Sabtu, 3 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-
The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


MCA cabar Pakatan jadikan hudud sebagai manifesto PRU 13



Posted: 03 Nov 2012 01:49 AM PDT

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mencabar Pakatan Rakyat (PR) untuk meletakkan hudud dalam manifesto pilihan raya ke-13 mereka sekiranya benar menyokong perjuangan PAS dalam menegakkan hukum Islam.

Malah, pemimpin MCA itu juga sedia untuk menerima pelaksanaan hudud sekiranya rakyat negara ini bersedia menerima undang-undang Islam tersebut.

"Saya sebagai Presiden MCA ingin menegaskan bahawa MCA adalah sebuah parti yang mendokong prinsip demokrasi.

"Oleh itu, demi menghormati dan menjunjung prinsip demokrasi maka Pakatan Rakyat perlu meletak hudud versi PAS dalam manifesto mereka dalam pilihan raya yang akan datang (PRU 13).

"Seandainya ia diterima dan disokong oleh majoriti rakyat Malaysia maka MCA akan menghormati kehendak rakayat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Chua (gambar) juga turut mencabar DAP untuk menyatakan pendirian mereka,  sama ada mereka bersama – sama MCA menentang pelaksanaan Hudud Versi PAS atau tidak.

"Sekiranya mereka menyatakan mereka tidak berkongsi pendirian yang sama dengan MCA dalam isu hudud versi PAS maka mereka perlu tampil memberitahu rakyat bahawa mereka menyokong pelaksanaan hudud versi PAS di negara kita.

"Diharapkan DAP tidak lari dan sembunyi daripada cabaran pendirian mereka dalam isu ini.

"Mereka hanya perlu menyatakan pendirian sokong atau tidak," cabar Dr Chua lagi.

Pemimpin MCA itu sebelum ini telah dikecam oleh PAS dan pemimpin pembangkang kerana mengeluarkan kenyataan keras berhubung pelaksanaan hudud di negara ini.

Beliau pernah mengeluarkan kenyataan 1.2 juta rakyat negara ini akan kehilangan pekerjaan sekiranya hudud dilaksanakan, dan negara yang melaksanakan hudud akan menjadi lebih korup.

Menjelaskan situasi itu, Dr Chua menjelaskan, MCA bangkit untuk menentang perjuangan Enakmen Hudud versi PAS, dan bukannya menghina agama Islam kerana tindakan MCA mempertikaikan perjuangan sesebuah parti politk ( PAS ) adalah berbeza dengan penentangan MCA terhadap sesuatu agama (Islam). 

"Isu ini sebenarnya telah dipolitikkan dan diputar oleh pemimpin Pakatan Rakyat apabila mereka menganggap sesebuah parti politik ( PAS ) itu adalah agama Islam.

"Saya telah berbincang dengan Ustaz Fathul Bari dari Pertubuhan Ilmuan Malaysia dan tidak ada masalah bagi MCA untuk menerima penerangan dari beliau tentang hukum hudud berdasarkan sumber-sumber Islam yang sebenar," katanya lagi.

MCA juga tegas Dr Chua tidak pernah sekalipun melakukan sesuatu tindakan yang mengecam agama Islam dan pengamalannya di Malaysia.

"Sepertimana MCA menghormati agama-agama lain seperti Buddha, Kristian dan Hindu, MCA juga peka dan menghormati sensitiviti umat Islam negara ini, apatah lagi, Islam adalah agama rasmi persekutuan.

"Hal  ini terbukti dengan sokongan dan penerimaan MCA terhadap perlaksanaan rukun-rukun Islam di negara ini seperti pembinaan masjid-masjid, institusi Tabung Haji yang memudahkan umat Islam menunaikan haji, penubuhan dan implementasi pusat zakat dan kutipannya, pembinaan sekolah-sekolah Agama, perbankan Islam, penerapan dasar-dasar Islam dalam kerajaan dan yang paling utama.

"MCA tidak pernah menentang malah menyokong dan mendokong bahawa Islam adalah agama Persekutuan dengan agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sejak Merdeka," tambahnya lagi.

Al-Arqam: Ketepikan politik, utamakan akidah, kata Muhyiddin

Posted: 02 Nov 2012 11:51 PM PDT

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihatkan agar mengetepikan fahaman politik dalam menangani isu akidah berhubung penahanan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrulamin Bahron dalam serbuan ke atas konsert yang didakwa cubaan menghidupkan kembali fahaman Al-Arqam.

"Kita perlu ambil perhatian, ia ajaran sesat, ajaran yang salah, soal pembangkang itu lain, ini soal akidah," katanya kepada pemberita.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, ajaran berkenaan telah pun diharamkan oleh Majlis Fatwa, dan tidak seharusnya ia cuba dihidupkan kembali.

"(Walaupun) ini telah diputuskan Majlis Fatwa,sudah diharamkan, tapi bunga-bunga untuk wujudkan itu ada lagi.

"Kita pegang pada Majlis Fatwa, ia kesalahan yang tidak harus dilakukan," tegasnya selepas merasmikan Majlis Himpunan Khas Guru dari seluruh negara di sini.

Dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada malam Khamis lalu, 16 orang termasuk ahli majlis pimpinan tertinggi, Parti Keadilan Rakyat, Dr Badrulamin Bahron telah ditahan dalam majlis "Kenduri Mega" di Bandar Country Homes, Rawang.

Media menyebut Badrulamin antara tetamu kehormat sempena sambutan ulang tahun kelahiran pengasas ajaran sesat tersebut, Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Tema bagi kenduri berkenaan dipercayai bertajuk "Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib" dihadiri  kira-kira 3,500 orang.

Badrulamin bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang sebarang hubungan dengan Al-Arqam dan Global Ikhwan, malah menegaskan beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan tersebut.

Al-Arqam telah diharamkan di negara ini pada 1994.

Selepas kematian pengasasnya pada 2010, pengikut ajaran sesat ini pernah mengadakan konsert selama empat hari dan menggambarkan Abuya bukan meninggal dunia, sebaliknya hanya "ghaib" dan akan kembali dalam masa terdekat.

Kesemua mereka yang ditahan bagaimanapun telah dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.

Mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Gombak Barat, di Kuang, selepas keterangan mereka selesai direkodkan Jais.

Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali membenarkan 10 lelaki dan enam wanita itu, dibebaskan dengan jaminan seribu ringgit setiap individu serta seorang penjamin.

Kesemua individu itu disiasat mengikut Seksyen 12-C, Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Tarikh sebutan semula kes telah ditetapkan pada 20 Disember depan.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved