Selasa, 30 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kerajaan mohon maaf kepada penumpang terjejas akibat gangguan elektrik di KKIA

Posted: 30 Oct 2012 02:17 AM PDT

LABUAN, 30 Okt — Kerajaan Persekutuan memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Khamis dan Jumaat lepas.

Ketika menyatakan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang berat insiden itu dan mahu Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha melaporkan apa sebenarnya yang berlaku pada mesyuarat Kabinet Persekutuan Jumaat ini.

"Kita memohon maaf kepada mereka (penumpang) kerana kita tahu waktu itu ramai yang bersedia pulang merayakan Aidiladha tetapi tak dapat balik dan terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana gangguan lampu di lapangan terbang yang tidak beroperasi dan berfungsi dengan baik.

"Kita memandang berat perkara ini. Jadi saya tunggu dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang pada Jumaat ini, mungkin Menteri Pengangkutan boleh melaporkan apakah yang sebenarnya berlaku dan hasil siasatan. Ini (siasatan) mesti dibuat sehingga ke akar umbi bagi mengetahui apa sebab perkara itu berlaku kerana kita tidak mahu perkara itu berulang lagi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin, yang kini dalam rangka lawatan sehari ke pulau bebas cukai itu, berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian itu yang menimbulkan keresahan dan kemarahan orang ramai yang ingin pulang untuk meraikan Hari Raya Aidil Adha.

Malaysia Airports Berhad (MAB) pada Sabtu dipetik sebagai berkata masalah lampu tidak berfungsi di landasan KKIA mengakibatkan 51 penerbangan, sama ada terpaksa dilencongkan, ditunda dan dibatalkan selama dua malam, menjejaskan sejumlah 6,000 penumpang.

Bagaimanapun, ia disahkan selamat untuk operasi penerbangan komersil pada sebelah malam pada 9.30 malam Jumaat, berikutan pemasangan kabel baharu dan pencahayaan serta sistem sokongan bekalan elektrik mudah alih.

Sambil menyatakan simpati terhadap penumpang yang terjejas akibat kejadian luar jangka itu, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan Sabah juga prihatin tentang insiden itu dan "Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) sendiri pun sudah mengeluarkan kenyataan meminta supaya siasatan terperinci dibuat".

"Saya juga dapat maklumat bahawa Kementerian Pengangkutan sudah meminta laporan lengkap daripada pihak pengurusan lapangan terbang sama ada MAB atau pihak kontraktor yang terlibat membantu operasi di lapangan terbang supaya memberi kerjasama.

"Apa yang penting kita mahu kenal pasti kesilapan dan siapa yang bertanggungjawab dan apakah yang perlu dibuat supaya perkara ini tidak berulang lagi. Ini adalah satu perkara malang kerana mengakibatkan penumpang-penumpang menghadapi masalah sebegitu," katanya.

Mengenai kelewatan pihak berkenaan menyiapkan projek pembesaran KKIA, Muhyiddin berkata isu itu turut dibincangkan pada mesyuarat Kabinet yang akan datang.

"Kabinet juga akan melihat perkara ini kerana kita tahu semakin lama semakin ramai termasuk pelancong dari China, Hong Kong, Korea dan pelancong domestik (yang datang ke negeri ini). Ini bermakna lapangan terbang ini semakin penting sebagai hub di rantau ini.

"Sebab itu kerja pembesaran itu perlu dilaksanakan... saya tidak tahu apa sebabnya berlaku kelewatan dan operasi lapangan yang terganggu boleh menjejaskan nama baik Malaysia terutama bakal pelawat yang ingin berkunjung ke negeri ini," katanya. — Bernama

Warga Nigeria terlepas tali gantung, dipenjara sembilan tahun dengan sepuluh sebatan

Posted: 30 Oct 2012 02:04 AM PDT

Warga Nigeria terlepas tali gantung, dipenjara sembilan tahun dengan sepuluh sebatan

SHAH ALAM, 30 Okt — Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan ke atas seorang penjual alat ganti kenderaan warga Nigeria atas kesalahan memiliki 2.5kg syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap selepas Blessings Akanor, 48, mengaku salah di atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan pada hari ini.  

Lelaki itu dituduh memiliki dadah itu di kawasan tuntutan bagasi di KLIA pada pukul 4 petang, 6 Julai 2011. 

Pertuduhan asal Akanor ialah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori kerana mengedar dadah di tempat dan tarikh yang sama.

Peguam Alfred Egin yang mewakili Akanor meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas anak guamnya bermula dari beliau ditangkap pada 6 Julai tahun lepas memandangkan pengakuan tertuduh telah menjimat masa dan kos perbicaraan.

Beliau berkata tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak lelaki masing-masing berumur 8, 11, dan 14 tahun melakukan jenayah itu kerana tekanan hidup dan mudah terpedaya memandangkan pendapatan menjual alat ganti tidak seberapa.

Egin berkata jika tempoh hukuman penjara yang lama dikenakan, ia akan menjejaskan kehidupan anak-anak dan isteri tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi meminta hukuman yang setimpal dikenakan walaupun tertuduh telah mengaku bersalah memandangkan berat syabu yang dibawanya.

Katanya ia kini menjadi trend di kalangan sesetengah warga asing yang datang ke Malaysia membawa masuk dadah menyebabkan jenayah berkaitan dadah berleluasa.

 Sebelum menjatuhkan hukuman, Abdul Rahim berkata hukuman berat termasuk gantung sampai mati nampaknya tidak berupaya mengekang peningkatan penyeludupan atau pengedaran dadah ke dalam negara, sebaliknya semakin meningkat.

Katanya apa yang perlu dilakukan ialah menghapus atau mengurangkan permintaan dadah dalam negara menerusi pendidikan kepada rakyat terutamanya generasi muda menerusi peranan institusi keluarga mengenai bahaya dadah. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved