Selasa, 6 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kos ambil amah Indonesia mungkin meningkat, kata Dr Subramaniam

Posted: 06 Nov 2012 03:14 AM PST

PUTRAJAYA, 6 Nov — Kos pengambilan pembantu rumah Indonesia mungkin dinaikkan berbanding RM4,511 yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia sebelum ini susulan rasa tidak puas hati agensi pembantu rumah dari kedua-dua negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata agensi terbabit mendakwa jumlah yang ditetapkan itu tidak menguntungkan mereka jika dibanding dengan kadar di negara lain di rantau ini.

"Justeru kami minta mereka berbincang sesama sendiri dan usulkan kos yang realistik kepada kami.

"Kita tidak tahu meningkat berapa banyak. Biar mereka cadangkan kadar baru dulu. Tetapi ada yang membayar sehingga RM 12,000 dan RM13,000 untuk mendapatkan pembantu rumah asing. Kita harap tidak setinggi itu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya wakil agensi dari kedua-dua negara dijangka mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa bersama Malaysia-Indonesia pada pertengahan bulan ini bagi membincangkan isu tersebut.

Dr Subramaniam juga berkata Indonesia lebih suka menghantar pembantu rumah mereka ke negara yang menawarkan gaji tinggi seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Timur Tengah.

Pada 30 Mei tahun lepas, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Antara persetujuan yang dicapai ialah kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan.

Mengulas isu berkaitan, Dr Subramaniam berkata pihaknya dimaklumkan polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang disyaki terbabit dalam pengedaran iklan 'Indonesian maids now on sale' di Kuala Lumpur minggu lepas.  "Kita harap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka (yang terbabit)," katanya.

Iklan itu yang dikatakan diedar di sekitar Jalan Chow Kit menjadi topik hangat di Internet dan turut disiar media Indonesia serta mengundang kecaman banyak pihak. — Bernama

PAS kesal Suu Kyi membisu isu Rohingya

Posted: 06 Nov 2012 03:10 AM PST

KUALA LUMPUR, 5 Nov — PAS hari ini merasa kesal dengan sikap pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana membisu mengenai isu penduduk Rohingya yang ditindas di negara itu, kata presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, semasa beliau dihukum tahanan rumah oleh rejim junta Myanmar, PAS sentiasa menyokong beliau dalam  memperjuangkan demokrasi di negara tersebut.

"Tetapi apabila etnik Rohingya ditindas, beliau tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan untuk mengutuk situasi yang berlaku kepada umat Islam yang berada di situ," kata Abdul Hadi lagi.

Menurut Abdul Hadi, beliau berharap Malaysia dapat campur tangan dalam isu pendatang Rohingya sepertimana kejayaan dalam perjanjian damai di Selatan Filipina.

"PAS berharap Kuala Lumpur dapat campurtangan dalam isu ini, kerana dalam piagam ASEAN ada tertulis untuk menjaga hak asasi manusia sebagai satu perkara yang perlu dipertahankan," kata beliau di ibu pejabat parti tersebut.

Menurut Abdul Hadi, PAS mengalu-alukan kejayaan perjanjian damai Selatan Filipina selepas bertahun-tahun pergolakan di wilayah tersebut.

"Umat Islam di Mindanao telah berjuang habis-habisan sejak dari penjajahan Sepanyol, Amerika Syarikat, dan pemerintahan zalim kerajaan (Ferdinand) Marcos, dan kini telah mencapai keamanan.

"Kita berharap meraka dapat memberi contoh kepada Selatan Thai dan juga Myanmar," kata beliau lagi.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved