Sabtu, 17 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Majlis Syura tegaskan PAS tetap seperti dahulu

Posted: 17 Nov 2012 01:42 AM PST

KOTA BHARU, 17 Nov —Majlis Syura Ulama hari ini menegaskan PAS masih lagi parti sama seperti ditubuhkan dahulu dan menepis dakwaan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menuduh parti Islam itu tergelincir daripada perjuangan memartabatkan Islam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ketika Muktamar tahunan PAS ke-58 di sini, Majlis Syura Ulama menegaskan secara sebulat suara perjuangan PAS dan arah tuju PAS dahulu dan sekarang masih sama.

"PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikitpun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam Perlembagaan PAS," kata kenyataan tersebut.

Fasal 5 (1) Perlembagaan PAS memperuntukkan "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahannya yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."

Malah, Majlis Syura Ulama juga menegaskan, isu berkaitan perkara itu adalah fitnah yang sengaja diwujudkan beberapa pihak untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat.

"Mereka tahu PAS masih atas keasliannya ... akan tetapi sengaja menabur fitnah tanpa mereka sedari sebenarnya mereka mengiktiraf PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

"Ia adalah taktik dan strategi untuk mencalarkan imej PAS bagi mengelakkan mereka ditolak rakyat dengan menggunakan individu tertentu untuk mencalar PAS demi menjaga kepentingan mereka yang tergugat," kata kenyataan itu lagi.

Sebelum itu, perwakilan daripada Pahang, Mukhtar Senik ketika perbahasan ucapan dasar Presiden berkata rombakan terhadap dasar kepimpinan ulama bermakna menjatuhkan PAS.

"Itu akan meletakkan PAS dalam situasai yang sangat menggerunkan dan kita akan menghadapi masalah.

"Cubaan untuk melemahkan konsep kepimpinan ulama perlu ditolak seluruh ahli PAS ... ia akan melemah dan melesukan PAS, serta menjadikan PAS menjadi parti politik biasa," kata Mukhtar.

Justeru, beliau menasihati PAS agar berhati-hati dalam menerima kemasukan ahlinya agar fikrah parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu akan terus kekal terpelihara.

"Kita mahu ulama terus bertenaga dan bergerak ... dan kita akan menolak siapa sahaja sama ada melalui ucapan, penulisan yang cuba merombak kepimpinan ulama PAS.

"Kita mesti mempertahankan fikrah yang benar, walaupun PAS ada perubahan dan mengalami perkembangan semasa," katanya.

Beliau turut menambah, golongn seperti itu kadangkala bukan hanya sekadar memasuki PAS, tetapi turut membawa fikrah luar dan bakal memberikan kesan negatif kepada PAS.

"Mereka bukan sahaja masuk PAS, tetapi juga bawa fikrah luar

"Atas kebebasan bersuara, mereka membuka pintu kepada orang lain untuk menembak PAS, ini berlaku ... kita tidak bercakap berkenaan apa yg tidak berlaku," katanya lagi.

Muhyiddin: Kesetiaan, keikhlasan PBS dalam BN amat dihargai

Posted: 17 Nov 2012 01:21 AM PST

PENAMPANG, 17 Nov — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesetiaan dan keikhlasan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN) amat dihargai terutama dalam membangunkan negara.

Muhyiddin (gambar fail) berkata beliau melihat perjuangan PBS, parti pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan itu, terus relevan dan semakin mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat.

Beliau berkata pilihan raya umum ke-13 merupakan penentu kelangsungan perjuangan BN dan jatuh bangun parti bergantung kepada semua ahli.

Oleh itu, beliau berkata semua jentera pilihan raya perlu bersatu padu dan mengelak gejala sabotaj atau elemen yang boleh menjejaskan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Isu sensitif hendaklah ditangani dengan bijaksana dan bertolak ansur bagi memelihara perpaduan dan keharmonian," katanya dalam perutusan sempena Kongres PBS yang akan berlangsung di sini selama tiga hari bermula 20 Nov.

Muhyiddin berkata rakyat kini semakin bosan dengan mainan politik pembangkang, tetapi kecenderungan mereka untuk menyokong BN bergantung kepada sejauh mana jentera BN berjaya menawan hati mereka.

"Justeru marilah kita sama-sama bersatu hati memastikan asas pembinaan negara bangsa yang telah berlaku sejak merdeka dapat dipertahan serta menjunjung prinsip Rukun Negara," katanya sambil menambah bahawa matlamat negara menuju wawasan 2020 akan tercapai sekiranya perpaduan, kemakmuran dan keharmoniaan negara terpelihara," katanya.

Beliau berkata kejayaan BN mengemudi negara berbilang kaum dan silang budaya ke arah perpaduan bukanlah mudah.

"Sepanjang 55 tahun memerintah negara, pelbagai dasar kita rancang dan laksanakan sehingga semua kaum dan setiap wilayah mendapat manfaatnya. "Amalan toleransi, musyawarah dan budaya kompromi merupakan tonggak dan kekuatan BN dalam memenuhi setiap tuntutan parti komponen secara adil dan berperingkat," katanya.

Beliau berkata langkah bijak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dan Transformasi Nasional berjaya memulihkan reputasi negara. "Gagasan ini bukan slogan politik semata-mata tetapi peniup semangat untuk bertaut di bawah satu payung dengan mengutamakan kesejahteraan negara," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved