Rabu, 14 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pertukaran YDP Selayang tiada kaitan dengan kerajaan, kata wakil BN

Posted: 14 Nov 2012 03:12 AM PST

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) menafikan pertukaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) mempunyai kaitan dengan projek pembinaan kondominium kontroversi di Batu Caves.

Zainal Abidin dilapor menerima notis pertukaran berkenaan yang dikeluarkan oleh timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui emel kepada MPS.

"Perkara ini sepatutnya tanya YDP sendiri, ia bukan urusan kerajaan.

"Kerajaan BN takkan masuk campur dalam hal pertukaran ini, ini bukan kerja kami (kerajaan)," kata bekas ahli majlis MPS, Senator A Kohilan Pillay.

Kohilan sebelum ini dibidas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, Ronnie Liu kerana dikatakan berlakon tidak tahu tentang projek kondo, Dolomite Park Avenue tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin BN iaitu P Kamalanathan dari MIC pula enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut memandangkan tidak menyedari tentang isu tersebut.

"Saya tidak mengetahui mengenai perkara terbabit, sebab saya sekarang di Hulu Selangor menyambut Deepavali.

"Jadi, saya tidak boleh memberi komen untuk isu tersebut," kata ahli parlimen (MP) Hulu Selangor itu.

Dalam perkembangan lain, Liu berkata beliau telah menerima satu surat tuntutan daripada Kamalanathan berhubung dakwaannya sebelum ini yang mengaitkan MP BN itu dengan projek pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

Seorang Ahli Majlis MPS yang dihubungi The Malaysian Insider, Lee Khai Loon mengesahkan pertukaran YDP tersebut, namun beliau juga memaklumkan masih belum menerima butiran lengkap berhubung perpindahan mengejut tersebut.

"Saya sendiri baru terima berita ini ...  (butiran) secara terperincinya, saya belum dapat.

"(Tapi) sudah sah Datuk YDP (Zainal Abidin) akan dipindahkan ke INTAN bermula esok atas satu notis hari ini yang dikeluarkan timbalan pengarah JPA melalui emel," katanya kepada The Malaysian Insider.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika rumah terbuka MIC di Batu Caves semalam berkata kerajaan BN akan membatalkan projek berkenaan sekiranya parti pemerintah itu berjaya merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Najib turut mengumumkan akan menjadikan kawasan Kompleks Batu Caves itu sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco menjelang 2015, sebaik sahaja masalah teknikal berhubung perkara itu diselesaikan.

Pembinaan kondominium yang dirancang sejak 2007 itu kini berhadapan tekanan terutamanya daripada pihak jawatankuasa kuil yang kini memperoleh sokongan daripada pemimpin MIC yang turut sama membantah pembinaan itu.

Oktober lalu, ratusan penganut agama Hindu dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) menyertai himpunan di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves bagi menyatakan bantahan ke atas pembinaan kondo tersebut yang dikatakan akan memberi ancaman kepada alam semulajadi bukit itu.

Malah, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu turut sama menyertai protes tersebut dan memberikan ucapan di hadapan kira-kira 300 orang ramai yang hadir.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves itu dianggap sensitif memandangkan kawasan tersebut merupakan kawan tumpuan bagi aktiviti keagamaan masyarakat Hindu dan meliputi sejumlah 170,000 kaum India yang merupakan kumpulan utama pengundi di kawasan bandar Selangor.

Jabatan, agensi KPKK perlu beri liputan berita adil kepada semua wakil rakyat

Posted: 14 Nov 2012 02:53 AM PST

KOTA KINABALU, 14 Nov — Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Sabah, khususnya Jabatan Penyiaran, dinasihat supaya memberi liputan berita secara adil kepada semua wakil rakyat di negeri ini.

Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata Menteri KPKK Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu semua wakil rakyat, sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen diberi liputan berita secara adil.

"Menteri (Rais) prihatin dengan kita di Sabah kerana banyak tempat seperti pulau dan kawasan pedalaman kurang mendapat liputan sedangkan wakil rakyatnya bekerja keras untuk rakyat.

"Kita jangan asyik mengeluarkan berita atau gambar orang yang sama sahaja. Kita ada ramai wakil rakyat, menteri dan pembantu menteri yang memainkan peranan penting dalam membangunkan rakyat," katanya pada majlis penyerahan tiga unit kamera kepada Jabatan Penyiaran Sabah di sini hari ini.

Mengenai penyerahan kamera tersebut yang dikhususkan untuk Unit Berita Ehwal Semasa (BES), Nazri berkata Rais sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi oleh Jabatan Penyiaran Negeri dan sering mengutamakan perkara yang perlu disegerakan.

Oleh itu, beliau berharap unit BES memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan sepenuhnya dengan menghasilkan berita berkualiti.

Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata Rais sedar keperluan Jabatan Penyiaran untuk bersaing dalam bidang penyiaran supaya setaraf atau lebih baik dengan pengamal penyiaran lain.

Beliau berharap warga jabatan itu sentiasa memberi komitmen bukan sahaja dalam menghasilkan rancangan berkualiti, tetapi juga mencari pengisian rancangan yang mempunyai nilai komersil.

"Kita sebagai peneraju penyiaran di negara ini sekarang berhadapan dengan persaingan hebat daripada stesen-stesen penyiaran swasta.

"Kita perlu bersedia meningkatkan amalan kita supaya tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved