Khamis, 29 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Saksi beritahu curiga dengan Shamsubahrin selepas lihat komen dalam laman web

Posted: 29 Nov 2012 03:21 AM PST

Peguam Latifah Koya bersama Shamsubahrin di luar bangunan SPRM di Putrajaya. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Bekas Pengurus Kewangan National Feedlot Corporation (NFC) Hashimah Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau mula mencurigai ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail selepas melihat komen-komen lelaki itu dalam laman web.

Hashimah, 37, yang bertugas dengan syarikat NFC bermula awal Jun tahun lalu berkata selain komen dalam laman web tersebut beliau turut berasa curiga terhadap pembayaran kepada Shamsubahrin.

Katanya, pembayaran kepada Shamsubahrin amat besar jumlahnya jika dinilai dengan perkhidmatan yang diberikan terhadap syarikat itu.

"Pembayaran melibatkan jumlah yang besar dibuat untuk satu perkhidmatan... selain itu invois dan dokumen juga tidak disertakan," katanya ketika menjawab soalan peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Shamsubahrin.

Hashimah merupakan saksi ke-17 pendakwaan bagi perbicaraan kes Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, membabitkan sejumlah RM1.755 juta.

Hashimah berkata sebaik mengetahui tentang latar belakang Shamsubahrin, beliau terus memaklumkan kepada bekas Pengarah NFC Datuk Mohamad Salleh Ismail.

"Selepas mengetahui history (sejarah) Datuk Sham (Shamsubahrin) saya terus memberitahu Datuk Salleh dan Datuk Salleh mengingatkan kami agar berhati-hati," katanya.

Terdahulu, Hashimah memberitahu mahkamah bahawa tiada sebarang laporan polis serta laporan terhadap Suruhanjanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat beliau berhubung penyalahgunaan keempat-empat pembayaran cek bernilai RM1.755 juta sepanjang tempoh cek tersebut dikeluarkan antara Nov hingga Dis tahun lepas.

Hashimah juga memaklumkan mahkamah bahawa tiada sebarang laporan polis serta SPRM dibuat terhadap tertuduh.

Shamsubahrin turut berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung esok. — Bernama

Bapa dihukum penjara 30 tahun rogol anak perempuan

Posted: 29 Nov 2012 03:14 AM PST

PUTRAJAYA, 29 Nov — Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini terhadap tiga pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 14 tahun.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus mempengerusikan panel hakim tiga anggota membenarkan rayuan pendakwaan supaya hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai 14 Julai tahun lepas.

Lelaki berusia 55 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sejumlah 48 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 selepas dapati dia bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anaknya di sebuah rumah di Ampang pada 18 Ogos 2002, 15 Sept 2002 dan 17 Jan 2003.

Dia dihukum penjara 16 tahun bagi setiap pertuduhan tetapi tidak dikenakan rotan kerana usianya melebihi 50 tahun.

Lelaki itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada 14 Julai 2011, mahkamah membenarkan rayuannya supaya hukuman penjara berjalan serentak, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman selama 16 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hishamudin, ketika membenarkan rayuan pendakwaan agar lelaki itu menjalani hukuman penjara secara berasingan, berkata mahkamah berpendapat setiap kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan berbeza.

Bagaimanapun, beliau berkata demi keadilan, mahkamah mengurangkan tempoh hukuman dari 48 tahun kepada 30 tahun selepas mengambil kira dia telah menjalani hukuman penjara empat tahun dan enam bulan ketika ditahan sewaktu menunggu keputusan Mahkamah Sesyen.

Hishamudin yang mengetuai panel itu bersama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zawawi Salleh, berkata tidak ada apa-apa yang menunjukkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah mengambil kira tempoh tahanan empat tahun dan enam bulan yang dijalani lelaki itu.

Beliau berkata mahkamah juga turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk usia lelaki itu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu merogol anak perempuannya apabila isterinya tiada di rumah.

Mangsa menceritakan insiden itu kepada rakan sekelasnya yang kemudian memaklumkan kepada guru disiplin. Guru itu telah memanggil ibu mangsa ke sekolah dan memberitahu kejadian itu. Mangsa telah membuat laporan polis.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili lelaki itu berhujah sekiranya lelaki itu diarah menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, ia akan memberi 'kesan yang teruk' kepadanya kerana faktor usia.

Katanya anak guamnya akan berusia 102 tahun apabila dibebaskan daripada penjara, dan menambah jangka hayat lelaki Malaysia adalah 70 tahun.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abas. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved