adakah kementeriannya akan mengambil tindakan sama terhadap YGP Holdings, seperti yang dilakukan kementerian itu kepada Suaram.

"Kita tiada membezakan antara mana-mana syarikat ... kita akan siasat sekiranya ada aduan.

"Soal syarikat lain, kita siasat dan ambil tindakan, lebih kurang 200 syarikat, bezanya syarikat ini orang heboh, syarikat lain orang tak heboh," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Bagaimanapun, ketika Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (gambar) cuba meminta kepastian kementerian akan ambil tindakan terhadap YGP dan juga NFCorp, Ismail hanya berkata; ".... YGP ke,  kalau tak "compliant" sila maklumkan kepada kita."

Beliau turut berkata, sekiranya ada mana-mana syarikat melanggar Akta Syarikat, kementeriannya akan mengambil tindakan.

Pua sebelum ini mendedahkan YGP Holdings, yang dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersama Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai pengarah, tidak mengemukakan penyata kewangannya sejak 31 Disember 2006.

Sementara itu, National Feedlot Corporation (NFCorp) jelas Pua juga turut dinyatakan melanggar akta itu kerana tidak mengemukakan penyata kewangannya sejak 31 Disember 2009.

Pua turut menjelaskan, tindakan KPDNKK mengambil tindakan terhadap Suaram hanyalah sebagai "agenda politik" Barisan Nasional (BN).

MB Kedah diminta perjelas kerugian projek balak di luar negara

Posted: 18 Oct 2012 02:29 AM PDT

ALOR SETAR, 18 Okt — Pemuda Gerakan Kedah hari ini meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) memberi penjelasan berhubung projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea yang mengalami kerugian kira-kira RM13.49 juta.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara tahun lepas, kerajaan Kedah mengalami kerugian dalam projek pembalakan dan perladangan yang didaftarkan di negara itu.

"Pada 12 Oktober 2008, Kedah Corporation Berhad (KCB), anak syariakt milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah, telah menandatangani Perjanjian Penjualan Saham dengan MAS Incorporate (PNG) Ltd (MAS) bagi membeli 70 peratus saham dalam syarikat tersebut.

"MAS yang merupakan syarikat yang didaftarkan di Papua New Guinea telah ditawarkan untuk membangunkan dua kawasan seluas 114,429 hektar tanah di negara itu dan tanah-tanah itu adalah milik syarikat Baina Agro Forest Limited dan Magarida Resources Development Limited.

"KCB perlu membayar RM1.21 juta kepada vendor (seorang bekas pemilik MAS yang dilantik KCB bagi menjalankan perniagaan di Papua New Guinea) sebagai 'goodwill payment' bagi pindah milik saham 70 peratus kepada KCB dan bayaran dibuat dua peringkat dalam 2008 namun terma dalam perjanjian yang dibuat tidak memihak kepada KCB," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tan berkata semakan Audit Negara mendapati pembayaran 'goodwill' tersebut tidak berasaskan justifikasi kerana tiada siasatan awal dilakukan sebelum pembelian dimuktamadkan.

"Kenapa perlu bayar 'goodwill' sedangkan KCB perlu membayar harga belian sebanyak RM31.21 juta bagi saham 70 peratus dalam MAS?," katanya.

Beliau berkata selain daripada pembayaran 'goodwill' kepada vendor, kerugian yang dialami juga disebabkan oleh pembayaran 'Mobilization Expenses' kepada MAS sebanyak RM3 juta, komisen dan yuran guaman sebanyak RM1.6 juta dan pinjaman daripada lima syarikat lain dan kos berkaitan sebanyak RM7.68 juta.

"Disebabkan kerugian itu, Lembaga Pengarah KCB telah memutuskan untuk menghentikan projek itu pada 1 Mac 2011. Menteri Besar kena jelaskan kenapa KCB tidak menjelaskan 'due diligence' dan merujuk kepada penasihat undang undang negeri sebelum melakukan pelaburan yang tinggi?," soalnya.

Beliau berkata rakyat berhak tahu berhubung laporan audit tersebut dan kerajaan negeri hendaklah jangan terus berdiam diri dalam isu tersebut. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved