Isnin, 26 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Azmin optimis PR akan rampas Putrajaya selepas PRU13

Posted: 26 Nov 2012 03:00 AM PST

SHAH ALAM, 26 Nov — Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (gambar) hari ini optimis kerajaan Pakatan Rakyat (PR) akan menawan Putrajaya dan membentuk kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13, sekaligus membidas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan PR akan menimbulkan kekacauan jika tewas dalam pilihan raya tersebut.

"PR akan menang, saya optimis PR akan terajui kerajaan baru ... jadi  tidak timbul isu PR akan timbulkan keganasan," katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.

Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan, kenyataan Dr Mahathir itu adalah sifat semulajadi Umno yang mewujudkan budaya "menakut-nakutkan" rakyat ekoran kedudukan parti dominan Melayu itu jelasnya yang semakin "tenat" dan "nazak".

"Ini yang kita selalu sebut, Umno membawa budaya menakut-nakutkan rakyat, (sedangkan) kita (PR) bawa budaya harapan kepada rakyat.

"Konsep kita adalah pengagihan yang adil dan semua ini meyakinkan rakyat, Umno pula dah tersepit, nazak, dan terus dengan budaya menakutkan-nakutkan rakyat," katanya kepada pemberita.

Adun Bukit Antarabangsa itu turut berkata PR telah menunjukkan sikap terbuka mereka, walaupun kalah beberapa negeri pada Pilihan Raya 2008, mereka masih boleh menerima keputusan tanpa sebarang pertumpahan darah.

"Kita sudah lihat kita kalah di beberapa negeri pada 2008, dan tiada pertumpahan darah.

"Sekarang kita tumpu kerja di empat negeri, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, dan kita yakinkan rakyat keupayaan PR mentadbir.

"Mitos Umno sahaja yang boleh memerintah negara sudah berakhir," tegasnya lagi.

Dr Mahathir awal hari ini mengulangi amaran sekali lagi kepada rakyat Malaysia akan timbul kekecohan di jalan raya sekiranya PR tewas pada pilihan raya akan datang serta menunding jari kepada musuh politik utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya akan menggunakan demonstrasi untuk kepentingan diri sendiri.

Bekas perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu turut mendakwa pembangkang sudah mula merancang untuk mencipta kekecohan dengan menghasut kumpulan pro PR supaya bangkit menolak keputusan pilihan raya sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal di Putrajaya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang masih berpengaruh di negara ini juga percaya BN akan dapat memperoleh semula majoriti dua pertiga di parlimen "ketika ini", tetapi pada masa sama memberi amaran tentang taktik Anwar jika ramalannya itu benar.

Malah, beliau turut menuduh Anwar semasa menjadi timbalannya di dalam kerajaan dahulunya juga menentang keras sebarang tunjuk perasaan jalanan.

Azmin bagaimanapun yakin pengundi muda di negara ini sudah menerima PR dan melalui sokongan mereka PR akan berjaya mencapai hasrat untuk mengambil alih Putrajaya daripada Umno.

"Saya yakin pengundi muda dah matang," katanya lagi.

Umno akan mengadakan perhimpunan Agung Tahunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  bermula 27 November hingga 1 Disember depan.

Perhimpunan itu dijangka akan memfokuskan kepada persiapan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya  memandangkan pilihan raya umum ke-13 kali ini yang merupakan "ibu" kepada segala pilihan raya umum semakin hampir, dengan mandat BN memerintah tamat pada April 2013.

IDEAS: Rasuah tidak boleh diukur berdasarkan persepsi rakyat

Posted: 26 Nov 2012 02:57 AM PST

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Kadar rasuah dalam negara tidak boleh diukur berdasarkan persepsi rakyat semata-mata, tetapi harus dilihat dari segi inisiatif kerajaan dalam memerangi rasuah, kata pengarah eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan (gambar).

"Apabila bercakap tentang kadar rasuah di negara ini, kami mendapati bahawa terdapat jurang antara pendapat orang ramai dengan data yang diberikan.

"Pandangan orang ramai diukur oleh Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan situasi rasuah di negara ini sangat teruk, tetapi data menunjukkan masalah rasuah di Malaysia tidak seteruk markah CPI berikan," kata Wan Saiful dalam kenyataan medianya.

Menurut Wan Saiful, untuk membincangkan masalah rasuah di Malaysia, adalah perlu dilakukan secara teliti dan bukan terpengaruh dengan persepsi semata-mata.

"Bagaimanapun, kami tidak mengatakan bahawa tidak ada rasuah di Malaysia. Persepsi tidak datang begitu sahaja.

"Apa yang kami katakan adalah perlu berhati-hati dan tidak memberi dakwaan kosong semata-mata dan menafikan usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

Dalam laporan sementara yang dikeluarkan IDEAS itu juga mencadangkan jawatankuasa kerjasama antara agensi di peringkat Persekutuan bagi membanteras rasuah dengan menggalakkan intergriti dalam strategi dan inisiatif yang dirancang.

"Ini bagi mengelakkan pertindihan serta pembaziran dari sudut material dan memastikan impak yang berkesan.

"Agensi yang memantau dan menyelaras seperti NKRA harus membaik pulih kapasiti penyelarasan, dan NKRA harus tidak dilihat sebagai penyelaras di bawah program Program Transformasi Kerajaan (GTP), tetapi harus memantau dan menyelaras agensi lain," kata Wan Saiful lagi.

Menurut Wan Saiful, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) haruslah menggunakan sumber yang ada untuk membaikpulih pengesanan, pemeriksaan dan penyiasatan serta prestasi untuk memastikan Institut Intergrasi Malaysia (IIM) dapat memberi fokus kepada inisiatif pendidikan kepada orang ramai.

"Kerangka pentadbiran badan pencegahan rasuah sebelum ini seperti Pelan Intergriti Nasional juga tidak perlu diabaikan, kerana pelan ini perlu dikaji semula dan diperkukuhkan untuk kerangka jangka panjang yang komprehensif untuk mencegah rasuah dan membina intergriti.

"Kita juga boleh mencari banyak cadangan yang dibuat dari tahun-tahun terdahulu, yang mungkin relevan pada hari ini, misalnya laporan dari Shah Nazir Alam pada tahun 1958 merupakan laporan yang elok untuk dikaji semula," kata Wan Saiful lagi.

Sebelum itu, IDEAS telah melancarkan laporan tersebut di Akedemi Anti Rasuah Malaysia (MACA), yang ucaptamanya disampaikan oleh bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Abdullah sebelum itu memuji IDEAS atas penyelidikan yang dijalankan yang dijalankan institut tersebut.

"Ini adalah penting untuk memastikan kita mempunyai sumber rujukan yang mendokumentasi kerja-kerja terdahulu supaya kita mendapat inspirasi dan pengalaman untuk bergerak ke hadapan.

"Saya faham bahawa selepas laporan sementara telah dikeluarkan hari ini, laporan lengkap tentang kajian ini akan diterbitkan tidak lama lagi. Saya percaya ia akan memberi asas yang kukuh dan komprehensif untuk kita membina budaya berintergriti," kata Tun Abdullah dalam ucapannya hari ini.

IDEAS telah memulakan kajian ini sejak Mac 2012, diketuai oleh Anis Yusal Yusoff, Felo Senior IDEAS, dan ahli untuk Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah di SPRM.

Kajian ini menerima dana dari Bahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) SPRM, disamping dana dari dalam dan luar negara.

Laporan kajian tersebut akan diterbitkan pada awal 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved