Rabu, 7 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Putrajaya sedia dialog dengan Hindraf isu libatkan kaum India

Posted: 07 Nov 2012 02:37 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Putrajaya hari ini membuat jemputan terbuka kepada badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili masyarakat India bagi membincangkan masalah-masalah yang melanda mereka.

Jemputan berkenaan yang turut diajukan kepada pertubuhan haram masyarakat India daripada Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) untuk berdialog bagi menyelesaikan masalah kumpulan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (foto fail) berkata, kerajaan memandang berat isu berkaitan masyarakat India dan tidak mahu kumpulan itu berasa dipinggirkan.

"Walaupun ada kumpulan yang bergerak secara ekstrem dalam memperjuangkan permintaan mereka, tapi kerajaan sedia duduk berbincang dengan semua kumpulan yang mewakili masyarakat India termasuk Hindraf.

"Saya memberi jaminan bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bersedia untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan kumpulan berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Parlimen di sini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut berkata, kerajaan menyedari bahawa terdapat segelintir masyarakat India di negara yang masih merasa terpinggirkan walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) jelasnya telah memberikan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada mereka.

"Bukan sebab mereka marah kepada kerajaan ... tapi mereka rasa seolah-olah dipinggirkan dan tidak diberi layanan yang adil oleh kerajaan.

"Jadi kerajaan fikir lebih baik duduk berbincang dan dengar luahan mereka. Kalau mereka tak gembira, ini bermakna ada sebab-sebab tertentu...jadi kita perlu ambil tahu," kata menteri yang memegang portfolio undang-undang itu lagi.

Ditanya adakah peranan MIC bagi membela komuniti itu gagal, Nazri menjelaskan, parti komponen yang mewakili masyarakat India dalam BN itu telah menjalankan peranan mereka dengan baik, namun kerajaan perlu mendengar keluhan komuniti India di luar MIC.

"MIC sudah buat yang terbaik tapi kerajaan mahu mendekati kumpulan lain," katanya kepada pemberita.

"Kita sedar ada kumpulan lain di luar daripada MIC yang perlu kita dengar luahan mereka."

Nazri turut menegaskan, keperluan untuk masyarakat India dirasakan lebih kritikal.

"Kerajaan memberi layanan yang sama kepada semua kaum ... tapi buat masa ini masyarakat India dirasakan lebih kritikal.

"Kalau kita sekat Hindraf dan hanya bincang dengan segelintir kumpulan India tertentu sahaja bermakna ia tidak menyeluruh. Walau kita sedar Hindraf lebih vokal, tapi Perdana Menteri sedia untuk mendengar."

Najib ucap tahniah pada Obama dipilih semula sebagai Presiden Amerika

Posted: 07 Nov 2012 01:42 AM PST

Presiden Obama dengan isteri Michelle dan anak-anak perempuan Malia (kanan) dan Sasha pada perhimpunan kemenangan pilihan raya Presiden di Chicago, 7 Nov 2012. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Barack Obama kerana dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat.

"Dengan kemenangannya dalam pilihan raya bersejarah ini, Presiden itu mempunyai peluang yang unik untuk merealisasikan visinya untuk Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Najib berharap Obama akan meneruskan usahanya memupuk persefahaman dan hormat menghormati antara Amerika dan umat Islam di seluruh dunia.

"Ramai rakyat Malaysia mengikuti dengan penuh minat kempen pilihan raya Presiden — dan sebagai sebuah negara Islam sederhana, Malaysia sentiasa bersedia membantu Amerika, kerana ia mahu lebih melibatkan diri dengan mereka yang beragama Islam," katanya.

Najib juga berkata beliau berasa bangga berjumpa dengan Presiden itu semasa penggal pertamanya dan "kami berikrar untuk membangunkan perkongsian yang semakin meningkat antara kedua buah negara".

"Hubungan ini semakin kukuh dan saya berharap ia akan berterusan pada masa depan agar kami dapat mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau kepada rakyat," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved