Rabu, 28 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pakatan bidas Muhyiddin, dakwa beliau kurang idea baru

Posted: 28 Nov 2012 02:11 AM PST

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membalas kritikan  Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) sebagai mencerminkan parti pemerintah itu kekurangan idea baru untuk negara dan jelas membuktikan Umno terdesak untuk memenangi undi orang Melayu-Islam menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Semalam, timbalan presiden Umno itu menuduh PAS berbohong dalam perjuangan Islam dan mendakwa bahawa perjuangan parti Islam itu tidak disokong oleh sekutunya DAP dan PKR.

Ahli parlimen PAS (Kuala Selangor), Dr Dzulkefly Ahmad berkata serangan ke atas partinya adalah kerana Umno takut kehilangan undi daripada masyarakat Melayu-Islam.

"Jelas sekali apa yang Umno lakukan sekarang adalah bertujuan untuk memancing undi Melayu Islam," kata Dzulkefly.

Beliau menambah Umno terpaksa menggunakan taktik itu kerana parti itu sendiri tidak lagi memiliki sokongan di kalangan pengundi, terutamanya apabila isu kontroversi seperti Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) memberikan persepsi Umno adalah sebuah parti korup.

"Sebab Umno berdepan dengan PAS, jadi dia (Umno) kena rosakkan imej dan kredibiliti PAS. Sebab itu perkara utama yang dia hentam adalah PAS, tidak DAP atau PKR.

"Kita adalah satu lawan satu dengan Umno. Yang akan menggantikan Umno adalah PAS dan juga orang Melayu dalam Umno."

"Jelas nampak dia serang kita (PAS) sebab dia tahu bahawa PAS berada kedudukan yang cukup kuat untuk menggantikan mereka," tambah beliau.

Selain itu, ahli parlimen  DAP (Bukit Bendera) Liew Chin Tong menegaskan tindakan pemimpin Umno cuba mewujudkan rasa takut ke atas musuh politik mereka bertujuan bagi menarik sokongan pengundi Melayu.

"Saya fikir kedua-dua Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bergantung kepada sokongan orang Melayu. Jadi mereka cuba mewujudkan rasa takut kepada PR supaya dapat menarik sokongan orang Melayu. Mereka (Umno) lakukan ini kerana hanya yakin boleh menang dengan sokongan orang Melayu," kata beliau.

"Mereka tidak faham bahawa negara ini banyak berubah. Rakyat boleh membandingkan kedua-dua belah pihak. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan etnik mahukan kerajaan yang baik serta berintegriti dan tidak rasuah," katanya.

Beliau menyifatkan Muhyiddin sedang bekerja keras bersama MCA untuk menekan PAS dan DAP bagi memperoleh sokongan tradisi kaum masing-masing kepada mereka.

"Pakatan menembusi zon selesa mereka, terutamanya PAS dan DAP," kata beliau yang merujuk kepada sokongan orang Melayu dan bukan Melayu.

Liew menegaskan PR berbeza dengan BN kerana mereka tidak bergantung kepada pengundi sesuatu kumpulan etnik tetapi berusaha untuk memenangi sokongan semua rakyat bagi membela nasib mereka.

"Kita mahu menjadi sebuah gabungan yang boleh diterima semua rakyat Malaysia," katanya, sambil menambah bahawa serangan tersebut adalah semata-mata satu cubaan untuk mengganggu PR daripada menumpukan isu-isu tadbir urus yang baik dan integriti.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau sangat mengecewakan melihat Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri hanya tahu menakutkan rakyat tetapi tidak menawarkan idea baru kepada negara.

"Ini adalah perkara biasa; setiap pilihan raya umum, mereka akan guna politik ketakutan, kebencian, ketaksuban, (ia adalah) yang sentiasa digunakan oleh Barisan Nasional dan Umno," kata beliau.

"Saya rasa lebih baik timbalan menteri perdana untuk mempamerkan keupayaan kepimpinan beliau dengan menjelaskan apakah visinya untuk Malaysia.

"Hal ini kerana saya merasakan beliau kurang daripada aspek itu, ia lebih baik daripada hanya menyerang PR," kata ahli parlimen Lembah Pantai itu.Liew berkongsi pandangan Nurul Izzah dan berkata: "Umno tidak mempunyai idea-idea baru lagi terhadap PR dan apa yang mereka boleh lakukan ialah memusnahkan kredibiliti PR sebagai sebuah kerajaan campuran pada masa depan".

Taklimat di Singapura kerana sekatan kerajaan, kata MP Pakatan

Posted: 28 Nov 2012 01:31 AM PST

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menolak tuduhan oleh Umno semalam yang mengatakan kerajaan Singapura cuba campur tangan urusan negara, sebaliknya menjelaskan taklimat Scorpene di negara jiran tersebut berpunca dari sekatan kerajaan Malaysia.

"Taklimat semalam amat berguna dan kami kecewa dengan sikap Speaker yang menghalang peguam Perancis, Apoline Cagnate daripada memberi taklimat di Parlimen.

"Malahan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga tidak memberi apa jaminan akan membenarkan peguam itu masuk Malaysia hingga memaksa taklmat dijalankan di Singapura," kata ahli parlimen (MP) Subang (PKR), R Sivarasa (gambar).

Dalam laporan The Malaysian Insider semalam, pemimpin Umno mengecam kerajaan Singapura kerana membenarkan peguam Perancis memberi taklimat isu kes mahkamah Scorpene kepada ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu surat kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan peguam Perancis mengadakan taklimat di Bilik Taklimat, bangunan Parlimen.

Walaupun halangan daripada kerajaan Malaysia, peguam Perancis tersebut masih sedia untuk datang ke Malaysia, menurut MP Batu (PKR) Chua Tian Chang.

"Peguam Perancis menyatakan mereka masih telus untuk memberikan taklimat di Parlimen. Kalau ada perkembangan terkini, mungkin pada Januari atau Februari mereka akan datang.

"Cuma saya harap kerajaan bersikap terbuka dan membenarkan peguam Perancis masuk negara," kata Tian merujuk kepada kes William Bourdon yang dihantar pulang sebaik tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

MP Shah Alam (PAS), Khalid Samad turut senada dengan rakannnya sambil menyatakan penerangan oleh Apoline adalah jelas dan serius.

"Kes ini sangat serius dan bukan remeh sepertimana yang didakwa oleh Umno dan Barisan Nasional ini.

"Saya harap selepas ini kerajaan perlu memberikan kerjasama dan bukan hanya bersikap seolah-olah ia tidak serius," kata Khalid.

Semalam, Apoline dalam taklimatnya di Kota Singa berkata akan menggabungkan perbicaraan pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dalam siasatan Scorpene.

Apoline turut mendedahkan dua Hakim iaitu Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.

Selain itu, tujuh saksi dinamakan termasuk perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; menteri pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta Ahli Perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.

NGO hak asasi manusia itu secara aktif telah mengikuti skandal Scorpene di mahkamah Perancis, dan berazam untuk mendedahkan dakwaan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion ringgit pada tahun 2009 dan mungkin membuka semula kes pembunuhan model Mongolia Altantuyaa yang dikatakan ada kaitan dengan perjanjian itu.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved