Jumaat, 26 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pembinaan kondo ancam struktur Batu Caves, dakwa aktivis

Posted: 26 Oct 2012 03:06 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mendakwa rancangan pembinaan kondominium oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di sebelah Batu Caves akan mengancam struktur bukit tersebut selain memberi kesan buruk kepada alam  semulajadi dikawasan tersebut.

Wakil MNS, Lim Teck Wyn yang ditemui wartawan pagi ini di Batu Caves berkata tiga faktor utama perlu diambilkira jika  pembinaan tersebut diteruskan dan tidak dihalang.

"Pembinaan kondo ini merbahaya memandangkan ia terletak betul-betul disebelah puncak bukit, bayangkan jika tiba-tiba batu kapur ini runtuh menimpa kondo yang dibina? Insiden ini pernah berlaku pada 1973 di gunung Cheroh, Ipoh.

"Perkara kedua ialah habitat flora dan fauna di bukit ini akan terjejas memandangkan terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan  dan haiwan yang jarang ditemui di dunia terdapat disini. Ketiga, struktur Batu Caves yang cantik ini akan terganggu kerana kondo ini akan menghalang pemandangan bukit yang terletak betul-betul dihadapan jalan," kata Teck Wyn.

Teck Wyn juga menegaskan kehadirannya pada hari ini bukan petanda mereka memihak kepada mana-mana parti tetapi berharap kerajaan negeri Selangor lebih bertanggungjawab ke atas isu ini.

"Kami (MNS) tidak memihak kepada mana-mana parti dalam isu ini, cuma saya berharap kerajaan negeri lebih bertanggungjawab dalam menangani isu ini.

"Kami juga pernah membuat permintaan kepada kerajaan negeri untuk melantik ahli majlis di kalangan pihak yang profesional dalam alam semulajadi tetapi hingga sekarang tiada daripada aktivis dilantik sebagai exco dalam kerajaan negeri," tambah Teck Wyn.

Dalam pada itu, rata-rata tinjauan wartawan The Malaysian Insider yang menemubual pelancong dan peniaga di sekitar Batu Caves mendapati kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan projek kondo 29 tingkat itu.

Rata-rata menimbulkan kebimbangan projek tersebut akan menambah kesesakan di kawasan tersebut selain bimbang pada masa depan bukit tersebut akan runtuh akibat kesan daripada getaran proses mengerudi.

"Saya sokong bantahan oleh pihak jawatankuasa kuil yang membantah pembinaan projek kondo itu kerana ia akan hanya menambah kesesakan memandangkan keadaan disini seperti yang diketahui sudah sesak.

"Bila kondo ini siap ia akan menghalang pemandangan bukit ini sekaligus menjejaskan kecantikkan Batu Caves," kata Prem, 35 tahun, seorang pengusaha restoran sejak tahun 1970.

Pelancong dari California yang enggan mendedahkan namanya didedahkan juga berkata pembinaan tersebut jika diteruskan bakal mencacatkan bukit tersebut selain keaslian Batu Caves juga mungkin akan lenyap.

"Ia pasti menyedihkan. Saya sudah menetap di Malaysia selama 10 tahun dan hampir setiap bulan berkunjung ke sini.

"Saya sudah melihat banyak perubahan yang berlaku di sekitar kawasan Batu Caves, tetapi pembinaan kondo 29 tingkat adalah bukan suatu langkah yang baik kerana banyak kesan buruk akan berlaku pada masa depan," kata pelancong tersebut yang juga seorang arkitek kepada The Malaysian Insider.

Sebelum itu, pada pagi ini jawatankuasa kuil Mahamariamman Batu Caves telah menganjurkan himpunan "Selamatkan Batu Caves" bertujuan untuk membantah pembinaan kondo 29 tingkat atas alasan ia akan memberi kesan kepada struktur bukit batu kapur  tersebut serta tidak menolak ia bakal runtuh.

Antara yang hadir dalam perhimpunan tersebut antaranya ialah bekas menteri kerja raya, Datuk Seri S Samy Vellu dan bekas ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS), A Kohillan Pillay.

Dalam ucapannya, Samy menjelaskan bahawa kerja-kerja pembinaan kondominium tersebut telah dilakukan tanpa kajian dan tidak merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab sambil berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas MPS.

Kohillan pula berkata kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor seharusnya bertanggungjawab ke atas perkara tersebut memandangkan mereka adalah pihak yang mentadbir sekarang ini serta mendakwa memiliki bidang kuasa untuk memberikan kelulusan serta menarik balik projek kondo tersebut.

Ahli exco kerajaan negeri, Ronnie Liu baru-baru ini telah mengadakan satu lawatan ke tapak projek berkenaan dan mengeluarkan kenyataan mendakwa kerajaan BN yang beertanggungjawab memberikan kelulusan awal kepada pemaju Dolomite.

"Kami juga mengetahui Jabatan Geo-Sains dan Mineral turut memberikan kelulusan ke atas projek tersebut selepas menjalankan kajian ke atas tanah berhampiran kuil," kata Liu semasa bermesyuarat dengan jawatankuasa kuil, MPS dan pemaju baru-baru ini.

Selain itu, seorang lagi ahli exco turut mengeluarkan kenyataan mengenai rancangan pembinaan projek tersebut dan menegaskan kerajaan negeri tidak akan menurut permintaan jawatankuasa kuil tersebut.

Dalam pada itu, presiden MIC Datuk Seri G Palanivel telah menggesa menteri besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menghentikan projek kondo 29 tingkat tersebut kerana bimbang ia akan memberikan kesan buruk kepada struktur bukit tersebut serta berisiko tinggi memandangkan kawasan itu adalah terdiri daripada batu kapur.

Polis tahan tiga lelaki, seorang wanita warga Thailand, rampas pistol

Posted: 26 Oct 2012 02:03 AM PDT

PETALING JAYA, 26 Okt — Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan seorang wanita warga Thailand serta merampas sepucuk pistol jenis revolver di sebuah hotel di Dataran Sunway di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan pada 11 pagi itu, polis turut menemui empat butir peluru, dua butir kelongsong peluru, dua komputer riba, lima paket dadah jenis syabu seberat 23 gram, lapan biji erimin 5 dan beberapa peralatan menghisap syabu.

"Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an dan siasatan awal dibuat kesemuanya positif dadah. Mereka ini juga dipercayai terlibat dalam kes jenayah senjata api dan beberapa kes jenayah lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dua daripada suspek berkenaan juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8a, Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39A, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952.   

Dalam kes berasingan, Arjunaidi berkata polis merampas 94 gulungan kabel pengalir tembaga dan aluminium milik sebuah syarikat kabel di Bandar Sunway yang bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah premis barangan lusuh di Taman Desa Ria pada 19 Okt lepas.

Katanya dalam serbuan pada 1 pagi itu, polis turut menahan lima lelaki berumur lingkungan 30-an dan 40-an di situ dan seorang daripadanya dipercayai majikan premis tersebut.

"Empat lagi yang ditahan adalah pekerja, dua daripadanya warga India dan selebihnya warga Indonesia dan kesemuanya tidak memiliki dokumen yang sah. Kami juga menemui 1100 kilogram pengalir kabel tembaga dan aluminium yang sudah diproses menjadi bahan lusuh.

"Pada mulanya siasatan dilakukan terhadap kes lain yang berlaku di Kota Damansara namun hasil siasatan mendapati kes tersebut berkaitan dengan kes curi kabel di Bandar Sunway," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek membeli gulungan kabel tersebut daripada orang lain dengan harga RM40 ribu," katanya.

Siasatan mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved